Penduduk Seksyen 23 Terus Bantah Bina Kuil

SHAH ALAM, 16 Ogos - Jawatankuasa Bertindak bersama kira-kira 300 orang wakil penduduk Seksyen 23, Shah Alam hari ini mengadakan demonstrasi secara aman, membantah pembinaan kuil Hindu di kawasan perumahan mereka.

Bantahan itu dibuat kerana mendakwa projek terabit terletak berhampiran dengan kawasan perumahan yang jaraknya hanya kira-kira 50 meter sahaja.

Ahli Jawatankuasa Penduduk Seksyen 23, Ramze Ramli yang mengetuai demontrasi itu, meminta Adun Batu 3, Rodziah Ismail dan kerajaan negeri Selangor meneruskan perancangan awal pemindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke Seksyen 22, Shah Alam.

Katanya, demonstrasi ini diadakan untuk menuntut kerajaan negeri membatalkan pembinaan kuil di kawasan ini demi keselesaan penduduk, yang majoritinya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Katanya, kuil yang akan dibina di atas tanah seluas 20 ribu kaki persegi ini juga, berdekatan dengan taman permainan, surau dan kawasan taman perumahan berkenaan.

Penduduk taman ini berkumpul sambil membawa sepanduk yang antaranya bertulis ‘Jangan Main Api’, ‘Kami Bantah Bina Kuil di Seksyen 23’, ‘Lulus di Seksyen 22 dan ‘Mengapa Pula Seksyen 23 Jadi Mangsa’.

Jumaat lepas, mereka menyerahkan memorandum kepada Pegawai Khas Adun Batu Tiga, yang mendesak supaya kerajaan membatalkan pembinaan kuil ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Mahyudin Manaf, berkata, wakil rakyat dan pihak yang bertanggungjawab harus memberi penjelasan berhubung perkara ini.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.