Kilang Haram Diberi Tempoh Sehingga 30 Jun 2010 Untuk Buat Permohonan

SHAH ALAM , 10 NOV - Kerajaan negeri memberi tempoh sehingga 30 Jun 2010 kepada pemilik kilang-kilang haram sekitar Kota Damansara bagi tujuan proses pemutihan.

Terdapat banyak kilang haram di Kampung Baru Sri, Sungai Buloh dan Kampung Baru Sri Subang.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, terdapat ramai pemilik kilang haram yang masih belum membuat permohonan.

“Tempoh akhir adalah 30 Jun 2010 ini dan pihak Pentadbir Tanah akan mula menghantar notis pemberitahuan serta peringatan mengenai tarikh akhir ini pada penghujung tahun ini,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, pagi tadi.

Ean Yong turut berkata Pentadbir Tanah akan mengeluarkan notis 7A(Pelanggaran Syarat Guna Tanah) bagi pemilik yang gagal memohon dalam tempoh 6 bulan yang diberikan.

Kerajaan negeri turut memberikan intensif berbentuk diskaun bagi pembayaran premium dalam tempoh 9 bulan bagi mereka yang masih belum menjelaskan bayaran premium.

Bagi tempoh 3 bulan pertama pemilik kilang diberikan tawaran diskaun atau pengurangan sehingga 50% ,manakala 6 bulan berikutnya 30% dan 9 bulan terakhir 15% bagi jumlah bayaran premium mereka.

Menurut Ean Yong lagi pemutihan kilang-kilang haram ini dapat menaikkan nilai tanah dan menambah pendapatan kerajaan negeri.

Ean Yong turut berkata kerajaan negeri sudah mula merancang satu penempatan baharu bagi mereka dalam mengusahakan industri perabot ini.

“Mereka telah menyampaikan hasrat untuk menubuhkan sebuah “Bandar Perabot yang baru di Selangor. Kerajaan negeri berpendapat bahawa penubuhan Bandar perabot ini merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah kilang tanpa kebenaran di kawasan ini.Kita sedang mengkaji mencari sebuah kawasan yang sesuai untuk melaksakan cadangan ini,”jelasnya.(ShakiraBuang-TvSelangor)

No comments

Powered by Blogger.