Buruh disyaki bunuh mangsa kerana enggan belikan motosikal

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my

JOHOR BAHRU: Mayat seorang wanita yang cacat pendengaran dipercayai mangsa pembunuhan anak sendiri ditemui dalam sebuah beg pakaian di bawah sinki rumah mereka di Kampung MIC, Ulu Tiram di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata mayat mangsa ditemui oleh Unit Anjing Pengesan selepas menjalankan operasi mencari dan mengesan mangsa di sekitar rumahnya, kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Beliau berkata, sebelum itu, polis menerima laporan daripada anak lelaki sulung mangsa yang berusia 22 tahun yang memaklumkan mengenai ibunya, Malila Kathidra, 47, yang dilaporkan hilang kira-kira jam 11 pagi kelmarin.

"Sebaik menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu, kami melancarkan operasi mencari tetapi gagal menemui mangsa di kawasan hutan sekitar kampung itu sebelum menemui cebisan baju mangsa di tepi longkang berhampiran rumah mangsa.

"Penemuan cebisan baju mangsa itu kemudian membawa anjing pengesan kembali ke rumah mangsa sebelum menemui beg yang mengandungi mayat mangsa yang disembunyikan di bawah sinki dapur rumah mereka kira-kira jam 7.20 pagi," katanya di sini, semalam.

Roslan berkata, sebaik saja anjing pengesan mula mengesan kedudukan beg pakaian berkenaan, anak lelaki sulung mangsa yang dipercayai suspek utama dalam kes pembunuhan berkenaan yang sebelumnya turut menyertai operasi mencari itu bertindak melarikan diri.

Beliau berkata, sebaik menemui beg itu dan menjalankan pemeriksaan, pihaknya menemui mayat mangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk dibedah siasat.

"Kami juga menemui parang yang berlumuran darah di kawasan hutan berhampiran rumah berkenaan.

"Sehubungan itu, kami percaya sudah mengenal pasti suspek utama pembunuhan mangsa yang juga seorang buruh dan berharap dapat menahannya dalam masa terdekat untuk membantu siasatan," katanya.

Roslan berkata, pihaknya kini mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai bunuh dan sedang menyiasat motif pembunuhan mangsa.

"Kami kini sedang mengenal pasti sama ada mangsa ditikam atau ditetak hingga mati. Kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mangsa," katanya.

Difahamkan suspek marah dengan ibunya yang bekerja kilang di Ulu Tiram apabila enggan membelikannya motosikal selepas ibunya membelikan kereta baru untuk anak lelakinya yang lain.

No comments

Powered by Blogger.