Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah dalam Profram syarahan lerusi Tun Abdul Ghafar Baba di Unibersiti Pendidikan Sultan Idris

Ucapan YBM Tengku Razaleigh Hamzah dalam Profram syarahan lerusi Tun Abdul Ghafar Baba di Unibersiti Pendidikan Sultan Idris

Oleh Tengku Razaleigh Hamzah

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih banyak kepada pihak penganjur, khususnya kepada Profesor Datuk Dr. Zainal Kling, atas kesudian mereka mengundang saya untuk menyampaikan ucapan dalam Program Syarahan Kursi Tun Abdul Ghafar Baba di Universiti Pendidikan Sultan Idris ini.

1. Pihak penganjur meminta saya bercakap tentang soal kemiskinan bumiputera, soal penguasaan ekonomi oleh bumiputera dan tindakan dasar awam untuk menangani masalah ekonomi bumiputera untuk masa depan. Isu-isu ini memang sentiasa menjadi bahan perbahasan dan kajian oleh pelbagai pihak di negara ini sejak 52 tahun dahulu hingga sekarang, tetapi walaupun telah banyak usaha dilakukan oleh kerajaan, misalnya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB), kaum bumiputera atau orang Melayu masih tetap merupakan kaum majoriti yang tertinggal dalam bidang ekonomi negara. Dianggarkan kira-kira 60% daripada penduduk miskin atau penduduk berpendapatan rendah di negara ini adalah orang Melayu atau kaum bumiputera Di manakah kesilapannya? Adakah dasar pembangunan ekonomi negara salah, atau kerana dasar yang ada itu tidak dilaksanakan dengan betul, dengan tegas dan jujur oleh pihak-pihak yang diamanahkan untuk menjalankan tugas itu?

3. Kita boleh bercakap panjang lebar tentang sistem dan dasar ekonomi negara, dengan mengemukakan pelbagai teori, formula dan cadangan untuk menangani masalah ekonomi bumiputera atau untuk menyelesaikan masalah kemiskinan ekonomi dan sosial tanpa mengira kaum. Tetapi bukankah dasarnya sudah ada, iaitu DEB? Kadang-kadang kita membuang masa dan tenaga membincangkan masalah ini berulangulang kali, tidak habis-habis.

4. Maka, setelah saya berfikir-fikir panjang tentang topik-topik yang dicadangkan oleh pihak penganjur itu, akhirnya saya membuat keputusan, lebih baiklah saya tidak bercakap

tentang perkara-perkara itu secara langsung atau secara khusus, kerana soal-soal itu sentiasa berlaku dan berkembang, tidak kesudahan. Saya fikir, lebih baiklah saya bercakap tentang puncanya yang pokok, yang sebenar, punca yang selalunya tidak disedari dan tidak terfikir oleh kebanyakan orang, iaitu punca yang timbul daripada masalah dan krisis kepimpinan manusia dan negara.

5. Apabila berlaku masalah kemiskinan atau krisis ekonomi, orang biasanya mencari puncanya dari dalam sistem ekonomi itu atau dari kesilapan dasar ekonomi dan kewangan kerajaan. Orang tidak bertanya: tidakkah krisis itu berlaku kerana masalah moral manusia, kerana ketamakan dan kerakusan manusia, atau disebabkan kelemahan para pemimpin? Kita tahu, dalam sejarah manusia, banyak huru-hara dan krisis dalam masyarakat atau di sesebuah Negara disebabkan negara itu diperintah oleh pemimpin jahat, pemimpin yang tidak bermoral, yang rakus, gila kuasa, zalim, tidak memikirkan tentang kebajikan rakyat.

