Mahkamah Rayuan Tolak Permohonan Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 6 Nov - Perkembangan terbaru, kes fitnah Anwar Ibrahim.

Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan perintah Mahkamah Tinggi mengarahkan pihak pendakwaraya menyerahkan bukti kes kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Anwar dalam permohonannya menegaskan bukti-bukti yang enggan diserahkan pasukan pendakwaraya adalah bukti penting yang dapat membantu pembelaannya.

“Rayuan pendakwaan dibenarkan dan perintah Yang Arif Datuk Zabidin supaya pihak pendakwaan membekalkan semua dokumen itu telah diketepikan. Bagi kita ini satu keputusan yang sangat mengecewakan sebab ini bermaksud perbicaraan atau kes ini akan mengikut pendekatan yang tidak telus, bagi kita tidak ikut lunas undang-undang. Dan di mana kita kata ada seksyen 51A yang sekarang memerlukan satu perbicaraan yang telus di mana dokumen dibagi awal untuk persiapan pembelaan, satu proses yang adil seperti yang inilah tujuan Parlimen apabila ini diluluskan tahun 2007 tapi malangnya dengan keputusan ini kita nampak perubahan yang dibuat di 2007 tidak dapat jadi satu hakikat, khususnya dalam kes kita, kes Datuk Seri Anwar”, kata Peguam bela Anwar, Sivarasa Rasiah.

Pada 16 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan pasukan pendakwaraya menyerahkan beberapa bahan bukti termasuk sedutan video lokasi kejadian dan laporan perubatan Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah Tinggi juga mengarahkan laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur diserahkan kepada pasukan pembelaan.

Laporan ini dikatakan antara 3 laporan perubatan yang mendapati tiada kesan liwat pada dubur Saiful Bukhari Azlan.

Walaubagaimanapun Mahkamah Rayuan hari ini menerima rayuan pasukan pendakwaraya yang enggan menyerahkan bukti-bukti ini kepada Anwar.

Panel tiga hakim terdiri dari Hakim Hasan Lah, Hakim Abu Samah Nordin dan Hakim Sulaiman Daud juga menolak rayuan Anwar memohon spesimen DNA dalam simpanan pasukan pendakwraya.

Pasukan peguambela bagaimanapun tidak berputus-asa dan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

“Kita akan buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan kita harap ini akan dibetulkan di peringkat Mahkamah Persekutuan, rayuan itu akan dimasukkan secepat mungkin”, katanya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.