Rohaizat lawan Salleh Man ibarat pasukan bola Malaysia lawan Sepanyol

Oleh SHIRZAD LIFEBOAT

SEPERTI dialami kebanyakan calon Umno-BN lainnya, calon mereka bagi pilihan raya kecil kerusi Dun Permatang Pasir terpaksa menghadapi musibah besar yang meranapkan sama sekali harapannya untuk menjadi YB sebelum hari pengundian lagi.

Sebenarnya sejak Allahyarham Dato' Onn Jaafar sehinggalah giliran Dato' Seri Najib Razak mengambil tanggungjawab selaku Presiden Umno, kempen dan unsur politik yang mewarnakan pilihan raya kecil di Malaysia (juga ada kalanya dalam pilihan raya umum) banyak dibumbui oleh 'pembunuhan watak' (character assassination).


Bercakap mengenai dua pemain terbesar yang mewarnai politik Malaysia (setidak-tidaknya dalam politik pilihan raya), 'pembunuhan watak' boleh berlaku secara dua hala.

Namun, sekiranya seseorang berhasrat mengkaji perangkaan kaitan antara prestasi pilihan raya dengan pembunuhan watak berdasarkan semua pilihan raya dan pilihan raya kecil yang telah diadakan sejak pilihan raya pertama, tahun 1955 atau 1959 (selepas merdeka) maka sudah tentu keputusannya jauh memihak kepada PAS.

Kenapakah kejayaan menggunakan strategi pembunuhan watak lebih memihak kepada kemenangan untuk PAS berbanding dengan Umno?

Jawapannya cukup mudah. Ia tidak memerlukan penganalisis politik terhandal. Apabila Umno-BN menggunakan cara ini untuk menyerang calon PAS, ia lazimnya menemui kegagalan kerana sandaran yang digunakan bagi membunuh watak seseorang calon PAS itu bukan sahaja terlalu lemah tetapi lebih banyak diada-adakan tanpa bukti kukuh.

Apa pun percubaan Umno-BN 'mendiskredit' seseorang calon PAS ia lebih banyak terdorong daripada keadaan terdesak berbanding fakta sahih mengenai calon berkenaan.

Paling-paling pun soal yang sering ditimbulkan Umno-BN bagi tujuan 'character assassination' ini hanyalah tentang kelayakan akademik, gahnya jawatan dalam sesuatu organisasi atau pengalaman politik.

Begitupun, adalah amat malang bagi Umno-BN betapa asas yang digunakan untuk membunuh watak calon PAS itu adalah tidak relevan sama sekali.

Lebih malang lagi ia mencerminkan 'think-thank' dan perancang strategi pilihan raya Umno-BN yang kian ketinggalan zaman dalam mengusul sesuatu yang lebih efektif.

Barangkali kegagalan demi kegagalan inilah memaksa Umno-BN memalu tabuh dan rebana antik mereka, sama ada mengenai janji pelbagai projek, janji untuk membantu golongan tertentu serta memberi ruang bagi umum mempercayai atau mengkaitkan mereka dengan pemberikan kain pelikat atau kain batik dan sebagainya.

Berbeza dengan PAS, pembunuhan watak yang dilihat sebagaimana dilakukan mereka bukanlah satu 'character assassination' dalam erti kata sebenarnya.

Sebaliknya ia satu langkah yang perlu diambil oleh PAS bagi menyelamatkan rakyat tempatan daripada dipimpin wakil rakyat yang tidak mungkin dapat memikul amanah rakyat.

Ia mungkin disebabkan, sama ada perwatakan calon yang dikemukakan oleh Umno-BN itu tidak mesra rakyat (sebagaimana calon kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihan raya kecil Parlimen berkenaan tidak lama dulu).

Selain itu, dan apa yang lebih penting lagi, calon yang dikemukakan Umno-BN itu dikaitkan dengan sesuatu perlakuan yang boleh menimbulkan kesangsian tentang kemampuannya berlaku amanah terhadap rakyat sebagaimana calon BN Dun Permatang Pasir, Rohaizat Ibrahim.

Rohaizat dikatakan terlibat dalam transaksi jual-beli tanah secara tidak beretika sehingga dipecat Majlis Peguam. Bagaimanapun beliau mencabar keputusan Majlis Peguam itu di mahkamah tetapi gagal apabila mahkmah mengekalkan keputusan tersebut.


Umno-BN sudah tentu boleh mendakwa apa sahaja mengenai, kononnya, kebaikan yang dilakukan untuk rakyat, apatah lagi 'jasa dan sumbangan' terhadap rakyat Pulau Pinang terutamanya orang Melayu di negeri pulau itu, tetapi hakikat tetap hakikat.

Benar, kerajaan Pakatan di Pulau Pinang didakwa oleh Umno-BN mempunyai kelemahan itu dan ini. Namun rakyat boleh menerima hal ini kerana ia merupakan sebuah kerajaan baru dan tidak pernah memerintah sejak Merdeka.

Tetapi meletakkan seorang calon tidak berwibawa dan dikaitkan dengan perlakuan awam yang berkonflik dengan amanah sebagai seorang wakil rakyat bagi mengatasi kelemahan yang didakwa dilakukan Pakatan sudah tentulah tidak akan menyebabkan pengundi yang selama ini mengundi PAS tiba-tiba mengundi Umno.

Malah bagi mereka yang mengundi Umno sebelum ini sendiri, sudah tentu juga tidak mahu mengambil risiko untuk memilih orang yang awal-awal lagi disangsikan sifat amanahnya untuk memimpin mereka.

Oleh itu, tanpa perlu memikirkan atau mengambil kira sama ada slogan 1-Malaysia yang dipelopori Umno-BN atau 'PAS For All' yang menjadi teras perjuangan PAS berdasarkan Islam itu untuk semua, calon PAS, Mohd Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang terkenal dengan perwatakan sederhana dan amanah serta berwibawa dan boleh diterima semua kaum adalah sebenarnya bukan lawan Rohaizat.

Dalam lain perkataan pertandingan Rohaizat menentang Salleh Man adalah ibarat pasukan boleh sepak Malaysia menentang Sepanyol.

No comments

Powered by Blogger.