Walau macam mana baik sekalipun sistem dan dasar negara dalam bidang apa pun, baik ekonomi atau sosial, baik sistem undangundang dan kehakimannya, dan lain-lain lagi, jikalau manusia yang memimpin, yang mentadbir dan menguruskan negara tidak cekap, tidak bersih, tidak amanah, tidak bermoral dan berbudaya tinggi, segala system dan dasar yang baik itu hancur, diselewengkan oleh para pemimpin yang korup dan yang hanya mementing diri sendiri dan kuasa mereka. Beberapa banyak pemimpin seperti itu akhirnya terpaksa digulingkan oleh kuasa rakyat, atau dibunuh atau disingkir melalui rampasan tentera. Itulah nasib yang menimpa Syah Iran dan Marcos dari Filipina, dan banyak lagi yang tidak perlu saya sebutkan nama-namanya di sini. Saudara sekalianpun tentu tahu.

6. Saudara sekalian, Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan hendaklah di antara kamu ada (segolongan) umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf (yakni, kebaikan) dan mencegah daripada yang mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya’ (Surah Ali Imran, Ayat 104). Inilah Petunjuk Allah kepada umat dan pemimpin umat Islam dipilih oleh Allah sebagai umat khalifatullah, umat yang diamanahkan untuk menjadi pemerintah di dunia, dan diberi Petunjuk tentang sifat-sifat kepimpinan yang benar, maka jika manusia mematuhi dan mengamalkan Petunjuk itu, pastilah mereka akan menjadikan ‘umat muflihun’, iaitu umat yang berjaya, di dunia dan di akhirat. Untuk menjadi khalifah Allah atau pemimpin ummah, si pemimpin itu pertama-tama hendaklah tahu memimpin dirinya sendiri, sebelum dia layak memimpin orang lain atau menjadi ketua negara.

7. Khalifah Allah yang pertama di dunia ialah Nabi Adam dikurniai akal untuk mengetahui ‘nama-nama alam’, maksudnya dia diajari ilmu dunia, sedangkan ilmu itu tidak diajarkan kepada para malaikat. Mulai dari peristiwa itulah, di dunia ini terdapat dua golongan umat atau makhluk, yang satu umat beriman yang mengajak dan memimpin manusia ke arah kebajikan atau kebaikan, yang satu lagi ialah makhluk yang diwakili oleh iblis, iaitu makhluk tidak beriman, yang sentiasa mengajak manusia ke arah kemungkaran.

8. Para Nabi yang beriman selepas Adam semuanya menyeru, mengajak dan memimpin umat ke arah kebajikan dan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kejahatan dan kerosakan atau fasad di muka bumi ini. Makhluk atau hamba Allah yang paling ulung dalam amalan kepimpinannya ialah Nabi Muhammad SAW, Nabi akhir zaman, Nabi penutup segala Nabi. Dalam ucapan saya yang ringkas ini, saya mengajak saudara sekalian mengenang semula keunggulan kepimpinan Nabi Muhammad SAW, mudah-mudahan kita semua mendapat pelajaran daripadanya untuk memperbaiki diri, fikiran dan hati kita menjadi umat dan pemimpin manusia yang muflihun dalam zaman kini, zaman yang tidak putus-putus mengalami segala macam krisis yang sebahagian besarnya berpunca daripada kelemahan dan kegagalan para pemimpin dunia dan negara memimpin manusia ke arah kehidupan yang makruf dan mencegah kemungkaran dalam hampir semua bidang –politik, ekonomi, sosial, budaya, moral dan lain-lain lagi.

9. Telah banyak buku ditulis, baik oleh orang Islam mahupun oleh orang bukan Islam tentang keunggulan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin ummah. Saya dapat menyimpulkan keunggulan sifat dan amalan kepimpinan Nabi Besar kita itu dengan kata kata berikut:

10. Baginda adalah manusia biasa, hamba Allah yang luar biasa taatnya kepada Perintah Allah; tiada siapapun pada zamannya yang berjaya mempengaruhi dan menyogok Baginda supaya memberhentikan dakwah atau misi Islamiahnya. Di Mekah, Baginda didera, dilempari dengan najis, diboikot, yakni disisih daripada sanak saudaranya, dan diugut untuk dibunuh, namun Baginda tetap dengan misinya walaupun beliau ditawari kekayaan dan pangkat (misalnya sebagai ‘Raja’ di seluruh jazirah Arab).

