Pengurusan Harta Dalam Islam

Mohd Fauzi Mustaffa al-Besuty
Pegawai Penyelidik IKIM

Allah s..w.t. berfirman dalam al-Quran al-Karim, surah Luqman, ayat 20 yang bermaksud:

“Tidakkah kamu perhatikan, sesungguhnya Allah telah memudahkan untuk kepentinganmu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin”.

Islam meletakkan harta sebagai salah satu keperluan asasi di dalam kehidupan manusia. Bagi memenuhi tuntutan tersebut, Islam telah menyediakan beberapa sistem yang dapat merealisasikan kenyataan itu dengan baik dan berkesan, antaranya ialah sistem pengurusan dan pentadbiran harta.

Islam mengambil sikap yang jelas dan terbuka dalam soal pengurusan harta dengan berdasarkan nilai dan objektif untuk kebaikan dunia dan akhirat sekaligus menghindari segala keburukan dan kemudaratan.

Harta merupakan salah satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Allah Subhanahu Wa Taala menyediakan harta adalah khusus untuk menjamin kepentingan manusia supaya boleh hidup dengan baik dan sempurna.

Harta yang diciptakan sebagai alat untuk kehidupan tidak seharusnya diselewengkan oleh pemiliknya atau sesiapa sahaja. Ia merupakan satu pertembungan dengan landasan yang telah ditetapkan oleh syarak. Justeru itu, al-Qur’an mencela sifat kedekut, bakhil, membazir, boros, mementingkan diri sendiri, tidak mengeluarkan zakat, memiliki mahupun membelanjakan harta dengan cara yang haram.

Pengurusan harta yang benar-benar menepati syara’ amat diperlukan untuk menjamin perkara-perkara berikut :

Memastikan harta beredar dan bergerak cergas di dalam berbagai-bagai sektor kehidupan sehingga memungkinkan pengembangan harta dan penggunaannya secara meluas dan menyeluruh mengikut garis panduan syarak.

Memberi galakan kepada muamalah kehartaan hingga dapat memperluaskan skop peredaran harta dan kekayaan sehingga dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil.
Mencari alternatif tertentu bagi mengelakkan berlakunya kesukaran-kesukaran yang boleh melemahkan kegiatan ekonomi seperti kelonggaran untuk tidak menggunakan saksi dalam urusan perniagaan secara terus.

Pembekuan atau monopoli harta oleh beberapa pihak tertentu sahaja adalah suatu keadaan yang ditolak oleh Islam kerana akan menimbulkan berbagai-bagai gejala negatif dan bencana ke atas masyarakat dan negara. Dengan perhatian wajar dari sistem pentadbiran harta menurut Islam, peredaran harta akan berlaku secara sihat dan harmoni. Maka dengan sendirinya, nilai yang ada pada harta itu dapat dimaksimumkan melalui penggunaan terus atau pelaburan. Keadaan ini sudah tentu dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam atau negara mereka.

KEPENTINGAN HARTA UNTUK AKHIRAT

Islam bukan sahaja meletakkan persoalan harta sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kebahagiaan insan di dunia tetapi juga mengaitkan harta dengan sumbangan kebahagiaan insan di akhirat. Antaranya ialah:

Membelanjakan harta untuk keperluan diri sendiri bagi melaksanakan badat atau untuk kemudahan beribadat. Contohnya ibadat yang dimaksudkan ialah seperti ibadat zakat dan haji. Kedua-duanya tidak dapat dilaksanakan tanpa harta. Contoh kemudahan untuk beribadat pula ialah pakaian, tempat tinggal dan lain-lain keperluan. Perkara tersebut dianggap sebahagian daripada ibadat kerana tanpanya ibadat tidak dapat dilaksanakan.

Membelanjakan kepada orang lain melalui beberapa saluran yang telah ditentukan oleh syarak seperti sedekah dan derma.

Membelanjakan harta kepada sesuatu yang bersifat kebajikan umum seperti membina masjid, hospital dan sebagainya.

