Nik Aziz perlu tangguh dulu puasa sunat

Zukri Aksah
Setelah berhempas pulas berjuang bagi mendapatkan pembayaran royalti minyak untuk Negeri Kelantan, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, akhirnya mampu sedikit tersenyum.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, baru-baru ini mengumumkan yang Kelantan akan menerima peruntukan wang ehsan hasil kerja-kerja carigali minyak di luar pantai negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Sebagai seorang perunding latihan dan pendidikan, sebahagian daripada penglibatan saya adalah dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang mana sektor terbesar yang menjadi pasaran perniagaan saya adalah minyak dan gas.

Saya telah mengetahui akan wujud dan berlangsungnya kerja-kerja carigali minyak di luar perairan negeri Kelantan sejak tiga tahun yang lalu. Ada peserta kursus saya yang datang dari syarikat yang terlibat dengan kerja-kerja carigali tersebut, Hess Oil and Gas Sdn Bhd.

Maka sejak tiga tahun lepas, saya sudah tahu ada minyak dikeluarkan dari luar pantai Kelantan, dan sefaham saya, seperti Terengganu, Kelantan berhak mendapat pembayaran royalti, sama ada minyak itu diperoleh dari dalam atau luar pantai negeri tersebut.

Kefahaman saya ini tentulah berasaskan penerangan panjang lebar yang pernah dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Presiden Petronas yang pertama.

Bila perkara ini sudah tidak mampu dilindungi, kerajaan persekutuan yang di bawah kekuasaan BN terpaksa juga mengeluarkan kenyataan dan melakukan sesuatu. Yang mereka lakukan adalah mengumumkan pemberian wang ehsan kepada Kelantan.

Jangan cepat kabur, ia tidak sekadar berhenti di situ. Namanya wang tetapi Kelantan tidak akan mendapat wang, pemberian wang ehsan ini seperti diumumkan Najib adalah dalam bentuk projek-projek pembangunan.

Siapakah yang akan menguruskan projek-projek ini? JPPK (Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan) lagi?

Sebelum Nik Aziz tersenyum lebih lebar, sebelum Nik Aziz mula membayar nazarnya berpuasa sunat tiga hari, saya suka untuk memberi satu senario. Bayangkan jika takdirNya berlakulah satu lagi pilihan raya kecil di Negeri Kelantan dalam masa terdekat ini seperti di Manek Urai tempoh hari.

Sudah pasti Tan Sri Muhyiddin Yassin akan sekali lagi mengetuai gerombolan BN turun berkempen di sana. Ingat kata-katanya di Manek Urai dahulu? Sudah pasti beliau akan mengulangi cabarannya itu kepada Nik Aziz tentang siapa yang lebih banyak membawa pembangunan kepada negeri Kelantan.

Andainya senario pilihan raya kecil itu terjadi ketika wang ehsan sudah dikeluarkan, saya yakin Muhyiddin juga dengan bangganya akan mengumumkan ini projek kerajaan persekutuan, itu projek kerajaan persekutuan, yang diterajui BN, mana pembangunan yang dibawa Nik Aziz dan PAS?

Padahal wang yang diguna untuk membiayai projek-projek tersebut adalah wang ehsan hasil dari minyak yang digali di luar pantai Kelantan, yang sepatutnya adalah royalti, hak kerajaan negeri Kelantan sebagaimana yang telah termeterai dalam perjanjian di antara Kerajaan Negeri tersebut dengan Petronas pada tahun 1975.

Jangan kira dendangan palsu Muhyiddin ini tidak termakan dek rakyat, 65 undi di Manek Urai seharusnya menjadi pengajaran yang sangat berharga.

Memanglah orang seperti Datuk Anuar Musa, Datuk Awang Adek Hussin dan Datuk Mustapha Mohamed akan merengek-rengek menyokong kenyataan Najib, tetapi cubalah tanya Datuk Ahmad Said, apakah dia berkenan yang royalti Terengganu itu juga adalah wang ehsan?

Mereka menyokong kerana mereka adalah waris JPPK yang layak menerima faraidnya nanti. Maka dialasankanlah kononnya Nik Aziz suka bermain politik, PAS suka bermain politik, tidak kiralah wang ehsan atau royalti, yang penting rakyat merasa nikmatnya.

Mereka lupa JPPK itu wujud kerana permainan politik BN, wang ehsan mula wujud juga kerana permainan politik BN (bila BN kalah di Terengganu), Najib adalah pemimpin politik, BN adalah institusi politik dan mereka yang merengek ini juga adalah orang-orang politik.

Tidak boleh lari dari politik, memang Nik Aziz jogho politik, PAS juga harakah politik. Tetapi soal ini lebih besar dari politik, ini soal hak dan amanah.

Tengku Razaleigh sudah menjelaskan bahawa tidak kiralah sama ada di dalam atau di luar pantai Kelantan minyak itu ditemui dan dicarigali, berdasarkan Akta Kemajuan Petroliam, Kelantan tetap berhak mendapat lima peratus bayaran royalti tersebut.

Dan berdasarkan perjanjian antara kerajaan-kerajaan negeri dan Petronas, royalti tersebut hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri, dalam konteks Kelantan, kepada kerajaan PAS negeri Kelantan pimpinan Nik Aziz, noktah.

Rakyat negeri Kelantan sudah memberi amanah kepada PAS negeri tersebut pimpinan Nik Aziz untuk memerintah, sekaligus mengamanahkan Nik Aziz dan barisan pentadbiran negerinya untuk menguruskan segala harta kekayaan negeri, termasuk minyak di luar pantainya.

Wang ehsan bukan sekadar penafian, malahan adalah penghinaan terhadap amanah yang telah diberi rakyat itu.

Nik Aziz harus sedikit bersabar, tangguhkan dulu puasa sunat itu. Najib belum mengaku kalah, permainan politiknya masih panjang. Wang ehsan di tangan Najib adalah gula-gula haram yang memabukkan.

Kalau Nik Aziz sedikit lalai dan cuai, rakyat Kelantan mungkin akan mabuk, dan beliau bersama-sama kerajaan pimpinannya boleh sahaja jatuh terduduk.

No comments

Powered by Blogger.