MB: Kerajaan Negeri Cadang Tubuh Suruhanjaya Bebas Pemberian Persekutuan

SHAH ALAM, 10 Nov - Kerajaan Negeri Selangor bercadang menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pemberian Persekutuan atau “Independent Grants Commissions” supaya pengagihan kewangan didisplinkan mengikut keperluan pembangunan.

Suruhanjaya bebas ini penting bagi memastikan kaedah penyaluran kewangan kepada negeri bebas daripada sebarang pengaruh politik.

Dengan langkah proaktif ini kewangan yang disalurkan dengan telus dapat dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Saya nak cadangkan kita tubuhkan “Independent Grants Commissions” itu yang dapat mengkaji pengagihan belanjawan-belanjawan negara pada negeri-negeri tertentu. Dengan cara itu peranan keputusan politik itu agak ada tetapi kecil sedikit daripada kegunaan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat”, kata Tan Sri Khalid.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian selepas membentangkan Belanjawan 2010 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini.

Ini berikutan Kerajaan Negeri Selangor hanya menerima kewangan hanya 400 juta ringgit sahaja berbanding sumbangannya kepada Kerajaan Persekutuan melebihi 16 bilion ringgit.

“Kita telah menunjukkan pendapatan dari negeri Selangor untuk Kerajaan Persekutuan melebihi 16 ribu juta dan pendapatan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada negeri hanya 400 juta. Kalau berasaskan daripada 20 peratus daripada pendapatan diagihkan kerajaan negeri dia melebihi 3.2 ribu juta”, katanya.

Menurut Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan hanya diwajibkan memperuntukkan dua geran utama kepada Kerajaan Negeri, iaitu pemberian mengikut bilangan penduduk (capitation grant) dan pemberian penyelenggaraan jalan raya negeri (MARRIS).

Bagaimanapun, perubahan semasa tidak diambil kira iaitu jumlah cukai pendapatan yang dibayar oleh rakyat Negeri Selangor kepada kerajaan Pusat.

Barisan Nasional sewajarnya menggunakan formula “equalisation” yang mengambil kira jumlah penduduk, kemiskinan, pembangunan kawasan, kos, pembangunan insan dan indeks pendapatan hasil kasar per kapita.

Malangnya kerajaan pusat bersikap tidak profesional dalam mengagihkan kewangan hasil kutipan cukai dari seluruh negeri di Malaysia.

“Belanjawan negeri sangat bergantung kepada jumlah hasil cukai tanah dan juga pemberian kerajaan persekutuan untuk berasaskan penduduk dan juga pembaikan jalan-jalan milikan kerajaan negeri. Dan kita dapati jumlah itu tidak melihatkan sumbangan negeri kepada hasil kerajaan persekutuan yang sepatutnya mengagihkan semula pendapatan-pendapatan dari percukaian kepada negeri-negeri berkenaan”, ujarnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.