Bekas YDP MPK dipenjara 4 tahun, denda hampir RM2 juta

Oleh Adha Ghazali

KANGAR: Mahkamah Tinggi Kangar hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda hampir RM2 juta ke atas seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), selepas didapati salah dalam tiga pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM385,000 yang dilakukannya pada 1999.

Hakim Datuk Zammani A Rahim membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan petisyen difailkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menggantikan hukuman terdahulu dijatuhkan ke atas tertuduh, Baharudin Ahmad, 51, yang bertentangan dengan peruntukan undang-undang.

Petisyen itu difailkan SPRM pada 21 Mei 2008 melalui Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, memohon mahkamah mengenepikan hukuman dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen yang dibuat pada 29 November 2006 lalu, sebelum menggantikan dengan hukuman baru mengikut peruntukan Sesyen 16 Akta Pencegahan Rasuah (APR) 1997.

Ini kerana jumlah denda yang ditentukan hakim ketika itu jauh lebih rendah berbanding nilai diperuntukkan mengikut Seksyen 16 APR 1997, yang mana hukuman denda seharusnya tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi perkara kesalahan, atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

"Dengan ini, saya tetapkan tertuduh didenda RM1.5 juta bagi pertuduhan pindaan pertama iaitu lima kali ganda nilai suapan, diikuti RM125,000 bagi pertuduhan pindaan kedua dan RM300,000 bagi pertuduhan ketiga.

"Sementara hukuman penjara yang ditetapkan Mahkamah Sesyen bagi ketiga-tiga pertuduhan terbabit sebelum ini, termasuk denda RM20,000 bagi pertuduhan pindaan keempat dikekalkan dan hukuman penjara berjalan serentak mulai tarikh hukuman dibacakan," katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM405,000 ke atas tertuduh membabitkan empat pertuduhan rasuah dengan nilai keseluruhan RM387,500 pada 1999 lalu.

Semua suapan itu diterima tertuduh dalam empat kejadian berasingan dari seorang lelaki, Nik Mokhtar Nik Hassan, sebagai suapan melancarkan urusan menandatangani perjanjian usaha sama projek pembangunan perumahan bercampur di Titi Tinggi, dekat Padang Besar antara MPK dan Sonati Development Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, Baharudin antara 5 dan 15 Februari 1999 di Pejabat MPK di Persiaran Jubli Emas, di sini, dituduh secara rasuah meminta suapan tiga peratus daripada RM10 juta kos pembangunan projek yang menyamai RM300,000 daripada Nik Mokhtar, sebagai dorongan kelulusan cadangan projek pembangunan terbabit dan didapati salah mengikut Seskyen 10(a)(bb) AKR 1997 (Akta 575).

Pada 3 Jun 1999 jam kira-kira jam 1.30 petang, Baharudin di dalam kereta dengan nombor pendaftaran WDT 399 di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur secara rasuah dituduh menerima suapan wang tunai RM25,000 dari individu sama sebagai upah untuk tujuan sama dan didapati salah mengikut Seksyen 11(a) akta sama.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, Baharudin pada 9 Julai 1999 di pejabat MPK, di sini, kira-kira jam 5 petang bersetuju menerima suapan RM60,000 iaitu RM30,000 wang tunai dan RM30,000 lagi dalam bentuk cek daripada Nik Mokhtar, untuk tujuan sama dan didapati salah mengikut Seksyen 11(a) akta sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh yang berkhidmat secara kontrak sebagai YDP MPK selama empat tahun sejak Februari 1999, boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 16 APR 1997.

Akhir sekali, dalam pertuduhan pindaan keempat, tertuduh pada 27 Oktober 1999, kira-kira jam 1 petang, di Kedai Tan Aik Hin di No 51, Jalan Besar, dekat Padang Besar dituduh menerima satu set golf jenis Mizuno bernilai RM2,500 dari individu sama yang diketahui mempunyai hubungan dengan projek pembangunan di mukim Titi Tinggi. Kes disiasat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh kemudian dihukum sebelum dibebaskan sebulan kemudian selepas mahkamah membenarkan permohonan rayuan dibuat pihaknya bagi mengkaji semula keputusan hakim ketika itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kangar semalam menolak permohonan rayuan dibuat tertuduh, selepas mengambil kira kejayaan pihak pendakwaa mewujudkan prima facie di dalam kes terbabit.

Malah, hujah pihak pembelaan yang cuba menyangkal kredibiliti Nik Mokhtar selaku saksi utama kes dalam memberikan keterangan sepanjang prosiding berlangsung, turut disangkal mahkamah.

No comments

Powered by Blogger.