Pemuda PAS: Permintaan Maconas mansuh sabsidi gula tidak sesuai

Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 20 Nov: Pemuda PAS menganggap menganggap permintaan Presiden Persatuan Pengguna Malaysia (Maconas) Tan Sri Darshan Singh Gill agar kerajaan menghapuskan subsidi gula yang bernilai RM720 juta setahun tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

Ianya kerana ekonomi negara sedang berdepan suatu lagi kemelesetan ekonomi yang sudah pastinya akan membebankan rakyat.

"Ekonomi sekarang dijangka kembali tenat. Maka pemansuhan sabsidi gula sudah tentu menggandakan lagi beban hidup yang sedang dihadapi rakyat sekarang ini," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat (gambar).

Beliau juga menganggap Darshan tidak realistik apabila membanding-bandingkan tarif kepenggunaan gula dengan barang asasi lain seperti tepung dan beras.

Sebaliknya, beliau menganggap kerajaan seharusnya menyelesaikan isu ketirisan serta rasuah dalam kerajaan sekarang, agar mampu terus memberi subsidi kepada rakyat.

Katanya lagi, isu subsidi gula mungkin tidak timbul, jika isu ketirisan tidak berlaku dalam pengurusan kerajaan sekarang.

"Jika ketirisan tidak berlaku, kita boleh subsidi banyak lagi barang untuk kehidupan rakyat," jelasnya.

"Jika urus tadbir baik, kos pengurusan dan pembangunan kita boleh dikecilkan dan wang lebih boleh beri (sabsidi) kepada rakyat."

Beliau turut meminta kerajaan segera menangani ketirisan dan penyelewengan urus tadbir kerajaan seperti yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008 lepas.

"Tengok laporan audit negara, rakyat tanggung rugi RM1.14 billion dalam projek Landasan Keretapi (Berkembar Elektrik) Rawang-Ipoh."

"Bila belanjawan meningkat akibat ketirisan, bukan saja sabsidi gula nak ditarik, (malah) bonus kakitangan kerajaan pun tak mampu dibayar."

"Komputer yang sepatutnya harga RM2,000, sengaja dibeli kerajaan dengan harga RM7,600 seunit. Selesaikan dulu kitirisan, baru boleh subsidikan barang-barang yang diperlukan (rakyat)," jelasnya.

Semalam, dilaporkan Darshan turut berkata jika sabsidi gula tidak dihapuskan, ianya akan meningkat sehingga RM1 billion kelak.

Ujarnya lagi, wang sejumlah itu lebih baik digunakan untuk projek pembangunan.

Beliau juga mengganggap gula tidak perlu disubsidikan kerana ia bukan barang asasi rakyat.

"Gula bukan bahan asasi seperti beras dan tepung. Gula juga bukan bahan keperluan. Malah pihak berkuasa kesihatan tidak menggalakkan penggunaan gula dan jika perlu digunakan semaksimum mungkin," ujarnya.

Namun, beliau tidak bermaksud bahawa kerajaan perlu menghentikan penggunaan gula sepenuhnya.

No comments

Powered by Blogger.