3 nenek berkas pencuri bogel


ANISAH (kanan) dan Norizan menunjukkan langsir yang digunakan mereka untuk mengikat pencuri yang memecah masuk rumah mereka di Anak Bukit, Alor Setar, semalam.

Warga emas guna langsir ikat tangan, kaki suspek pada katil

ALOR SETAR: Keberanian tiga warga emas, masing-masing berusia 58, 59 dan 60 tahun berjaya menumpaskan percubaan seorang pencuri yang memecah masuk rumah mereka, di Anak Bukit, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, pencuri yang menyangka akan memperoleh habuan kerana rumah berkenaan didiami warga emas, tewas apabila ditangkap.

Ketika kejadian, tiga warga emas tersebut, Anisah Sheikh Yahya, 60, dan adiknya Zainal Abidin, 58, serta kakak iparnya, Norizan Shafie, 59, sedang menonton televisyen di dapur rumah setingkat itu dan tidak menyedari kehadiran suspek yang masuk melalui tingkap di bilik belakang.

Anisah yang juga pemilik rumah itu berkata, dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas menantunya, Azzanudin Mohd Rejab, 33, membuka lampu bilik belakang untuk mengambil beg pinggangnya yang tertinggal sebelum terdengar jeritan.

"Kami bertiga yang terkejut mendengar jeritan itu melihat seorang lelaki tiba-tiba keluar dari bilik belakang dalam keadaan bogel sebelum masuk ke bilik depan.

"Kami menangkap lelaki itu yang terperangkap di bilik depan kerana semua tingkap berkunci," katanya.

Anisah berkata, Norizan dan Zainal Abidin bertindak memegang lelaki itu dan menjerit meminta pertolongan jiran.

Katanya, lelaki itu meronta untuk melepaskan diri tetapi dengan kudrat yang ada, ketiga-tiga mereka memegang mangsa dengan kuat untuk mengelakkan suspek berusia 30-an itu melarikan diri.

Katanya, suspek yang hanya memakai tuala mandi masuk melalui lubang angin sebelum menanggalkan tualanya di luar rumah, manakala rakannya sempat melarikan diri.

"Disebabkan suspek berbogel, saya membaling langsir ke arahnya untuk menutup badannya sebelum polis tiba.

"Kami turut mengikat tangan dan kakinya pada katil," katanya.

Ketiga-tiga warga emas itu tidak mengalami sebarang kecederaan malah suspek gagal melarikan barang berharga yang terdapat di rumah itu.

No comments

Powered by Blogger.