[Raja Petra] Apakah pilihan yang ada? (What are the choices?)

Sumber: Malaysian Today
Penulis: Raja Petra Kamarudin
Terjemah Oleh: Ady
Tajuk: Apakah pilihan yang ada? (Original title: What are the choices?)

Ramai antara kita yang kecewa dengan Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama, kita lebih rela mati daripada menyokong Barisan Nasional. Tetapi pilihan kita terhad. Jadi, kita memerlukan platform yang baru. Jika Gerakan dapat memainkan peranan sebagai platform baru itu, maka mereka pasti diberikan peluang untuk muncul sebagai kerajaan.....

Apakah pilihan yang ada? (Original title: What are the choices?)

THE CORRIDORS OF POWER

Raja Petra Kamarudin


Buat salah, tak buat pun salah. Itulah masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat. Apabila anda melakukan sesuatu, anda dikutuk. Tidak melakukan apa-apa? Anda juga dikutuk. Inilah dilema yang dihadapi pihak pembangkang.

Keluhan utama terhadap pihak pembangkang adalah bahawa mereka terlalu bertolak ansur dengan 'Napoleon Kenit', wakil semberono dan sebagainya. Apabila pihak pembangkang terlalu bertolak ansur dengan ‘si katak’, ‘pembelot’, ‘talam dua muka (Trojan Horse)’, ataupun mereka yang disyaki hendak ‘berhijrah’, maka pihak pembangkang dituduh tidak buat kerja.

Sekarang barulah pihak pembangkang mula mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang menjejaskan kedudukan Pakatan Rakyat. Bagaimana pula respon media arus perdana terhadap perkembangan mutakhir ini? Ah, kononnya pihak pembangkang sudah berpecah-belah.

Ya, buat salah, tak buat pun salah.

Pihak pembangkang mempunyai dua pilihan. Pilihan pertama; tak buat apa-apa dan wujudkan tanggapan bahawa semuanya baik-baik belaka di barisan pembangkang. Pilihan kedua: hambat keluar semua duri dalam daging di pihak pembangkang. Yang mana satu pilihan hati?

Saya pernah menggunakan istilah 'diktator baik' dalam satu artikel dahulu. Ini mungkin hanyalah satu percanggahan retorik (oxymoron), sepertimana perisikan tentera digelar ‘military intelligence’. Bijakkah (intelligent) pihak tentera? Atau mungkinkah si pelacur dara itu satu oxymoron? Mungkinkah si pelacur masih dara? Ah, tak mungkin, bukan? Itulah namanya percanggahan retorik. Jadi, adakah 'diktator baik' juga satu percanggahan retorik?

Pemerintahan diktator berlaku apabila para penguasa memerintah secara kuku besi dan tidak membenarkan sebarang perbezaan pendapat ataupun bangkangan. Tetapi kediktatoran yang baik adalah pemerintahan yang tegas, namun diseimbangkan dengan keadilan, kesaksamaan dan belas kasihan.

Memanglah tidak mudah untuk merealisasikannya. Secara teori, ia mungkin kedengaran ideal, tetapi secara praktikal, ia mungkin sangat sukar dilaksanakan.

Namun demikian, keteraturan tatacara mesti dikekalkan dan apabila tatacara tidak dipatuhi, maka langkah-langkah yang ekstrem diperlukan. Pada pandangan saya, pada masa lalu, terdapat tanggapan bahawa pihak pembangkang terlalu takut untuk mengambil langkah-langkah yang ekstrem bagi menangani isu ketidakpatuhan tatacara.

Apakah akibatnya? Maka muncullah sosok seperti Hassan Ali, Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan yang lain-lain, yang melakukan tindakan yang menjejaskan kedudukan pembangkang. Dahlah tu, kita juga terpaksa berdepan dengan pertikaian dalaman, perbalahan antara parti dan sayembara dalam parti yang berisiko menjatuhkan pembangkang.

Jadi, di manakah titik akhirnya? Di manakah kebebasan berekspresi berakhir dan sabotaj bermula? Apakah batas-batas yang perlu diperhatikan wakil pembangkang? Hal ini tentunya subjektif kerana setiap orang ada pendirian masing-masing. Bolehkah kita menerima cara barat yang meluahkan ketidakpuasan hati dengan berbogel, seperti Lady Godiva yang menunggang kudanya telanjang bulat 1,000 tahun yang lalu?

Keluhan utama terhadap pihak pembangkang adalah bahawa mereka tidak mendisiplinkan ‘wakil-wakil yang degil’. Tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac 2008, Malaysia Today mendedahkan bahawa terdapat pihak-pihak tertentu dalam PAS yang mengadakan perbincangan rahsia dengan UMNO. Malaysia Today juga mendedahkan bahawa UMNO sedang cuba menggulingkan lima kerajaan negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat, yakni dengan merasuah wakil-wakil pembangkang. Selain itu, Malaysia Today mengatakan bahawa UMNO mahukan orang Melayu di pihak pembangkang melompat ke pihak mereka supaya kuasa politik Melayu dapat dipulihkan.