JAMINAN KEADILAN DALAM HARTA

Islam menjamin keadilan sebenar dalam hal-hal kehartaan. Ia bermaksud meletakkan harta pada kedudukannya yang sebenar sebagaimana asal ia dijadikan dan sepertimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Bagi mencapai tujuan keadilan di dalam perbelanjaan, Islam telah menyediakan beberapa strategi iaitu:

Perbelanjaan mestilah secara betul dan bertanggungjawab. Maksudnya ialah membelanjakan harta mengikut arahan wajib dari syariah seperti mengeluarkan zakat wajib, membelanjakan untuk diri dan keluarga atau mengikut arahan tidak wajib seperti sedekah, derma, untuk melayan tetamu dan sebagainya. Melalui strategi perbelanjaan yang betul dan bertanggungjawab ini maka tugas dan peranan harta telah dilaksanakan dengan adil kerana hasil daripada itu ia telah menampung segala keperluan individu, masyarakat, negara dan umat seluruhnya. Itulah yang dikatakan menjamin keadilan dalam kehartaan.

Menyekat sifat bakhil dan menghalang boros dan pembaziran sebaliknya mendokong kesederhanaan. Al-Quran dan al-Sunnah telah menyerang habis-habisan penyakit kedekut dan membazir harta. Sifat kedekut digambarkan sebagai sifat yang dibenci oleh Allah s.w.t. manakala sifat membazir pula digambarkan sifat yang dimiliki oleh saudara kepada syaitan. Malah punca kepada kehancuran umat juga bermula daripada sifat kedekut dan membazir. Melalui strategi kedua ini pengendalian harta dapat mencapai objektif keadilan kerana konsep kesederhanaan akan menguasai kegiatan ekonomi dan pengurusan harta. Apabila kesederhanaan dapat direalisasikan dalam kegiatan itu maka harta dapat berfungsi dengan baik dan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak dengan adil dan saksama. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan melalui pengurusan harta dalam Islam.

Memfungsikan harta orang kaya untuk keperluan yang diakui oleh syarak seperti keperluan yang mendesak di dalam negara. Imam al-Ghazali menyatakan harus bagi kerajaan mengambil kadar tertentu dari harta rakyat yang kaya berdasarkan keperluan negara misalnya bagi menjaga keamanan rakyat kerana negara mengalami masalah kekurangan wang dalam perbendahaarn atau baitul mal. Namun begitu ianya mestilah dilakukan dengan adil tanpa tekanan dan kezaliman. Ini bererti jika negara menghadapi bencana kemarau, banjir dan sebagainya sehingga memerlukan bantuan yang besar sedangkan negara tidak mampu menanggung jumlah tersebut maka disitulah adanya keadilan jika harta orang kaya difungsikan untuk mengatasi penderitaan orang ramai.

Melindungi harta dari pencerobohan dan pengkhianatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti kecurian, rompakan,samun, pemusnahan, rampasan dan sebagainya. Sekaligus menjamin pemilik harta dari gangguan pihak yang tidak bertanggungjawab. Apabila pencerobohan harta tidak dikawal dan dibanteras, maka akan menyebabkan berlakunya kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran dan kemusnahan. Melalui pengurusan harta, harta dilindungi dengan baik sehingga dapat dimanfaatkan oleh pemiliknya dan seluruh masyarakat.

Perkara yang disebutkan tadi jelas menunjukkan kemantapan dan kesempurnaan syariah dalam pengurusan harta. Kemantapan dan kesempurnaan inilah yang dapat menjamin seluruh kepentingan dan kebaikan masyarakat. Namun begitu sekiranya ia tidak dihayati dan diamalkan, segala kebaikan yang ditonjolkan oleh syariat itu tidak memberi apa-apa erti. Apa yang perlu sekarang ialah sistem pengurusan harta mengikut Islam mesti dijadikan landasan kepada seluruh kegiatan hidup samada yang melibatkan aspek perekonomian dan sebagainya.

No comments

Powered by Blogger.