Bajet 2010: Bukti Pakatan Rakyat Serius Merakyatkan Ekonomi Selangor

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat sekali lagi dilihat berjaya mengotakan janjinya untuk mengembalikan semula perolehan hasil kerajaan negeri kepada rakyat dalam pembentangan Bajet 2010 hari ini.

Belanjawan yang dibentangkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim itu ternyata mencakupi segala segi berlandaskan strategi menegakkan demokrasi tulen; menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat; merakyatkan ekonomi Selangor; pembangunan lestari; pemerkasaan rakyat Selangor dan membasmi kemiskinan.

“Untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor amat menekankan konsep “Selamat dan Bersih”. Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor memandang serius mengenai kebimbangan yang semakin ketara berkaitan peningkatan kadar jenayah,” katanya.

Selari dengan startegi berkenaan, Khalid dalam pembentangan bajetnya dilihat mengutamakan keselamatan rakyat apabila memperuntukkan sejumlah RM3 juta bagi pemasangan CCTV dibebrapa lokasi yang sesuai di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau juga menggariskan supaya setiap kawasan perumahan baharu mesti dilengkapi dengan kemudahan keselamatan yang mantap.

Dalam pembentangan berkenaan, kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat juga tidak meminggirkan aspek kesihatan terutamanya di kalangan golongan kurang berkemampuan.

Sehubungan itu program Bantuan Kesihatan diwujudkan bagi membiayai beberapa rawatan katarak mata, dialisis buah pinggang dan pembedahan kecil.

Khalid berkata kerajaan negeri membiayai kos rawatan bagi katarak mata sebanyak RM700, rawatan dialisis buah pinggang RM60 bagui setiap kali rawatan dan pembedahan kecil sebanyak RM1500.

Dalam menegakkan demokrasi tulen, Khalid menyokong cadangan kumpulan ‘Coalition for good Governance’ supaya Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan di Selangor.

“Cadangan ini telahpun dibentangkan kepada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Kami percaya bahawa pilihan raya kerajaan tempatan adalah penting untuk memperkasa setiap rakyat Selangor untuk memilih sendiri wakil yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran kawasan-kawasan tempatan dan tempat kediaman kita masing-masing,” katanya.

Bagi menjaga keaslian alam di Selangor pula, kerajaan negeri dilihat mengambil langkah proaktif dengan meminda Akta Perhutanan yang akan mewajibkan konsultasi atau pendengaran awam untuk setiap kali terdapatnya aktiviti di kawasan hutan.

Rancangan ini akan dibentangkan dalam Persidangan Dewan pada Mac 2010.

No comments

Powered by Blogger.