Anual Bakri Haron: Seminar khas kejutkan pemimpin PAS

Anual Bakri Haron
Jika terdapatlah satu-satunya faedah daripada kejutan cadangan untuk mengadakan mesyuarat agung khas yang dibuat oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku mursyidul am PAS melalui blognya pada 21 Oktober lalu, maka satu-satu faedah itu ialah membuka mata semua pihak.

Daripada cadangan mengadakan muktamar khas, ia membuka jalan kepada mesyuarat khas yang memutuskan supaya menggantikan muktamar kepada seminar. Dari situ juga, Jawatankuasa Disiplin parti telah kelihatan seakan dicaj dan diaktifkan.

Dari seminar yang telah berlangsung pada 7 November, 2009 dengan tajuk Memperkasakan Parti maka timbul kesedaran pula untuk mengkaji punca sokongan generasi muda yang dikatakan merosot terhadap parti.

Ke arah mengkaji faktor kelemahan ini, telah berlaku pula pertemuan tertutup dengan pensyarah undang-undang, Prof Dr Abdul Aziz Bari dengan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan beberapa pemimpin Pemuda pada 11 November 2009.

Jika diikutkan kenyataan Ustaz Nasrudin, “Pertemuan ini adalah lanjutan daripada seminar tempoh hari untuk mendengar dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Dr Abdul Aziz.”

Mengikut ketua Pemuda PAS itu lagi, pandangan dan lontaran idea dalam pertemuan tertutup itu adalah positif.

Jika dianalisis urutan peristiwa yang berlaku selepas cadangan EGM oleh mursyidul am pada 21 Oktober lalu adalah jelas bahawa Nik Abdul Aziz telah berjaya mengubah paradigma.

Jika sebelum ini, keadaan PAS kelihatan kaku serta hilang maya kerancakan tetapi cadangan Tok Guru itu telah memunculkan riak dan gelombang yang mencabar status quo minda.

Idea Tok Guru yang segar itu telah memecahkan keghairahan baharu untuk berfikir dari haluan di luar lingkaran. Setiap pemimpin dan ahlinya baik di dalam atau pun di luar parti seakan dipaksa untuk berfikir di luar dari kerangka konvensional.

Sikap proaktif ketua pemuda yang dilihat pantas membuat susulan untuk mengkaji faktor-faktor kenapa berlaku kemerosotan dalam sokongan orang muda kepada parti benar-benar menampakkan bahawa mesej mursyidul am sudah sampai.

Tentu sekali kita mempunyai alasan yang kuat untuk mengucapkan tahniah kepada ketua pemuda yang mengambil susulan langkah dalam tempoh tak sampai satu minggu selepas seminar.

Rata-rata aktivis parti kelihatan lega dengan langkah ketua Pemuda yang pantas turun padang untuk memeriksa punca demi membaiki dan memperkasakan parti dan sekaligus memperbaiki hubungan dengan Pakatan Rakyat.

Ghairah kegembiraan menerima sikap Pemuda PAS yang dilihat terpuji ini, Tok Guru membayangkan “Seeloknya jika muslimat dan ulama boleh dijemput dan boleh berada di dalam pertemuan tertutup dengan ahli akademik berkenaan.”

Walau bagaimanapun Tok Guru merasakan ini boleh diatasi dengan mudah melalui satu taklimat Pemuda PAS kepada Dewan Ulama dan Dewan Muslimat.

Apa yang penting, seminar ini seakan-akan telah mampu mengejutkan orang yang “jaga” untuk terus jaga dan berjaga-jaga.

No comments

Powered by Blogger.