11. Baginda bukan sahaja pemimpin rohaniah atau ‘spiritual leader’, menjadi imam solah berjumaah, berzikir siang dan malam mengingati Tuhannya, tetapi juga pemimpin dalam kehidupan sosial seharian, menjadi ketua keluarga yang amat pengasih dan adil, membetulkan koyak kasutnya sendiri, tidur baring di atas tikar kasar sehingga badannya berbekas dan menyebabkan sahabat Baginda seperti Umar Ibnu Khattab mengalir air mata melihat keadaan itu. Pemimpin keluarga dan masyarakat ini juga menubuhkan negara dan menjadi pemimpin ‘negara Islam’ yang pertama di Madinah, menjadi panglima yang sama-sama berada di medan perang menghayun senjata menentang tentera musuh (dia tidak hanya duduk di kemah khas dan mengeluarkan perintah dari jauh) sehingga dalam Perang Uhud baginda tercedera.

12. Akhirnya baginda berjaya menguasai seluruh jazirah Arab apabila Mekah ditawan. Baginda sangat pemaaf, tidak membalas dendam; dia tidak memerintahkan para sahabat (terutama Umar Ibnu Khattab yang terkenal sangat keras dan garang orangnya terhadap sesiapa yang melakukan kejahatan) supaya membunuh semua orang Mekah yang pernah mendera dan menghina Baginda. 13. Dan Baginda wafat sebagai hamba Allah yang miskin, tidak berharta, tidak meninggalkan rumah mahligai.

14. Kerana itulah manusia yang luar biasa ini berjaya meninggalkan suatu kesatuan ummah dan tamadun manusia sejagat yang besar, iaitu tamadun Islam yang penganutnya pada hari ini berjumlah lebih 1.5 ribu juta manusia, terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum di kawasan geografi yang merata di seluruh dunia. Jumlah penganut agama ini bertambah dengan cepat setiap hari.

15. Beberapa orang penulis dan pemikir Barat menganggap baginda sebagai manusia terulung di dunia. Michael H. Hart dalam bukunya The 100: The Ranking of the Most Influencial Persons In History (New York, 1978) meletakkan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia nombor satu dalam senarai 100 orang yang dipilihnya. Alasan Hart ialah: ‘...he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels’. George Bernard Shaw berkata: I believe that if a man like him were to assume the dictatorship of the modern world he would succeed in solving its problems in a way that would bring it the much needed peace and happiness’. Kata ‘dictatorship’ yang digunakan oleh Bernard Shaw itu bermaksud ‘kepimpinan’. Seterusnya Bernard Shaw berkata, ‘...the faith of Muhammad ...would be acceptable to the Europe of today’ (dipetik dari karangan Bernard Shaw dalam ‘Genuine Islam’,Vol. 1, No.8, 1936).

16. Ahli sejarah dan pemikir bangsa Perancis yang terkenal dalam abad ke-19, Alphonse de la-Martine, berkata: ‘The most famous men created arms, laws and empires only. They founded, if anything, not more than material powers which often crumbled away before their eyes’, tetapi Muhammad, kata La- Martine, ‘tidak sahaja mampu dan berjaya menggerakkan tentera (saya tambah: yang kebanyakannya adalah tentera sukarelawan), menggubal peraturan dan undang-undang (negara), dan membina empayar tetapi juga berjaya menarik lebih daripada satu pertiga penduduk dunia pada zaman itu untuk memeluk agama itu (Islam)’. Lalu, La-Martine bertanya: ‘Tentang ukuran yang boleh digunakan untuk mengukur kebesaran (seseorang) manusia, kita boleh bertanya, apakah ada manusia lain yang lebih besar daripada dia (iaitu Nabi Muhammad SAW)?’ [Kata-kata asal La-Martine yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris berbunyi: ‘As regards all the standards by which human greatness may be measured, we may well ask, Is there any man greater than he)’?

17. Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Khalifah Al-Rasyidin pertama di Madinah, dan sahabat Nabi yang paling akrab dan setia, mencontohi kepimpinan Nabi. Apabila dia dipilih menjadi ketua ummah, mengumumkan janji terima jawatannya dengan berkata, antara lain: ‘Saya telah diangkat menjadi ketua saudara sekalian walaupun saya bukan orang yang terbaik di antara saudara. Sekiranya saya berbuat kebaikan berikanlah pertolongan kepada saya, dan sekiranya aku melakukan kesalahan betulkanlah kesalahanku. ... Ikutilah aku selagi aku menuruti Perintah Allah dan Rasul-Nya, dan sekiranya aku mengingkari (Perintah) Allah dan Rasul-Nya, saudara sekalian tidaklah patut taat kepadaku lagi’.

18. Apabila Khalifah Ali Abi Talib, menantu Nabi, menjadi Khalifah Rasyidin yang keempat, beliau telah menyampaikan arahan atau amanat kepada Malik al-Ashtar, yang dilantik menjadi wakilnya di Mesir. Arahannya, antara lain, berbunyi: ‘Apabila penduduk di bawah jagaan kamu menghadapi bebanan hidup, bersungut kerana kerosakan tanaman mereka, kerana terputusnya tali air, atau kerana hujan tidak turun, atau kerana berubahnya keadaan bumi ditenggelami bah atau dimusnah kemarau, ringankanlah kesusahan mereka sebagaimana kamu akan menyelesaikan masalah yang sama yang berlaku pada diri kamu sendiri...
’Sesungguhnya kerosakan yang berlaku di atas bumi ini berpunca daripada kesengsaraan hidup penduduknya, dan penduduknya sengsara apabila orang yang memerintah negeri asyik mengumpul harta untuk kepentingan sendiri.'

19. Apabila orang Melayu memeluk agama Islam, mulai abad ke-12 atau ke-13, suatu perubahan besar telah berlaku dalam pandangan hidup atau ‘world-view’ Melayu tentang kuasa Raja atau pemerintah. Raja Melayu tidak lagi dianggap dan dipuja sebagai jelmaan Sang Dewa di bumi manusia tetapi dianggap sebagai pemegang amanah dari Allah, atau disebut juga dalam beberapa hikayat Melayu lama sebagai zirullah fil ‘alam, yakni sebagai cerminan atau ‘wakil’ Allah di bumi. Ini sesuai dengan konsep Islam bahawa manusia adalah khalifah Allah di bumi.

20. Model kepimpinan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan yang dicontohi oleh para khalifah yang beriman itu menjadi pegangan Raja-Raja Melayu yang baik. Hal ini dapat kita kaji berdasarkan beberapa buah hikayat dan kitab yang ditulis dalam bahasa Melayu mulai abad ke-16 atau ke-17. Konsep Raja sebagai cerminan Allah atau sebagai pemegang amanah dari Tuhan dinyatakan oleh pengarang Sulalatus al-Salatin (‘Sejarah Melayu’) melalui bahasa kiasan yang cukup bernas: Raja dianggap sebagai ‘pohon’ dan rakyat pula dianggap sebagai ‘akar’. Sebagai pohon tanggungjawab Raja atau pemimpin adalah untuk memayungi atau membela dan melindungi rakyat. Rakyat bukan hamba Raja atau kerajaan tetapi adalah hamba Allah, dan dianggap sebagai ‘akar’ atau tonggak yang memberi kekuatan kepada pohon atau kerajaan. Kata pengarang, ‘pohon tiada akan berdiri jikalau tiada akar’. Kita boleh mentafsirkan kata-kata ini dengan berkata bahawa jikalau akar negara, iaitu rakyat, rosak maka tombanglah atau rosaklah kerajaan atau negeri, dan rakyat rosak disebabkan kelemahan atau kegagalan Raja atau kerajaan dalam menjalankan amanahnya sebagai pembela dan penaung rakyat.