UMNO mengatakan bahawa pilihanraya umum 8 Mac 2008 adalah ulang tayang pilihanraya umum 11 Mei 1969, di mana orang Melayu kehilangan majoriti di parlimen dan beberapa negeri. Oleh sebab itu, ‘penyelesaian’ ala 13 Mei 1969 diperlukan untuk mengatasi masalah itu. Malaysia Today mendedahkan semua ini tetapi ramai yang tidak mengendahkannya, bahkan menuduh kami cuba menakut-nakutkan rakyat dengan menjelmakan kembali 'momok’ 13 Mei.

Hari ini, Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam mendedahkan bahawa pertemuan antara PAS dan UMNO telah diadakan seawal 10 Mac 2008, yakni dua hari selepas pilihanraya umum berakhir. Agendanya? UMNO mahu PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan bergabung dengan UMNO untuk membentuk kerajaan ‘Melayu'. Dengan demikian, orang Melayu dapat kembali menjadi kuasa majoriti dalam kerajaan.

Apabila usaha untuk memujuk PAS bergabung dengannya gagal, UMNO lantas melaksanakan Pelan B, iaitu merasuah wakil Pakatan Rakyat dan menarik mereka (ataupun mengugut mereka) untuk menjadi si katak. Negeri pertama yang disasarkan adalah Perak, diikuti dengan Selangor dan Kedah. Kelantan dan Pulau Pinang mungkin akan dibiarkan, tetapi mereka akan cuba mendapatkan semula kedua-dua negeri ini dengan menggunakan taktik lain.

Jika Barisan Nasional dan UMNO ikhlas, maka mereka harus bersedia mewujudkan kerajaan perpaduan. Inilah yang dicadangkan Malaysia Today pada awal 2008. Tetapi ramai yang menentang idea ini dan mereka mengutuk saya bukan main lagi. Malah ada yang menggelarkan saya pembelot. Sebenarnya, mereka tidak memahami rasional di sebalik cadangan ini ataupun buat-buat tak faham.

Saya tidak mengatakan bahawa wakil pembangkang perlu mengundurkan diri dari PKR, DAP ataupun PAS untuk menyertai salah satu dari 14 parti di bawah Barisan Nasional. Malah saya tidak mengatakan bahawa PKR, DAP dan/ataupun PAS perlu menyertai Barisan Nasional sebagai parti komponen. Semua wakil pembangkang sudah semestinya boleh terus kekal dalam parti masing-masing, malah semua parti tersebut boleh terus kekal dalam Pakatan Rakyat. Walau bagaimanapun, Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional diusulkan berkongsi kuasa mentadbir negara ini secara bersama. Nah, inilah maksud saya!

Ini sudah dilakukan di banyak negara lain, bahkan dilaksanakan antara pihak yang ideologinya berlawanan, seperti Demokrat Kristian dan Komunis. Ada perkongsian yang berjaya dan ada yang gagal, iaitu apabila kerajaan perpaduan itu berpecah dan parlimen dibubarkan ataupun pilihanraya baru dicadangkan. Jadi, memang tiada jaminan bahawa ia akan berjaya. Tetapi belum cuba belum tahu. Pokoknya, kalau Barisan Nasional benar-benar mahu ‘berdamai’, maka inilah alternatif yang terbaik; lebih baik daripada cuba menarik pihak lawan melompat parti.

Tetapi mungkin sudah terlambat untuk meneroka kemungkinan mewujudkan kerajaan perpaduan. Kalau Abdullah Ahmad Badawi ataupun Tengku Razaleigh Hamzah jadi Perdana Menteri, mungkin ada peluang juga. Ini tidak mungkin dilakukan dengan Najib Tun Razak kerana jika kita berbuat demikian, itu bermakna kita menyokong Najib dan mengesahkan kedudukannya.

Sebenarnya, banyak perkara yang telah berubah sejak 8 Mac 2008. Dengan isu Perak yang tak sudah-sudah, adalah mustahil bagi kita mengimpikan sebuah kerajaan perpaduan. Lainlah sebelum Najib mengambil alih dan sebelum Barisan Nasional menggulingkan kerajaan negeri Perak. Kini, pintu perbincangan telah dihempas dan satu-satunya alternatif adalah menukar kerajaan. Barisan Nasional mesti dihambat keluar. Tidak ada cara lain lagi. Adalah berbahaya bagi pembangkang untuk menetapkan apa-apa persetujuan dengan Najib Si Licik.

Jadi, pilihan yang ada hanyalah kerajaan alternatif. Tetapi dapatkah Pakatan Rakyat menjadi kerajaan alternatif? Kalau mereka terus dengan cara mereka, jangan haraplah. Pakatan Rakyat perlu dibersihkan secara besar-besaran. Kalau mereka mahukan sokongan pengundi, inilah caranya… tiada cara lain.

