Pak Lah Perli Najib?

Pak Lah: Jangan kaitkan tindakan pihak berkuasa dengan isu perkauman

KEPALA BATAS, Ogos 16 — Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak agar tidak mengaitkan sebarang tindakan pihak berkuasa terhadap mana-mana individu dengan isu perkauman.

Beliau berkata, persepsi yang dibuat atas sifat prejudis, marah atau benci terhadap tindakan pihak berkuasa kepada sesiapa sahaja yang melanggari undang-undang harus dielakkan. Katanya, persepsi sedemikian boleh menimbulkan isu yang besar dan jika tidak ditangani dengan baik akan memudaratkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

"Janganlah bersikap begitu kerana jika ada perasaan seperti ini, ia akan merosakkan hubungan antara kaum dan juga antara kerajaan dan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum perasaan sedemikian merebak, semua pihak termasuk media juga diminta berhati-hati dalam laporan mereka agar tidak mencetuskan sebarang perasaan tidak puas hati.

Terdahulu ketika berucap, Abdullah turut mengingatkan supaya orang bukan Islam supaya jangan menuduh perkara yang bukan-bukan kepada orang Islam atau sebaliknya terutama berkaitan agama.

"Janganlah ada sesiapa yang berkata perkara yang buruk tentang mana-mana agama dan kaum kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati.

"Kalau ada yang tidak betul (dalam hal ini) maka ia harus dipulihkan segera," katanya.

Sebagai bekas pemimpin negara, katanya, beliau amat berpegang kuat kepada muafakat antara rakyat tanpa mengira kaum dan agama. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.