Kenapa Mahathir Perlu Nampak MCA Yang perlu Baik. UMNO Macam Mana?

Dr M: Ahli politik perlu elak dari perkara yang tidak baik

TRONOH, Ogos 16 — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa sesiapa yang berhasrat menjadi seorang ahli politik ataupun pemimpin perlu mengelakkan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Beliau berkata ini kerana rakyat akhirnya akan dapat mengetahui sebarang kesalahan ataupun perkara-perkara tidak baik yang melibatkan seseorang ahli politik ataupun pemimpin berkenaan.

"Apabila ada sesuatu kesalahan dilakukan, tidak dapat tidak rakyat akan dapat tahu... kita tidak boleh sembunyikan. Sebab itu kalau hendak jadi ahli politik ataupun pemimpin, jangan terlibat dengan benda-benda yang tidak baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-9 Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kontroversi membabitkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat dan anggota Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mengenai isu kewangan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Beliau berkata isu PKFZ dijangka akan berpanjangan dan menyifatkan pertengkaran terbuka antara Ong dan Tiong mengenai isu itu mencemarkan imej kerajaan dan Barisan Nasional (BN).

"Membuka pekung di dada secara terbuka... ia amat teruk tapi parti lawan pun macam itu juga," katanya.

Kedua-dua pemimpin BN itu terbabit dalam pertengkaran secara terbuka mengenai isu PKFZ dengan Tiong mendakwa Ong, yang juga presiden MCA, menerima RM10 juta daripada Tiong, yang juga ketua eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, pemaju siap guna PKFZ.

Ong membalas dakwaan itu dengan membuat laporan polis terhadap Tiong pada Khamis lepas dan kemudian mendedahkan kepada media bahawa beliau juga meminta peguamnya menghantar surat tuntutan.

Tiong membuat dakwaan itu pada Rabu dengan mengatakan duit itu dibayar secara ansuran tiga kali tahun lepas untuk aktiviti MCA.

Sementara itu Dr Mahathir yang juga Canselor UTP berkata kerajaan boleh membuat kajian berhubung titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah malam tadi bahawa persaraan pramasa di kalangan penjawat awam merupakan antara sebab berlakunya kehilangan pegawai berpengalaman dalam modal insan bagi perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-22 Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia di Wisma Samudera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, baginda bertitah walaupun usia perkhidmatan awam di negara ini telah dilanjutkan kepada 58 tahun sejak Julai 2008, namun ia masih dalam usia yang awal untuk perkhidmatan awam kehilangan sumber tenaga manusia berpengalaman terutama dalam perkhidmatan yang memerlukan input intelek yang tinggi seperti di pusat-pusat pengajian, dalam perkhidmatan kesihatan, perubatan, kejuruteraan, seni bina dan sains.

Seramai 1,169 graduan menerima ijazah masing-masing pada konvokesyen UTP kali ini dengan Anugerah Emas Canselor diterima Hanisah Abdul Halim (Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia) manakala Muhammad Assad (Sarjana Muda Teknologi Sistem Maklumat Perniagaan) dari Indonesia menerima Anugerah Pelajar Sarjana Muda Antarabangsa Terbaik. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.