Dewan Bahasa dan Pustaka: Rugi 250 juta, Ketua Pengarah berumur 65 tahun!

"Sekarang ini Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mencapai umur 65 tahun pada 7 November 2009 dan khabarnya beliau dilantik sehingga Januari 2011. Apa hebatnya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka?"
"Konsep peniaga buluh kasap orang-orang yang menjaga DBP katanya telah menyebabkan DBP kerugian sebanyak RM 40 juta setahun. Kerugian ini dari 2003 sehingga sekarang."



Oleh ABDUL MAHARAJA


Kita mula dengan apa yang kita tahu tentang Dewan Bahasa dan Pustaka, sebuah institusi yang Kerajaan Umno/BN letak di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan dalam tahun 1956 hasil Kongres Bahasa dan Kebudayaan Melayu.

Institusi lain yang seumur dengannya ialah Mara dan Bank Rakyat. DBP diwujudkan di bawah Akta 213 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka Tahun 1959, disemak 1978 pindaan dan perluasan 1995. Tujuan utamanya ialah untuk "Memperkembang dan memperkayakan bahasa kebangsaan dan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan.”

Hari ini, November 2009 usia DBP telah mencapai 53 tahun dan dalam tempoh tersebut banyak yang sudah berubah di gedung bahasa ini. Ibu pejabatnya berhampiran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor kini telah menjadi bangunan tersergam 33 tingkat.

Untuk membuat DBP lebih berkesan pejabat wilayahnya ada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Jumlah kakitangan tidak kurang 1,000 orang semuanya.

Berhubung dengan kakitangan ini kita tidak tahu apakah proses kenaikan pangkat kakitangan DBP ini telus, adil dan mengikut peraturan? Berdasarkan sumber yang boleh dipercayai, prosesnya tidak mengikut peraturan seperti sepatutnya(?).

Sepintas lalu memanglah DBP ini macam seorang panglima bahasa perkasa di tengah-tengah medan pertempuran era globalisasi. Itu dahulu. Dahulu Dewan Bahasa dan Pustaka memanglah diterajui oleh panglima-panglima bahasa seperti Tuan Syed Nasir Ismail dan En. Hassan Ahmad iaitu semasa peristiwa keranda 152 tahun 1967.

Kini panglima sudah tiada yang ada hanyalah pecacai. Oh, ya sebelum terlupa satu ketika dulu sebelum 2003 ada 5 ( lima) bahagian besar di DBP yang diamanahkan untuk mencetak buku-buku terbitan DBP.

Bahagian ini yang banyak membuat duit kepada Dewan. Entah macam mana, mungkin bingung dan haloba agaknya pengurusan tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu memutuskan ia diswastakan. Hasil daripada konsesi pengswastaan ini dengar-dengarnya ada orang besar Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kaya. SPRM (SPERMA? Takkan nak siasat bendera dan lembu saja).

Para pekerja bahagian tersebut ikut sokong kerana mungkin harapkan bonus, gaji yang berlipat ganda. Tapi sekarang, khabarnya nak dapatkan bonus pun mengemis. Syarikat konsesi Dawama yang untung, pekerja terabai, Dewan Bahasa dan Pustaka yang rugi.

Kita tentu masih ingat macam mana pekerja Telekom begitu seronok dapat gaji besar kerana telah diswastakan.

Pekerja-pekerja kerajaan yang lain hanya gigit jari teringin. Apakah sekarang ini orang-orang yang sudah diswastakan ini jauh lebih mewah daripada pekerja-pekerja kerajaan yang lain? Dan satu soalan cepu emas, betulkah yang telah diswastakan ini menjadi lebih bagus, produktif dan menguntungkan negara dan para pekerja? Kita balik pada kesan penswastaan 5 (lima) bahagian dari DBP cetak buku tadi.

Difahamkan dari penyata tahunan semenjak 2003 sehingga kini, satu kesan besar yang telah timbul akibat perbuatan menswastakan bahagian mencetak buku ini. Dawama, syarikat yang diberikan konsesi untuk mencetak buku-buku keluaran Dewan betul-betul mencetak buku: Hanya buku-buku yang betul-betul boleh buat duit saja.

Maknanya DBP telah buat satu keputusan yang maha cerdik dan bagus sekali untuk perkembangan bahasa, sastera dan budaya negara kita. Buku yang WAJIB laris ialah buku-buku teks dan hak ini ada pada DBP atau Dawama? Oleh sebab kerja yang MESTI BUAT UNTUNG ialah mencetak buku teks kenapakah Dawama nak sibuk-sibuk fikir fasal bahasa, sastera dan budaya?

Dawama itu peniaga, DBP itu birokrat (barau-karat?), sasterwan, budayawan itu siapa? Dan ada sumber yang memaklumkan bahawa tindakan ini telah menyebabkan DBP mesti rugi setiap tahun.

Tahu bagaimana boleh rugi? Setiap buku yang dicetak oleh DBP, Dawama dapat 80%. DBP? 20% untuk buku bukan teks. Sementara buku teks 70% (Dawama), 30% (DBP).

