Permatang Pasir: Sebiji Pasir Berapa Harganya?

Sekarang rakyat satu Malaysia yang berjiwa politik memberikan tumpuan penuh minat terhadap pilihan raya kecil Permatang Pasir. Terdapat beberapa perkara yang menarik minat rakyat.

Pertama, DUN Permatang Pasir berada di bawah Parlimen Permatang Pauh, kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilabelkan UMNO sebagai pengkhianat bangsa Melayu. Kedua, Pakatan Rakyat dikatakan sedang retak menanti belah. Ketiga, pemimpin Barisan Nasional mengatakan mereka telah berjaya mengembalikan keyakinan rakyat. Siapa benar, siapa salah? Keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pasir bakal memberikan jawapan.

Dan siapa agaknya yang akan tersembam muka di dalam pasir?

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man telah diumumkan sebagai calon Pas bertanding pada pilihan raya kecil pada 25 Ogos ini. Manakala Barisan Nasional (BN) mengemukakan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman sebagai calonnya.

Adakah mana-mana pemimpin yang kecewa atau dikecewakan kerana cinta-cita menjadi calon punah? Kalau ada, berwaspadalah kerana orang yang kecewa atau dikecewakan sanggup melakukan apa-apa sahaja, termasuk khianat parti sendiri. Kebetulan perbuatan khianat bangsa sangat popular sekarang ini, sekiranya ada sesiapa cuba mengkhianat parti, hukuman berat pasti sedang menunggu.

Bagi UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi telah mengeluarkan amaran keras bahawa sesiapa yang mensabotaj parti akan dipecat keahliannya. Semua maklum, BN di Pulau Pinang ada masalah besar. Gerakan dan UMNO masih memendam rasa. Hubungan kedua-duanya belum mesra. Kesakitan yang dialami Gerakan belum pulih sepenuhnya. Kepimpinan Pengerusi BN negeri, Tan Sri Koh Tsu Koon tercabar dan dicabar. Isu dalaman UMNO, Gerakan dan BN sekiranya tidak ditangani dengan baik, bakal memberi kesan kepada pilihan raya Permatang Pasir.

Bagaimana dengan PAS? Semuanya beres? Dari luar kelihatannya beres, tetapi dalamannya hanya pemimpinnya sahaja yang tahu. Sekiranya kelemahan di Manek Urai berjaya diatasi, hati orang muda mampu dijinakkan, PAS rasanya tiada halangan untuk mengekalkan kerusi tersebut.

Pendekatan yang digunakan di Manek Urai akan digunakan semula di Permatang Pasir. Begitu kata Koh Tsu Koon.

PAS hampir tumbang di Manek Urai, jadi tidak hairanlah sekiranya pendekatan dan isu sama akan dipakai di Permatang Pasir. Akan tetapi, UMNO mahupun PAS jangan lupa bahawa orang Kelantan tidak sama dengan orang Pulau Pinang. Orang kata, orang Kelantan bijak berpolitik (ini bukan bermakna orang Pulau Pinang tidak bijak berpolitik), oleh itu, keputusan di Manek Urai mungkin berbeza dengan Permatang Pasir.

Walau bagaimana pun, rasanya banyak isu lama akan dikitar semula. Janji yang belum tertunai bakal berkumandang lagi. Pengundi muda akan didodoikan lagi dengan janji dan harapan baru. Seandainya janji-janji ini ibarat duit, maka berkarung-karung yang akan dibawa untuk ditaburkan agar hati pengundi dapat dijinakkan. Berapa harga sebiji pasir di Permatang Pasir?

Pastilah mahal. BN tidak mahu mengalah. PAS pula mahu menang. Jampi serapah usah diperkatakan. Ini sudah menjadi lumrah. Makan dan minum jangan risau. Ini juga dijamin tidak kelaparan. Tambang balik? Tiada masalah. Politik wang bukan rasuah. Orang tidak kisah dengan politik wang kerana politik wang ialah seni berpolitik, bukan rasuah.

Jadi, Permatang Pasir bakal menjadi Permatang Duit?

Calon Bebas bagaimana? Setakat ini baru seorang, ahli perniagaan, Kamarul Ramizu Idris, 42, mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas. Ini kali ketiga beliau menawarkan diri. Dua kali tewas dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak dan DUN Penanti, Pulau Pinang.

Aminah dan Nai Khan Ari bagaimana? Barangkali akan ada calon Bebas yang akan menampilkan diri, tetapi belum tiba masanya. Bekas orang PKR atau PAS yang tidak berpuas hati dengan parti merupakan susuk yang baik untuk memecahkan undi Pakatan Rakyat. Kalau ada sponsor, apa salahnya menawarkan diri demi rakyat Permatang Pasir. Kalau terpaksa menggunakan duit sendiri, kenalah berfikir dua kali. Wang deposit bukan apa sangat, tetapi wang makan minum bukan sedikit. Mahu menjadi pembela nasib rakyat mesti sediakan banyak wang. Nasib rakyat sekarang ini tidak mampu dibela tanpa wang.

Sesiapa juga calonnya tidak penting kerana yang penting dia mampu merealisasikan kehendak pengundi di Permatang Pasir. Oleh itu, pertimbangan akal amat penting agar tidak mudah terpengaruh oleh retorik politik.satu malaysia

No comments

Powered by Blogger.