21. Dalam satu episod dalam karya agung Melayu yang masyhur, iaitu Sulalatus al-Salatin atau ‘Sejarah Melayu’ yang dikarang oleh Tun Sri Lanang pada awal abad ke-17 (hampir 500 tahun dahulu), pengarangnya menyampaikan konsep tentang tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat melalui wasiat Sultan Alauddin Riayat Shah kepada anaknya. Wasiat itu demikian bunyinya: ‘Adapun hendaklah anakku berbuat ‘ibadat sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau kesukaran baginya, hendaklah segera kau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksai baikbaik, supaya di akhirat nanti jangan diberatkan Allah atas lehermu kerana … segala kamu yang menggembala lagi akan ditanyai daripada kebelaan kamu. Ertinya, segala raja di akhirat lagi akan ditanyai Allah daripada segala kebelaannya daripada segala ra’ayatnya, sebab demikianlah maka harus engkau berbuat ‘adil saksama supaya di sana [maksudnya di akhirat] dipeliharakan Allah Ta’ala kiranya engkau dalam akhirat (Sulalat al- Salatin: muka surat 152).

22. Wasiat itu mengingatkan kita kepada amanat atau arahan yang diberikan oleh Khalifah Ali Abi Talib kepada wakilnya di Mesir hampir 1400 tahun dahulu seperti yang saya sebutkan tadi. Ini menunjukkan bahawa Pengarang ‘Sejarah Melayu’ itu mengetahui model kepimpinan yang ditunjukkan oleh Khalifah Ali Abi Talib yang mewarisi sifat kepimpinan itu daripada Nabi Muhammad SAW. Dua perkara yang ditegaskan dalam ‘wasiat’ itu ialah: Pertama, kerajaan tidak berhak merampas hak rakyat ‘dengan tiada sebenarnya’, maksudnya, tanpa sebab dan alasan menurut undang-undang dan hak manusia sebagai makhluk Allah.
23. Sultan yang beriman dan baik itu juga mengingatkan anaknya (yang akan menggantinya sebagai Raja Melaka), bahawa: Adapun segala anak Melayu, jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan yang patut pada hukum Allah, ...kerana jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu (akan) binasa.

24. Elok disebutkan bahawa akibat Raja atau pemerintah Melaka (iaitu Sultan Mahmud) mengingkari pesanan atau wasiat ayahnya, negeri Melaka akhirnya kucar-kacir akibat kezaliman pemeritahan Sultan Mahmud yang membunuh orang, misalnya Bendahara Tun Mutahir dan semua anggota keluarganya, yang dibunuh tanpa usul periksa. Dalam keadaan kerajaan yang lemah itulah Melaka diserang dan ditawan oleh Portugis dalam tahun 1511, persis sebagaimana diramalkan oleh ayahandanya yang berkata bahawa jikalau engkau bunuh orang dengan tiada dosanya akibatnya ‘kerajaanmu binasa’.

25. Apakah ciri-ciri penting kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi (SAW) yang dapat ita contohi dan amalkan pada zaman kita di negara ini? Kita boleh menyebut tiga ciri yang utama: (a) Pertama, kepimpinan yang syumul atau holistik: Tiga cirinya ialah:

(1) kepimpinan yang boleh membawa ke arah pembangunan manusia secara berimbang dalam semua bidang, baik sosial, baik ekonomi, politik dan lainlain lagi;

(2) kepimpinan yang tidak membawa kepada wujudnya golongan-golongan masyarakat yang dibeza-bezakan secara amat ketara dari segi taraf sosial, ekonomi, budaya dan politik masingmasing; dan

(3) kepimpinan yang tidak meletakkan peraturan politik, sosial, ekonomi dan moral yang berbeza-beza antara manusia dalam pembangunan sosial, ekonomi, undang-undang dan politik negara, sehinggakan ada golongan yang dianggap tidak salah apabila melakukan kemungkaran – biasanya golongan ini adalah golongan yang berkuasa – manakala golongan yang tidak berkuasa, termasuk rakyat biasa, dianggap salah kerana melakukan perbuatan sama yang dilakukan oleh orang yang berkuasa.

