Perangi penghina Islam jangan pilih bulu

Oleh MAT ZAIN MAT ISA

Sesuatu isu berkaitan agama sentiasa dinilai sensitif, terutama apabila ia diuar-uarkan sebagai menghina ajaran dan pegangan sesuatu agama. Sama ada penghinaan itu datang dari pihak berlainan agama atau penganut ajaran itu sendiri, kedua-duanya tetap menimbulkan kesan negatif dalam masyarakat.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita, sebarang tindakan mengapi-apikan pertentangan agama selalunya akan ikut sama mewujudkan ketegangan antara kaum.


Lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan Islam, memandangkan penganutnya dipisahkan secara agak ketara dengan agama lain menerusi garisan kaum atau bangsa penganutnya.

Sebagai negara berpenduduk majoriti Melayu, isu-isu berkaitan agama Islam lebih mendominasi perbahasan dan perkiraan rakyat negara ini.

Saban tahun berlaku beberapa isu agama yang menjadi bahan polemik di dalam masyarakat. Di tahun lalu, misalnya, antara isu yang menghangatkan suasana ialah tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum yang dinilai mempertikaikan ketentuan Perlembagaan dan undang-undang negara berkaitan memeluk Islam.

Tahun sebelumnya tercetus isu penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan agama Kristian yang mengundang bantahan umat Islam. Isu ini masih berlanjutan hingga kini.


Pada 2006 lalu, antara isu agama paling besar ialah tindakan sembilan menteri kabinet bukan Islam menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri meminta supaya undang-undang berkaitan pertukaran agama (yang dinilai memihak kepada Islam) disemak semula. Mereka turut menuntut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan berkautan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil dipinda.

Meskipun sembilan menteri itu menarik balik memorandum tersebut tiga hari kemudian setelah dinasihati Perdana Menteri agar "ikutlah prosedur", parut ekoran tindakan mereka itu sukar dihilangkan.

Turut menjadi polemik ialah pertikaian beberapa pihak ke atas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan senaman yoga dan perlakuan wanita menyamai lelaki atau pengkid.

Tahun ini pula, beberapa siri isu agama telah melewati hidup kita. Antaranya ialah tindakan kabinet April lalu yang memutuskan anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin walau pun ibu atau bapa memeluk Islam. Keputusan itu kemudiannya ditempelak para mufti dan agamawan. Ia juga dibatalkan Majlis Raja-Raja Melayu yang bersidang bulan lalu.

Kini perbahasan mengenai isu menghina Islam memuncak kembali. Ia gara-gara tindakan dua pemimpin bukan Islam dari DAP dalam dua kes berasingan. Satu kes ekoran serangan peribadi terhadap seorang pendakwah bebas berbangsa Cina yang kemudiannya turut dikaitkan sebagai menghina ajaran Islam dan institusi istana.

Satu kes lagi membabitkan pelabelan 'ekstremis' terhadap seorang aktivis pembangkang lain yang menganggotai sebuah pertubuhan Islam. Kedua-dua isu tersebut ekoran komen dua pemimpin DAP itu menerusi blog masing-masing.

Susulan itu, beberapa pemimpin utama negara menyarankan agar tindakan tegas dikenakan terhadap mereka. Perdana Menteri sendiri mengarahkan pihak berkuasa menyiasat segera kenyataan-kenyataan menerusi blog-blog tersebut yang disifatkannya berbentuk penghinaan terhadap Islam.

Gesaan Perdana Menteri itu segera dipanjangkan para pemimpin dan pengikut partinya. Beberapa siri perhimpunan haram mengecam dua pemimpin pembangkang itu diadakan ahli-ahli Umno di serata negara. Para pemimpin tertinggi lain pula mengusulkan berbagai bentuk tindakan terhadap kedua-dua pemimpin terbabit.

Namun tidak sah rasanya apabila bercakap mengenai Islam di negara ini tanpa menjenguk pandangan PAS. Maka media bertanyakan komen Mursyidul Am PAS.

"DAP kalau hina Islam, pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam," komennya.

Meskipun ringkas, bidasan Tok Guru itu sudah memadai untuk membuatkan umat Islam yang selama ini menolak Islam jatuh terduduk.

Tidak sukar diakui kenyataan beliau itu lebih ditujukan kepada para pemimpin Umno. Lagi pun itu bukan kali pertama Tok Guru mengungkap kekecewaannya terhadap parti Melayu itu yang disifatkannya terang-terang menolak Islam dan memilih kebangsaan sebagai dasar perjuangannya.

Ya, secara realistiknya kita perlu akui betapa sikap dan pendirian sebilangan pemimpin Melayu sendiri sebenarnya yang menjadi punca penghinaan terhadap Islam. Apabila mereka tidak menerima gagasan Islam dalam hidup atau sebagai dasar parti dan kerajaan yang mereka pimpin, apa peliknya bila bukan Islam mempertikaikan Islam?

Barang dimaklumi, senarai penghinaan oleh para pemimpin Umno terhadap ajaran dan hukum Islam amat panjang. Isu saham kilang arak, kes ratu cantik dan pemecatan Mufti Selangor, fatwa Sureheboh TV3, pandangan ulama mengenai Kongsi Raya dan penolakan Umno terhadap hudud adalah contoh penghinaan terhadap Islam.

Kita amat bersetuju jika kerajaan berhasrat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam. Kita juga berharap ketegasan kerajaan dalam hal itu tidak akan memilih bulu. Ia perlu memastikan semua pihak, termasuk dari kalangan pemimpin Umno sendiri, yang menghina Islam mesti disiasat dan dikenakan tindakan sewajarnya.

No comments

Powered by Blogger.