Hebatkan cara berniaga Pak Pandir yang gerenti mestikan rugi ini? Ini nak niagakah nak ambil komisen dari pengswastaan? Konsep peniaga buluh kasap orang-orang yang menjaga DBP katanya telah menyebabkan DBP kerugian sebanyak RM 40 juta setahun. Kerugian ini dari 2003 sehingga sekarang.

Kalau setahun 40 juta, 6 tahun sudah RM 240 juta. Itu hanya anggaran kasar. Kata sumber, lagi banyak DBP cetak buku, semakin rugi DBP. Tuan-tuan fikirlah sendiri..lu sendiri fikirlah kata Raja Lawak. Ini kerja bodoh atau kerja korup? Kalau bodoh, takkan ahli lembaga pengelola tidak melihat laporan tahunan tiap-tiap tahun?

Apakah itu fungsi Lembaga? Takkan nak masa bodoh seperti kata orang Indonesia, biarin Pak, asalkan Bapak Senang.



Ini ada lagi satu cerita yang tak kurang menariknya. Mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008, “Dasar dan Prosedur Lantikan Secara Kontrak” yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, seseorang penjawat awam itu boleh dilantik semula untuk berkhidmat dengan beberapa syarat:



i) Umur tak boleh lebih 65 tahun. Lantikan ini juga memenuhi kriteria misalnya jawatan kritikal seperti para pakar, hakim dan lain-lain. Dan untuk pesara kuasa menimbang Perdana Menteri dengan perakuan Ketua Setiausaha Negara.

ii) Sekarang ini Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mencapai umur 65 tahun pada 7 November 2009 dan khabarnya beliau dilantik sehingga Januari 2011. Apa hebatnya Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka? Logiknya PTD-PTD lain juga memohon supaya mereka dilantik sehingga umur melepasi 65 tahun juga.

Surat lantikan beliau khabarnya pun tidak ditandatangani oleh Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, atau Ketua Setiausaha Negara. Sudahlah umur melepasi 65 tidak dilantik oleh orang yang sepatutnya, tidak juga berpakaran dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.

Alangkah malangnya Dewan Bahasa dan Pustaka, orang Melayu, pembayar cukai dan rakyat Malaysia, hal ini berlaku di institusi yang kononnya mengembangkan ilmu tapi diurus dan ditadbir dengan cara yang tidak bertamadun. Sebab di antara ciri orang bertamadun ialah bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam masyarakat.



i) Apakah matlamat penubuhan DBP masih lurus seperti yang ibu bapa kita fikir dan rancang? Atau apakah matlamat itu telah berubah? Kalau ya, bila dan kenapa? Atau adakah matlamat ini telah diselewengkan untuk tujuan-tujuan lain?

ii) DBP itu milik siapa: Rakyat, negara, parti politik, puak atau kelompok?

iii) Dawama itu siapa punya?

iv) Bila agaknya rakyat akan mendapat manfaat sepenuhnya dari ‘apa yang sebenarnya DBP patut buat?’

v) Bagaimana agaknya nak diseselesaikan masalah berserabutnya DBP ini?

vi) Katakan Kerajaan Umno/BN telah gagal mencari dua orang Melayu sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah DBP dan Ketua Pengarah DBP yang berwibawa kita lantiklah seorang rakyat manusia Malaysia yang betul-betul layak (Tak kira apakah bangsa, agama, rupa, jantina atau pun warna kulit) jika perlu seorang Cina yang telus, amanah dan terbuka, supaya bahasa Melayu mampu menjadi bahasa yang macam ibu bapa kita fikir dan rancang dahulu?

Alangkah baiknya jika ada seorang manusia yang bukan-Melayu yang seumpama itu di DBP. Saya telah cadangkan sesuatu di luar kotak? Atau sesuatu yang tak pakai otak?



Sebagai penutup kita semua (seluruh rakyat lebih-lebih lagi pemimpin) mestilah berubah 360 darjah, dengan keyakinan 360 darjah bahawa kita boleh maju dengan kaedah bersikap telus, amanah dan terbuka dalam menyelesaikan apa saja masalah.

Bolehkah begitu?

Harap-harap apa yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka membuka mata kita semua bahawa sebuah institusi yang diharapkan untuk membangunkan tamadun dan peradaban negara ini sedang menuju kehancurannya.

Panglima-panglima Melayu seperti Gapena, Perkasa (dah jadi pekasamkah), Prowaris, Pakeda, GPMS berhentilah berkokok berderai-derai kerana institusi keMelayuan anda sedang layu selayu-layunya.

Siapakah yang akan bertanggungjawab tentang hal ini?

Perdana Menteri, Menteri Pelajaran pejuang-pejuang Melayu atau kita terus biarkan Si Luncai? Marilah kita fikirkan bersama, jika kita masih ada harga diri, tanggungjawab dan maruah.

No comments

Powered by Blogger.