(b) Kedua, kepimpinan yang tidak berdasarkan kuasa tetapi berdasarkan legitimasi moral sebagai pemimpin. Seperti kata Saidina Abu Bakar al-Siddiq, jikalau dia tidak lagi memimpin menurut perintah Allah dan sunnah Rasul (SAW), maka rakyat tidak patut mentaati dia lagi.

(c) Ketiga, kepimpinan berdasarkan keadilan. Inilah salah satu sifat kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi (SAW).
Dalam hal ini, Nabi (SAW) berpegang kepada Perintah atau Petunjuk Allah. Dalam Quran, Allah berfirman bahawa manusia yang beriman hendaklah menegakkan keadilan dan menjadi saksi atas kebenaran walaupun terhadap diri sendiri atau terhadap keluarga, anak, ayah, isteri dan suami sendiri (Rujuk Surah An-Nisa’ Ayat 13). Prinsip keadilan Islam tidak mengenal batas kaum yang berlainan agama. Allah berfirman, yang bermaksud: ‘Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil terhadap mereka’.

26. Ada cerita bagaimana Saidina Ali Abi Talib, semasa dia menjadi Khalifah, telah didakwa oleh seorang penduduk Yahudi di Madinah. Aduan si Yahudi itu telah dibicarakan. Mahkamah membuat keputusan bahawa Khalifah Ali Abi Talib, pemerintah besar Islam waktu itu, telah bersalah, dan barang yang didakwa oleh si Yahudi sebagai barang miliknya telah dipulangkan oleh Saidina Ali kepadanya. Inilah prinsip keadilan undang-undang Islam: tidak bersifat perkauman, tidak bersifat rasis, tetapi bersifat sejagat, merentas segala perbezaan bangsa, kaum, golongan, puak dan agama. Pada hari ini, apakah ada pemimpin negara yang melakukan kesalahan sanggup dirinya dibawa ke mahkamah untuk diadili? Mahkamah seringkali takut untuk membuat keputusan yang adil jika keputusan itu boleh membabitkan ‘nama baik’ pemimpin negara.

27. Saudara sekalian, pada zaman kita sekarang, kebanyakan pemimpin sebenarnya tidak memimpin. Hari ini, banyak orang menjadi ‘ketua’ secara formal – ketua negara, ketua hakim, ketua polis, ketua jabatan, ketua politik – berdasarkan kuasa, tidak berdasarkan kebolehannya untuk memimpin orang bawahan ke arah kebenaran. Mereka tidak memimpin. Mereka hanya menjalankan tugas sebagai ketua institusi yang formal. Tidak ada contoh peribadi, kemanusiaan dan moral yang baik pada ketua itu yang dapat dicontohi oleh orang lain, selain hanya kuasa formal yang ada padanya.

28. Dalam budaya Melayu ada pepatah: ‘Cik Gu kencing berdiri, anak murid kencing berlari’. Cik Gu ialah pemimpin, anak murid bererti pengikut. Kalau orang atasan, kalau ketua melakukan rasuah, orang bawahannya juga akan ikut contoh itu. Yang sedihnya, dalam masyarakat atau negara yang diperintah atas kekuatan kuasa, ketua yang melakukan kesalahan itu tidak dikenakan apa apa tindakan, sedangkan orang bawahannya yang mengikuti contoh si ketua itu dihukum. Menurut budaya kepimpinan Melayu tradisional, ‘Penghulu’ ialah pemimpin dan orang di kampungnya dianggap sebagai anak buahnya, yakni, sebagai orang di bawah jagaannya. Penghulu tidak menjaga anak buahnya melalui kuasa memerintah dan arahan. Raja atau ketua kerajaan Melayu, seperti yang tersebut terdahulu, adalah penaung dan pelindung rakyat, seperti yang telah kita sebutkan tadi. Dia bukan diktator. Dia pemegang amanah dari Tuhan. Walaupun dalam sistem demokrasi hari ini, Perdana Menteri dan para menteri dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya, konsep pemimpin yang asal dan benar itu tetap tidak boleh diubah oleh sistem politik Barat ini.

