MAKI UMNO DAPAT PAHALA?

Dalam pengajian ilmu Hadis, akan ketemu satu ilmu yang bernama Ilmu Jarh wa Ta’dil atau terjemahan melayunya dikenali sebagai ilmu “menerangkan kecacatan perawi (maki) dan meninjau adil perawi (Puji)”.

Ilmu ini sebenarnya sebahagian dari ilmu “rijal Al-Hadis” yang lebih membicarakan berkenaan sejarah hidup para perawi hadis-hadis nabi SAW.

Ilmu ini adalah antara ilmu yang penting dipelajari. Ianya bertujuan untuk memastikan sesuatu hadis itu tidak dicemari oleh unsure-unsur yang merosakan disamping dapat memastikan sesuatu hadis itu palsu atau tidak.

Ilmu ini diasaskan kepada firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Maksudnya;
“Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan”

(Surah Al-Hujurat : 6)

ILMU MENGUMPAT ?

jika diperhatikan kepada ilmu ini, seakan-akan kelihatan bahawa ilmu ini mempunyai unsure-unsur mengumpat, sedangkan mengumpat merupakan antara amalan-amalan yang diharamkan oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ

Maksudnya;
“dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya”

(Surah Al-Hujurat : 12)

Walaubagaimanapun, tidak semua mengumpat itu diharamkan oleh Allah, bahkan dalam beberapa keadaan, mengumpat itu diizinkan, seperti melakukan umpatan oleh isteri yang didera suaminya di hadapan Qadhi dan sebagainya.

Begitujuga, pernah berlaku di zaman nabi tentang satu umpatan yang telah dilakukan oleh sebilangan sahabat dihadapan nabi SAW, yang ianya menjadi dalil bahawa, tidak semua umpat itu diharamkan oleh Allah. bahkan disana ada beberapa bentuk umpat yang diizinkan oleh Allah berdasarkan kepada sebab-sebab tertentu.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari dan Muslim, bahawa hadis ini daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Hindun bin Utbah berkata;

يا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيْسَ يُعْطِينِي ما يَكْفِينِي وَوَلَدِي إلا ما أَخَذْتُ منه وهو لَا يَعْلَمُ فقال خُذِي ما يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya;
“Wahai Rasulullah SAW, Sesungguhnya Abu Sufyan merupakan seorang lelaki yang kedekut. Dia tidak memberi kepadaku belanja yang memadai bagiku dan anakku melainkan dengan cara aku mengambil darinya dalam keadaan dia tidak mengetahui. Lalu bersabda Nabi SAW; ambillah kadar yang memadai untuk dirimu dan anakmu dengan makruf[1]”

Menurut Imam An-Nawawi, hadis ini menjadi dalil bahawa dibenarkan menceritakan perkara yang dibenci oleh seseorang (mengumpat) dengan tujuan untuk mendapatkan fatwa dan sebagainya[2].

Imam An-Nawawi juga menyatakan, dari hadis ini menandakan bahawa harus mengumpat dengan menyebut nama individu yang bermasalah dalam tujuan untuk mendapatkan fatwa[3].

Maka dengan ulasan ini menyebabkan lahirlah ramai tokoh-tokoh ulama hadis yang melakukan amalan “mengumpat” terhadap sebilangan perawi-perawi hadis dengan tujuan untuk menyelamatkan kandungan hadis dari dimasuki unsure-unsur kerosakan disamping untuk memastikan sesuatu hadis itu palsu atau tidak.

Antara misalnya adalah seperti yang telah dilakukan oleh Imam Ibnu hazm Az-Zahiri yang telah mengumpat terhadap Abdul Malik bin Al-Walid bin Ma’dan dalam memastikan kandungan surat yang di tulis oleh Omar bin Al-Khattab terhadap Abu Musa Al-‘Asyari[4].

Begitujuga, Abdul Malik bin Al-Walid bin Ma’dan juga diumpat oleh Abu Hatim yang berkata, “Abdul Malik adalah orang yang lemah dalam meriwayatkan hadis”, juga diumpat oleh Ibnu Hibban yang berkata, “Abdul Malik adalah orang yang suka membolak balik sanad dan riwayatnya tidak boleh dijadikan hujjah[5]” dan banyak lagi.

Pun begitu, jika diperhatikan kepada ulama-ulama yang lain pula, ada sebilangan mereka memuji riwayat Abdul Malik bin Al-Walid, disamping dia diburukkan oleh sebilangan ulama yang lain.

Antara ulama yang memuji riwayatnya adalah seperti Ibnu Al-Qayyim didalam kitabnya “A’lam Al-Muwaqiin[6]”, dan juga Abdul Malik bin Habib yang merupakan pakar fiqh di Andalusia disamping mahir dalam bidang sejarah dan sastera yang bermazhab maliki dan sebagainya[7].

UMNO/BN BOLEH DI MAKI?

Jika umpatan diizinkan oleh syarak dengan tujuan-tujuan yang diizinkan seperti ingin menyelamatkan agama ini dari tercemar dengan unsure-unsur yang merosakan, maka UMNO/BN merupakan badan yang sangat perlu diumpat dan dimaki bagi memastikan agama Islam di Negara ini terselamat dari dicabuli pihak golongan musuh-musuh islam, disamping menyedarkan rakyat tentang penipuan dan penyelewengan yang telah dilakukan oleh pemerintahan UMNO/BN.

Seperti yang diketahui, UMNO/BN merupakan pakatan politik yang telah memerintah Negara ini semenjak merdeka lagi, tetapi dengan pemerintahan itulah dapat dilihat, betapa Islam dinegara ini dilihat dengan rupa yang hodoh sekali, disamping kezaliman terhadap rakyat yang tidak berdosa telah dilakukan oleh mereka.

Jika ada ulama yang mengutuk dan memaki dengan menggunakan kalimah “dajjal” kepada sebilangan perawi-perawi hadis yang berbohong dalam meriwayatkan hadis, maka kalimah “dajjal” juga layak diberikan kepada UMNO/BN yang sering melakukan pembohongan terhadap rakyat Negara ini.

PENUTUP

Dari hasil tulisan ringkas ini didapati bahawa, UMNO/BN layak dikutuk dan di umpat disamping menjelaskan penyelewengan yang telah dilakukan oleh mereka. Kelayakan untuk diumpat ini bertambahan lagi disebabkan UMNO/BN merupakan organisasi yang sering memberi ruang kepada sesiapa sahaja untuk memberi gambaran buruk terhadap Islam.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 september 2009 * 3:49 petang



[1] Sahih Al-Bukhari : 5/2052. hadis no : 5049. sahih Muslim : 3/1338 : hadis no : 1714.
[2] Syarh An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 12/7.
[3] Syah An-Nawawi ‘Ala Sahih Muslim : 12/142.
[4] Manhaj Omar Omar bin Al-Khattab fi At-Tasyri’ : m/s 40.
[5] Manhaj Omar Omar bin Al-Khattab fi At-Tasyri’ : m/s 44.
[6] A’lam Al-Muwaqiin : 1/100.
[7] Manhaj Omar Omar bin Al-Khattab fi At-Tasyri’ : m/s 45.

No comments

Powered by Blogger.