Menuju Ke Arah Ekonomi Karbon Rendah untuk Mengatasi Masalah Pemanasan Bumi dan Perubahan Iklim

Teks Ucapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago Sempena Pembahasan Belanjawan 2010 di Parlimen Malaysia.

Bahagian 4 : Menuju Ke Arah Ekonomi Karbon Rendah untuk Mengatasi Masalah Pemanasan Bumi dan Perubahan Iklim

Saya mengalu-alukan langkah yang telah diambil oleh Kementerian Sumber Semulajadi dan Alam Sekitar dalam menyediakan Dasar Perubahan Iklim seperti yang dimaklumkan oleh Menteri. Dan Dasar tersebut akan dibentang kepada Kabinet bulan November ini

Walau bagaimanapun, saya meragui sama ada proses penggubalan Dasar tersebut melibatkan perundingan dengan NGO alam sekitar dan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan dasar yang akan diterima pakai nanti adalah berkesan, difahami dan disokong oleh mereka dan rakyat jelata.

Saya berharap Dasar Perubahan Iklim Negara akan membimbing pembangunan Malaysia ke arah ekonomi karbon rendah (low carbon economy) memandangkan pemanasan bumi akan mendatangkan kesan buruk tidak kira sama ada negara maju ataupun negara sedang membangun.

Dasar yang amat penting ini harus merangkumi pembaikan sistem pengangkutan awam, pengurangan pemakaian bahan bakar fosil, pembangunan tenaga perbaharui semula (Renewable Energy) dan penggalakan skim keberkesanan pemakaian tenaga (Energy Efficiency).

Seperti sedia maklum, pada bulan Disember nanti, persidangan perubahan iklim Bangsa-bangsa Bersatu yang ke-15 (CoP 15 of the United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC)) akan diadakan di Copenhagen, Denmark di mana 193 buah negara sepatutnya menentukan halatuju Kyoto Protocol dalam menangani masalah pemanasan bumi.

Tetapi Kyoto Protocol yang seharusnya diteruskan ke fasa kedua kini diancam oleh negara-negara maju ataupun kumpulan Annex I kerana negara-negara tersebut enggan mematuhi prinsip UNFCCC yang mengkehendaki negara-negara maju yang menyebabkan pemanasan bumi kerana aktiviti-aktiviti ekonomi mereka memikul tanggungjawab yang lebih berat dengan meningkatkan sasaran pengurangan karbon masing-masing dalam fasa kedua kepada 50% pada tahun 2020 dan 80% menjelang tahun 2050 untuk mengelakkan kesan-kesan buruk perubahan iklim.

(historical emission; common but differentiated responsibilities; to avoid adverse impact of climate change)

Selepas sebanyak lima pusingan perbincangan dalam tahun ini, perbincangan telah menemui jalan buntu.

Saya berharap Malaysia akan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bagi kepada pendirian kumpulan negara-negara membangun yang diketuai oleh kumpulan G77 – China dalam memastikan Kyoto Protocol akan diteruskan dan menolak sebarang perjanjian baru yang dicadangkan oleh negara Annex I yang ingin negara yang dianggap pesat membangun seperti China dan India juga diwajibkan untuk mengurangkan perlepasan karbon mereka.

Ini adalah kerana perjanjian baru yang diingini oleh negara-negara maju adalah tidak adil memandangkan mereka setakat ini bukan sahaja tidak berjaya mencapai sasaran pengurangan perlepasan karbon mereka dalam fasa satu Kyoto Protocol malahan mereka juga telah gagal menunaikan janji mereka dari segi peruntukan kewangan dan teknologi untuk membantu negara-negara membangun untuk terus membangunkan ekonomi mereka secara mampan (sustainable).

Akhir kata, Tuan Yang di Pertua, apa kah strategi kerajaan untuk meningkatkan wealth ownership kaum India memandangkan kaum India hanya mempunyai 1.1 peratus daripada kekayaan negara pada masa kini.

No comments

Powered by Blogger.