Aiyyuhal Ummah!! Kejutkan Saudaramu Dari Lena Yang Panjang...

BULETIN الحضارة~*BIL:77/Zulqaedah 1430

A L – H A D H A R A H

`Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (agama) Allah, dan dia mengerjakan amal yang baik, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk golongan orang-orang Islam (yang menyerah diri)" Al-Fusilat 33. Selawat dan salam kepada Penghulu segala Nabi, Muhammad saw al-Mustafa, kaum keluarga baginda dan semua sahabat yang bagaikan bintang-bintang bergemerlapan. Seterusnya kepada ummat Islam di sepanjang zaman yang berusaha gigih untuk membangun serta membina kembali keagungan Islam seperti yang telah diperintahkan, insyaAllah!

Browser Anda mungkin tidak bisa menampilkan gambar ini.

`Orang-orang beriman akan mengambil kekuatan dari kebenaran yang dianutinya. Dia tidak bekerja kerana dorongan syahwat dan nafsu, bukan kerana kepentingan peribadi, bukan kerana mempertahankan golongan dan bukan pula kerana hendak menginaya dan melanggar hak orang lain. Orang-orang beriman itu bekerja hanya kerana kebenaran yang kerana kebenaran itu berdirinya langit dan bumi. Kebenaran itu lebih berhak untuk menang, sedang yang batil patut hancur dan musnah, sebagai disebut dalam firman Allah (bermaksud)`; `Sebenarnya Kami yang melontarkan yang haq kepada yang batil lalu yang haq itu menghancurkannya, maka dengan serta merta yang batil (palsu) itu hilang lenyap.` al-Ambiya 18.

`Dan katakanlah: "Telah datang kebenaran dan hilanglah kepalsuan". Sesungguhnya yang batil itu adalah pasti lenyap.` Al-Isra` 81. (Petikan Buku Iman & Kehidupan -Dr Yusuf al-Qardhawi)

Saudara ummah sekelian telah menjadi sunnah kepada perjuangan menegakkan kebenaran, perlu diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh oleh ummat yang benar-benar mencari kebenaran dari Allah swt.`Sesungguhnya manusia itu Kami ciptakan hidup dalam perjuangan yang memerlukan bersusah payah` al- Balad 4. Ummah tidak boleh mengambil mudah atau mengikut sahaja kemahuan sekeliling yang tidak membawa aspirasi perjuangan Islam seperti kehendak Allah swt. Ikhlas mencari kebenaran, menjauhkan dorongan hawa nafsu, ketika itu baru boleh meletakkan Allah, Rasul, orang-orang beriman serta kepentingan ummah di depan dalam segala kerja buat perjuangan kita. Sikap berhati-hati yang berprinsip inilah yang ditunjuki Nabi Ibrahim as yang melihat dan memerhati alam sekeliling bagi mencari hakikat ketuhanan dan kejadian alam ini. Baginda tidak terus menerima dan larut dengan kemahuan dan kecenderungan masyarakat sekeliling walaupun popular dan ramai serta berkuasa pula. Yang menyembah dan `merpertuhankan` sesiapa sahaja dengan memperbodohkan aqal serta naluri sendiri. Contoh terbaik bagi aliran dan fahaman taklid membuta tuli yang masih terdapat pada hari ini.

Begitu juga teladan Nabi Muhammad saw, beliau cepat menyedari kecelaruan dan kegersangan masyarakat sekeliling dari kebenaran sebab itu Baginda saw berusaha mencari-cari hakikat kebenaran yang pasti ada tetapi tersembunyi atau terselindung di sebalik semua ketidakadilan serta kecelaruan ini. Kebenaran ini sesuatu yang perlu diusahakan, perlu diselak dari selaput-selaput silauannya. Kebenaran tidak akan singgah di hati-hati manusia yang belum bersedia untuk menerima kehadirannya. Dengan kata lain kebenaran tidak pernah bersama, bersekutu dalam satu jiwa dengan kebatilan, kepura-puraan, kesyirikan, maksiat, amalan jahiliyyah, hubbuddunya dan lain-lain. Maksud firman Allah; `Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang hamba itu dua buah hati dalam rongga dadanya…` al-Ahzab 4.

Perjuangan menegakkan kebenaran tidak pernah dihampar dengan permaidani merah dan yang terlebih penting untuk ummah mutakhir ini memahaminya perjuangan menegakkan agama yang benar (Islam) bukan seperti perjuangan dalam arus politik semasa yang terpamer sekarang. Perjuangan menegakkan kebenaran ialah perjuangan yang menghayati atau membina kehidupan dengan beragama Islam, insyaAllah dalam setiap lapangan kehidupan peribadi, keluarga, jiran dan seterusnya daulah. Itu yang dicontohkan oleh Nabi-Nabi dan Rasul as. Perjuangan Islam memerlukan kita berhadapan dengan musuh yang terlalu seni bersembunyi di dalam diri kita sendiri yang begitu liat dan payah untuk tunduk dan patuh kepada kebenaran yang diperintahkan oleh Allah swt. Seterusnya perjuangan kebenaran menuntut supaya kita mengutamakan ahli keluarga, sanak saudara dan para tetangga supaya menerima aqidah yang benar, ajaran Islam yang sebenar dan menghayatinya dalam kehidupan bersama-sama. Selanjutnya perjuangan kebenaran ini akan sampai ke kemuncaknya apabila ummah terpaksa berhadapan dengan segala penzalim, pendusta, pejuang-pejuang palsu yang mempergunakan nama Islam dan para tirani yang berkuasa. Para musuh Allah ini akan mula rasa tergugat kekuasaan, kedudukan serta `status quo` mereka apabila ummah bangkit menyatakan kebenaran bertepatan dengan perintah Allah swt serta contoh Rasul saw.

