Khaled Mahu BOE Percepat Proses Pengiktirafan Program Ijazah Universiti Tempatan

KANGAR, 8 Sept (Bernama) -- Lembaga Jurutera Malaysia (BOE) perlu bersikap telus dalam mengiktiraf program ijazah universiti tempatan agar tidak menimbulkan masalah kepada siswazahnya.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata BOE selalu memberi alasan yang berubah-ubah sebelum mengeluarkan pengiktirafan itu sedangkan para siswazah menaruh harapan untuk bekerja di sektor awam.

Katanya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), sebuah universiti termuda di negara ini yang kini mempunyai 5,800 pelajar turut menghadapi masalah apabila lapan program ijazah kejuruteraannya belum lagi diiktiraf BOE.

Setakat ini hanya ijazah Mikro Elektronik dan Kejuruteraan Komputer yang diberi pengiktirafan.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat pengursan UniMAP di sini Selasa, Mohamed Khaled berkata, kira-kira 1,000 siswazah dalam program itu menunggu pengiktirafan itu bagi membolehkan mereka memohon pekerjaan dengan sektor awam.

Namun, katanya, mereka tidak menghadapi masalah menyertai sektor swasta malah dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian, kira-kira 75 peratus daripada pelajar universiti itu mendapat tawaran kerja di syarikat swasta.

Mohamed Khaled berkata BOE telah melawat UniMAP bagi menjalankan penilaian semula terhadap lapan program ijazah itu pada April lalu dan mereka masih belum memberikan jawapannya.

Katanya BOE tidak seharusnya mengambil masa yang panjang untuk mengeluarkan pengiktirafan itu.

Menurutnya, rundingan juga dilakukan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menerima siswazah UniMAP dalam sektor awam sementara menunggu pengiktirafan itu.

Setakat ini, JPA telah memberi pengiktirafan Khas Untuk Penyandang untuk graduan UniMAP bagi lapan program itu bagi membolehkan mereka menyertai sektor awam.

Lapan program yang lewat mendapat pengiktirafan itu ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Metalurgi, Kejuruteran Bahan, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Pembuatan, Kejuruteraan Perhubungan, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Sistem Elektrik dan Kejuruteraan Elektronik Industri.

Sebelum itu, Mohamed Khaled mengadakan perjumpaan selama tiga jam dengan pihak pengurusan UniMAP yang diketuai Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin di Auditorium Dewan 2020 di sini.



-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.