Jais: Dr Asri akan segera didakwa

Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.

Pengarah jabatan itu Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.

"Tapi kita mungkin akan ambil masa yang panjang sikit kerana melibatkan dakwaan-dakwaan (daripada pelbagai pihak).

"Kita kena siapkan kertas siasatan sebelum boleh buat pendakwaan," katanya.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Mohammed Khusrin turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri.

"Tangkapan dibuat dengan dibantu polis kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama (Dr Mohd Asri).

"Kami telah dihalang oleh jemaah dan wakil rakyat kawasan, sebab itu kami dapatkan bantuan polis," katanya.

"Kita telah jalankan tanggungjawab berdasarkan peruntukan undang-undang. Kami tidak buat lebih daripada sepatutnya."

Dr Mohd Asri sedang disiasat bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang (foto kanan).

Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.

Di sidang media itu, Mohammed Khusrin menjelaskan, Jais belum mendakwa Dr Mohd Asri kerana siasatan jabatan itu setakat ini belum mencukupi.

"Pagi tadi, kita bawa ke mahkamah bukan untuk mendakwa dia. Kita bawa pagi tadi untuk jaminan bon melanjutkan tempoh siasatan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan peruntukan dalam enakmen tersebut, jika siasatan tidak dapat disiapkan dalam tempoh 24 jam, Jais harus melanjutkan bon jaminan untuk meneruskan siasatan.

Beliau juga berkata, Jais tidak menerima tekanan daripada pertubuhan Islam dalam menjalankan tindakan ke atas bekas mufti itu.

"Tidak ada (tekanan), kita buat ini tanpa arahan sesiapa dan kita buat ikut arahan pentadbiran biasa.

"Sesiapa saja termasuk Dr Asri atau wakil rakyat yang buat ceramah agama di Selangor tanpa tauliah, kita akan ambil tindakan," jelasnya.

Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabi seperti didakwa sesetengah pihak, pengarah Jais berkata ia tidak sesuai dikenakan terhadap Dr Mohd Asri memandangkan siasatan masih dijalankan.

Jelasnya lagi, Jais tidak boleh membuat tuduhan sembarangan ke atas Dr Mohd Asri walau bekas mufti itu menerima tuduhan mendukung ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam.

Dalam satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, sejumlah NGO Islam membantah Dr Mohd Asri dilantik sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) atas alasan beliau seorang yang tidak mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah, menolak ulama dan bersikap ekstrem.

Dr Mohd Asri bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dalam sidang medianya semalam.

Mohammed Khusrin juga berkata, Jais perlu meneliti keputusan daripada siasatan sebelum membuat pertuduhan sesuai.

Jelasnya, jabatan tersebut setakat ini hanya mendapati Dr Mohd Asri mengajar agama tanpa tauliah ketika menyampaikan kuliah agam di sebuah rumah di Taman Sri Ukay malam tadi.

Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.

"Kami bertindak atas aduan dan memorandum penduduk Taman Sri Ukay sebelum kami bertindak menahan Dr Mohd Asri," kata Mohammed Khusrin lagi.


[Laporan penuh menyusul]

No comments

Powered by Blogger.