Keluarga Tengku Puan tinggal luar istana sementara waktu

KUANTAN 18 Ogos - Setelah disahkan pulih daripada selesema babi atau Influenza A (H1N1), Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda akan tinggal di satu lokasi luar dari Istana Abu Bakar, Pekan, buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga mengelak dijangkiti semula.

Selepas 12 hari dikuarantin di Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, baginda bersama lima anakandanya iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Shah, 14; Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, 12; pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9, serta Tengku Puteri Jihan Khalsom ’Athiyatullah, 7, dibenar pulang 10.30 pagi tadi.

Turut dibenar pulang adinda baginda Tunku Mariam Zaharah Sultan Iskandar bersama anaknya, Claudia Soffiya Ahmad, selepas kesemua mereka disahkan sihat serta bebas daripada jangkitan H1N1.

Tunku Azizah Aminah berkata, baginda sekeluarga bagaimanapun tidak akan pulang ke istana kerana baginda difahamkan beberapa pekerja di situ turut mengalami demam sejak seminggu lepas.

“Tiga anakanda saya iaitu Tengku Ahmad, Tengku Puteri Jihan dan Tengku Puteri Afzan terpaksa mengambil peperiksaan penggal persekolahan esok di luar sekolah atau di mana-mana hotel,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.