Perjuangan di medan politik yang kebanyakkan ummah terkeliru sekarang, tidak perlukan penghayatan yang sebegitu. Malah aqidah pun tidak perlu berubah, yang penting berubah bagi mereka ialah dalam `kewajipan` memangkah (mengundi). Contohnya, sebagai seorang muslim rakyat negeri Pulau Pinang hati saya begitu jengkel apabila melihat kain-kain `banner` yang dikeluarkan kerajaan negeri PR dengan slogan `Amal Maaruf Nahi Mungkar` yang dipopularkan oleh KM Lim Guan Eng diletakkan di merata simpang jalan. Slogan yang merupakan arahan dari Allah swt kepada ummat Islam dipermainkan malah saya rasa beliau menghina ummat Islam! Sekali lagi saya katakan “Beliau menghina ummat Islam!” tetapi boleh dibenarkan oleh rakan-rakan mereka yang berugama Islam dalam PR terutamanya PAS. Tidakkah pemimpin PAS sedar kemungkaran yang paling besar ialah syirik kepada Allah swt (tidak beriman). Ini yang saya katakan politik tidak perlu mengubah aqidah yang penting mengundi PR. Tidak hairan dan pelek lagi apabila ummat Islam di Johor sebelum ini pun disuruh keluar beramai-ramai untuk mengundi calon PAS, seorang perempuan yang berugama Hindu (kafir). Elok sangatlah lepas ni Pengerusi PR yang didaftarkan ialah Dato` Zaid Ibrahim yang menyaman hudud dari dilaksanakan di Kelantan dulu. Kenapalah ummat Islam di dalam PAS masih dibuai mimpi-mimpi indah? Adakah kamu semua nak tunggu negara ini jadi macam Bosnia atau Kosovo baru nak bingkas bangun? Wajarkah wala` dan taklid dengan memijak-mijak aqal-budi sendiri ??

Wahai ummah! Perjuangan Islam bukanlah kehidupan popular seperti artis yang diperagakan di hadapan kita oleh politikus-politikus atas nama `Islam`, rakyat, demokrasi, bangsa atau lain-lain. Perjuangan Islam ialah perjuangan menegakkan aqidah dalam kehidupan `real` kita. Mengubah serta membentuk masyarakat dari tidak beriman kepada beriman hanya kepada Allah swt. Melaksanakan serta tunduk akan segala perintahNya dalam kehidupan sehari-harian kita. Perjuangan Islam bukan membangkitkan semangat dan menimbulkan konflik, perjuangan Islam mengenengahkan kesedaran dan merungkaikan permasalahan. Perjuangan Islam bukan mencetus dan mengulas issu-issu politik, tetapi perjuangan Islam ialah membina kelompoknya yang beriman insyaAllah akan terhindar dari issu-issu murahan. Perjuangan Islam tidak perlu menyuruh atau berkempen supaya orang melantik kita menjadi ketua atau YB, tetapi perjuangan Islam ialah berdakwah @ berjihad supaya kita dan orang ramai memahami dan melaksanakan ajaran Islam sebenar.

Perjuangan Islam sebenar berketuakan (wala`) Allah swt, Rasul saw dan orang-orang beriman yang paling taqwa di kalangan mereka. Yang paling taqwa itu tidak semestinya kita, hanya mereka yang beriman akan mengenali dan mengangkatnya di bawah takdir serta restu Allah swt jua. Orang-orang beriman memilih ketua bukan seperti pemilihan pemimpin politik murahan @ picisan yang ketagihkan sokongan ramai. Ketua orang-orang yang beriman akan menjaga kepentingan Allah, Rasul dan kepentingan mereka yang beriman. Ketua yang ketagihkan sokongan ramai akan jelas mengutamakan kelompok yang mengangkatnya jua iaitu golongan `chacha wal marba`. Sekian. Dari Ibnu Ramadhan.

``qulil haq walau kana murron ``

Diterbitkan oleh:Penerbitan Sanaabel No 8A, Kg Permatang Saga, Pinang Tunggal 13210 Kepala Batas, Seb Perai Utara, P.Pinang M`sia. Tel:016 4282156 email: p.sanaabel@gmail.com atau layari blog kami http://sanaabel.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.