Ong dituduh berhutang

Oleh Chan Wei See

Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad, Faizal Abdullah mengesahkan bahawa Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat pernah menaiki kapal terbang yang dimiliki syarikatnya sebanyak lima kali, malah berhutang lebih 100 ribu ringgit Malaysia kepada syarikatnya.


Faizal Abdullah (gambar kiri) yang merangkap jawatan Timbalan Ketua Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa Presiden MCA ini menaiki kapal terbang syarikatnya sebanyak lima kali dalam tahun ini, berlepas ke Pulau Pinang, Kuantan, Sabah, Kuching dan Johor Bahru. Malah, Ong dituduh tidak membayar kos penerbangan pada kali terakhir yang bertarikh 20 April.

Menurut Faizal, oleh sebab kapal terbang syarikatnya diperbarui baru-baru ini, dan belum sempat memperolehi lesen, maka apabila Ong meminta untuk menggunakan kapal terbangnya, syarikatnya hanya menetapkan agar Ong membiayai kos kakitangan, minyak dan kos penerbangan.

"Ia seakan-akan kita meminjam kereta kepada orang lain, kos minyak dan pemandu ditanggung oleh peminjam," jelas Faizal.

Wijaya Baru Global Berhad adalah syarikat induk kepada Kuala Dimensi Sdn Bhd, yang terkenal sebagai pemaju utama projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Pendedahan skandal PKFZ oleh Ong Tee Keat telah mencetuskan perbalahan antara dirinya dengan Ketua Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Tiong King Sing dan Faizal Abdullah.

Malaysia-Today sebelum ini mendedahkan bahawa Ong Tee Keat pernah menaiki kapal terbang milik Wijaya Baru Global Berhad. Kemudian, ahli parlimen DAP, Lim Kit Siang mendesak Ong supaya menjawab tuduhan tersebut.

Ditolak pada kali ke-6

Ketika ditanya sama ada syarikatnya meminta Ong Tee Keat (gambar kanan) untuk membayar kos tersebut, Faizal Abdullah berkata, "Kami ada minta, tapi dia tak nak bayar. Tidak bayar untuk lima kali berturut-turut, mana boleh tahan?"

Malah, setelah Ong tidak membuat bayaran untuk lima kali berturut-turut, pihak syarikat Faizal menolak permintaan Ong untuk menggunakan perkhidmatan mereka lagi, dengan alasan bahawa kapal terbang telah disewa orang lain.

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Faizal berkata syarikat Wijaya Baru Global Berhad memiliki dua jenis kapal terbang, iaitu LearJet yang boleh menampung 7 orang penumpang dan GLF-450 yang boleh menampung 13 orang penumpang. Kedua-duanya pernah dinaiki Ong Tee Keat.

Apabila ditanya sama ada Ong Tee Keat menaiki kapal terbang kerana urusan rasmi, Faizal berkata,"Saya tidak tahu, pergi tanyalah beliau. Kalaupun beliau nak pergi untuk bertemu dengan teman wanitanya, itu pasal dia. "

MerdekaReview telah menerima dua helai manifest (gambar kiri). Helaian pertama menunjukkan Ong menaiki GLF-450 dari Subang ke Senai, Johor Bahru, bersama-sama tiga orang yang lain pada 12 Februari. Helaian kedua pula menunjukkan bahawa Ong menaiki kapal terbang yang sama modelnya, bertolak dari Senai ke Subang, bersama dua orang yang lain pada 19 Februari.

Campur tangan dari Kementerian Pengangkutan?

Selain itu, Faizal Abdullah memaklumkan bahawa Wijaya Baru Global Berhad berniat melabur dalam Fixed Base Operator (FBO) di Subang Jaya, tetapi Setiausaha Kementerian Pengangkutan menelefon kepada pejabat pengurusan syarikatnya, berkata bahawa seandainya Tiong King Sing (gambar kanan) berniat melabur, mereka harus memaklumkan kepada kementerian pengangkutan.

Faizal jelas tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, malah menganggap hak syarikatnya untuk menjalankan aktiviti komersial secara bebas telah dicabuli. "Mengapa dia nak tahu? Saya pun seorang warga Malaysia!" kata Faizal.

Faizal berharap agar rakyat akan celik kepada apa yang berlaku dalam isu PKFZ, sama ada Ong Tee Keat berkhidmat untuk kepentingan orang ramai, ataupun agenda peribadinya.

MerdekaReview cuba mendapatkan maklum balas daripada Ong Tee Keat berhubung tuduhan di atas melalui telefon dan SMS, namun beliau masih tidak menjawab sehingga artikel ini habis ditulis.

*Laporan ini ditulis oleh Chan Wei See, Editor MerdekaReview, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

No comments

Powered by Blogger.