OSA Dedah Projek Perhutanan Semula Khir Gagal Kutip RM800 juta

SHAH ALAM, 13 Nov - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menggunakan peruntukan sekysen 2c untuk mendedahkan 1 lagi dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 berkenaan Projek Perhutanan Semula oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Ini merupakan pendedahan kedua Pakatan Rakyat untuk memberi gambaran sepenuhnya 4 projek perhutanan semula di beberapa kawasan hutan simpan di Selangor sekitar 2001 hingga 2007.

Seluas 10,000 hektar kawasan hutan simpan terbabit dalam projek perhutanan semula ini ialah Hutan Simpan Bukit Tarek dan Rantau Panjang (Fasa I) dan Hutan Simpan Sungai Jeloh dan Bukit Belata (Fasa II).

Bagaimanapun, hasil keuntungan program tersebut sebanyak 800 juta ringgit dalam tempoh 20 tahun gagal diperolehi kerajaan negeri.

“Sejumlah lebih daripada 5,000 hektar hutan telah dibuka dan hutan di Bukit Tarek dan Rantau Panjang, Hutan Simpan Jeloh dan Bukit Belata dan syarikat-syarikat yang telah diberikan hutan ini. Mengikut kenyataan kerajaan sebelum ini dia dah janji nak bagi hutan kepada orang tersebut pada tahun 2001 kenyataannya yang dibuat oleh Khir Bin Toyo dikatakan PKPS dijangka mendapat keuntungan RM800 juta dan berdasarkan hasil kayu balak dan pulangan yang diterima daripada pajakan tanah dan royalti”, jelas Tan Sri Khalid semasa mendedahkan dokumen projek perhutanan semula di Selangor.

Beliau berkata demikian menambah projek perhutanan ini berlaku sejak 10 tahun lalu dikepalai mantan Menteri Besar, Datuk Khir Toyo.

Katanya lagi, 4 projek perhutanan terbabit melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan memajakkan tanah konsesinya kepada beberapa syarikat selama 25 hingga 50 tahun.

Tan Sri Khalid berkata, projek Khir Toyo ini juga turut mengusahakan taman herba untuk tujuan pharmaceutical manakala projek perhutanan semula pula diusahakan dengan tanaman bernilai komersil iaitu pokok getah dan teakwood.

“Dia nak gantikan hutan ni dengan pokok getah dan setengahnya pula tak pernah tahu tanam pokok getah kerana mereka tidak berkemampuan untuk menanam getah, jadi benih getah tu umpamanya daripada this study, kalau Guthrie buat benih getah, harga 2 ringgit, tapi dia dapat benih getah harga 25 ringgit”, katanya lagi.

Dalam fasa I, didapati semua penjanjian antara syarikat pemajak dan PKPS adalah berat sebelah apabila tanggungjawab diletakkan ke atas PKPS manakala margin keuntungan pula rendah.

Antara 7 syarikat yang terbabit dalam Fasa I ialah Shrader Forest Management Sdn Bhd, Syarikat In-N-Out Plantation Management Sdn Bhd, Syarikat Megafores Nursery Sdn Bhd, Syarikat Mewah Ikhtiar Sdn Bhd, Syarikat Eco Murni Sdn Bhd, Syarikat Kayangan Rampai Sdn Bhd dan Syarikat Tropical Position Sdn Bhd.

Bagi Fasa II pula, sebanyak 4 syarikat terbabit iaitu Meigrand Sdn Bhd, Sim Swee Hin Sdn Bhd, Aliran Angsana Sdn Bhd dan Kinta Istimewa Sdn Bhd. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.