Umno-BN Pengkhianat Rakyat Malaysia

Angkatan Muda Keadilan (AMK) beranggapan selama lebih 30 tahun, Barisan Nasional (BN) yang dikepalai Umno telah merosak dan menghancurkan sistem kenegaraan Malaysia yang telah menyebabkan masyarakat dicorak menjadi kebingungan.


Institusi penting Negara seperti Mahkamah, Parlimen dan Pentadbiran Negara telah digodam dengan kerakusan dan nafsu politik tidak bertamadun BN. Mahkamah yang merupakan paksi keadilan Negara disalahguna dalam beberapa kes untuk kepentingan politik dan kelangsungan kuasa BN.

Kes video Lingam, yang telah didedahkan oleh Pakatan Rakyat sejak dua tahun lepas telah menunjukkan bagaimana hodoh dan rosaknya sistem kehakiman Negara. Natijahnya keadilan yang sewajarnya menjadi hak kepada sekalian rakyat begitu mudah dipermainkan apatah lagi jika ia melibatkan mereka yang mampu mempengaruhi dan membayar sebahagian hakim yang khianat dengan tanggungjawab mereka.

Manakala Parlimen yang sewajarnya digunakan untuk wakil-wakil rakyat berdebat untuk kepentingan rakyat hanya menjadi pengangguk kepada keputusan eksekutif.

Gejala rasuah yang membarah dalam pentadbiran BN telah menjadikan berbillion wang Negara dirompak dengan menyelindungkannya atas nama komisyen, duit kopi dan politik wang.

Tambah kritikal dengan konsep perkongsian BN yang penuh dengan prasangka dan prejudis perkauman antara satu sama parti komponen dan telah dilaungkan setiap kali ada masalah besar yang gagal diselesaikan oleh BN.

Prejudis perkauman yang disemai telah menyebabkan rakyat dipandu untuk memilih secara emosional dan gagal membeza antara kebaikan dan kejahatan.

Paling terkini apabila jelas rakyat mahukan undang-undang zalim ISA dihapuskan, sekonyong-konyong isu perkauman ditiup dan mula menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat melayu dan agen asing.

Setelah badai dan gelora 8 Mac 2008 menampar BN nampaknya mereka bukan mahu berubah sebaliknya terus membakar politik perkauman sempit yang bukan hanya menghancurkan ras-ras tertentu sahaja tetapi memusnahkan citra dan Malaysia sebagai sebuah Negara yang berdaulat.

*Amirudin Shari ialah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, dan ADUN Batu Caves, Selangor.

No comments

Powered by Blogger.