Ini sedang mereka lakukan. Bak kata orang, kalau nak goreng telur, telur itu perlu dipecahkan terlebih dahulu. Jadi, banyak telur yang perlu dipecahkan. Namun media arus perdana terpekik sana sini seolah-olah pembangkang sudah berpecah belah. Ya, kalau tak buat apa-apa, memang akan pecah berderai. Tetapi dengan menjalankan ‘pembersihan dalaman’, Pakatan Rakyat yang lebih baik dan kuat akan dapat diwujudkan.

Bagi saya sendiri, saya tak takut pada kontroversi ataupun kekacauan. Dalam kesempitan ada kesempatan. Kalau nak sembuh, ubat yang pahit ditelan jua. Jadi, tunggu apa lagi… telanlah puas-puas.

Saya sedia memberikan 18 bulan kepada pembangkang membuktikan bahawa yang dijanji dapat dikota. 18 bulan dari sekarang, Najib akan membubarkan parlimen dan kita sekali lagi akan ke peti undi. Jadi, pada awal 2011, rakyat marhaen akan dapat memilih kerajaan yang baru. Lebih daripada 2,000 orang akan menawarkan diri mereka sebagai 800 (ataupun lebih) wakil negeri dan persekutuan kami. Kami akan menilai situasi dan memutuskan siapa yang akan diundi.

Ya, tinggal 18 bulan lagi. Pada 2011, rakyat Malaysia akan diminta untuk memilih kerajaan persekutuan dan negeri yang baru. Kemudian, kita akan tunjukkan kepada para politikus siapakah yang kita inginkan sebagai wakil kita dan bagaimanakah gerak laku mereka selama 18 bulan yang berikutnya.

Saya tidak mahu terus diperkudakan oleh Barisan Nasional. Begitu juga dengan ramai rakyat Malaysia yang lain. Tetapi bolehkah Pakatan Rakyat mengambil alih? Kita akan lihat 18 bulan dari sekarang. Sementara itu, kita memerlukan kuasa ketiga sebagai pelapis. Kalau kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat tak boleh harap, maka kita memerlukan alternatif yang ketiga.

Perti Gerakan bermain di fikiran saya. Entah kenapa, Gerakan sentiasa punya tempat di hati saya… malah sejak tahun 1968 lagi. Tetapi yang saya maksudkan bukanlah Gerakan yang sekarang ini. Gerakan yang wujud sekarang tidak boleh diterima. Ia haruslah Gerakan yang keluar dari Barisan Nasional, iaitu parti yang bebas ataupun kekuatan ketiga. Ia mestilah membuang jauh-jauh segala budaya Barisan Nasional. Pemimpin yang dah terlalu lama dan yang kotor juga perlu disingkirkan. Kita memerlukan Gerakan yang sudah dirombak dan diremajakan; Gerakan yang menjadi parti semua bangsa dalam erti kata yang sebenar, tanpa dolak dalih perkauman dan keagamaan.

Ramai antara kita yang kecewa dengan Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama, kita lebih rela mati daripada menyokong Barisan Nasional. Tetapi pilihan kita terhad. Jadi, kita memerlukan platform yang baru. Jika Gerakan dapat memainkan peranan sebagai platform baru itu, maka mereka pasti diberikan peluang untuk muncul sebagai kerajaan.

Tetapi kami takkan menyokong Gerakan berdasarkan janji-janji tertentu, sebagaimana kami menyokong Pakatan Rakyat pada Mac 2008. Gerakan harus bermula dari sekarang dan menunjukkan kepada kami apa yang dapat ia lakukan dan sedia melakukan - hari ini, pada masa depan yang mendekat dan hanya jika ia memegang tampuk kekuasaan. Gerakan tidak memerlukan masa untuk belajar. Ia telah mentadbir selama hampir 40 tahun. Jadi, mereka tahu cara-cara untuk memerintah.

Pada saat ini, kita meletakkan semua harapan pada Pakatan Rakyat. Jika mereka gagal, maka meranalah kita. Nak harapkan Barisan Nasional? Mmm… tak payahlah. Jadi, kita ketandusan pilihan. Nah, dengan kekuatan ketiga, kita mempunyai lebih banyak pilihan.

Adakah Gerakan benar-benar bersedia menjadi kekuatan ketiga itu? Keputusan terletak di tangan Gerakan. Tetapi ingat… kami tak mahu janji manis! Buktikan sekarang, dan 18 bulan dari sekarang, anda akan tahu sama ada kami menyukai apa yang kami saksikan. Kami akan memberitahu anda sama ada undi kami bersama dengan Pakatan Rakyat yang dirombak ataupun dengan Parti Gerakan Rakyat yang telah melalui proses peremajaan. Mmm… Parti Gerakan Rakyat. Nama tu cukup merdu di telinga Blogger Gerakan Rakyat. Saya sendiri pun suka.

Mmm… alangkah bahagianya jika itu benar-benar berlaku. Mungkin saya terlalu idealistik. Mungkin kita terpaksa memilih antara Pakatan Rakyat yang nakal dan Barisan Nasional yang jahat. Walau bagaimanapun, nakal lebih baik daripada jahat. Itu sajakah pilihan kita? Alahai!

Original Post: http://mt.m2day.org/2008/content/view/28252/84/

Translation Page: http://gomalaysian.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.