29. Tetapi hari ini, demokrasi bererti kuasa, dan kuasa bererti kekayaan. Inilah yang berlaku di mana-mana sahaja, termasuk di negara ini. Rakyat semakin menjadi hamba kepada demokrasi yang berdasarkan kuasa manusia itu. Tuhan semakin diketepikan!

30. Hari ini kita bertanya: apakah ada pemimpin, baik di negara bukan Islam, mahupun di negara Islam atau negara yang menjadikan Islam sebagai ‘agama rasmi’ negara seperti Malaysia, yang benar benar mentadbir negara atau berpegang kepada prinsip dan moral keadilan yang sejagat itu, tidak sahaja berdasarkan peraturan undang-undang atau ‘the rule of law’ tetapi tidak kurang penting keadilan dalam pembahagian harta ekonomi Negara di kalangan rakyat, keadilan dalam pengagihan kemudahan sosial dan dari segi hak dan kebebasan politik dan akal fikiran rakyat dan golongan intelektual dan ilmuwan untuk menegur pemimpin yang mungkar bagi kebaikan ummah atau negara dan rakyat? Fikirkanlah soalan ini dan carilah jawapan masing-masing.

31. Kalau mengikut keadilan hukum atau undang-undang Melayu, prinsipnya jelas: ‘Biar mati anak jangan mati adat’. Adat bererti hukum yang bertaraf undang-undang; perkataan ‘anak’ dalam pepatah ini menunjukkan bahawa hukum Melayu tidak memilih bulu; anak sendiri pun, kalau terbukti melakukan kesalahan jenayah membunuh tanpa sebab, maka dia mesti dihukum, tetapi adat, iaitu hukum, tidak boleh ‘dimatikan’ semata-mata untuk menyelamatkan si anak itu – anak itu mungkin anak penghulu, atau anak menteri atau perdana menteri. Inilah ‘The Rule of Law’ Melayu. Siapakah yang boleh berkata, ini hukum adat lapuk, hukum yang zalim?

32. Dalam bidang keadilan politik, orang Melayu mempunyai pepatah: Raja Adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah’. ‘Raja’ dalam pepatah ini bererti pemerintah atau kerajaan. Demokrasi ala-Melayu hari ini kian hari kian dirampas oleh ketua-ketua Melayu yang memagari diri mereka dengan kuasa memerintah, bukan lagi berdasarkan keabsahan (legitimasi) dan meritokrasi moral kepimpinan. Orang Melayu yang bercakap banyak menegur kerajaan, mereka akan disenyapkan dengan hadiah, dengan wang, anugerah dan macam-macam lagi sogokan politik. Saya suka mengingatkan bangsa Melayu di negeri ini, jika mereka membiarkan demokrasi jatuh ke tangan golongan berkuasa seperti itu, mereka tidak akan mempunyai apa-apa cara lain lagi yang sah untuk menyelamatkan bangsa Melayu daripada menjadi golongan majoriti yang tidak berkuasa di negara ini.

33. Berbalik kepada persoalan yang saya sebutkan awal tadi, kejayaan dasar Negara untuk memajukan keadaan hidup rakyat, untuk memajukan ekonomi bumiputera dan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan, semuanya bergantung pada mutu dan moral kepimpinan. Hari ini kita sekarang berkata ‘Rakyat Diutamakan’. Ini visi yang bagus. Perdana Menteri yang terdahulu pun mempunyai visi itu. Tun Abdul Razak adalah pemimpin yang mempunyai visi itu dengan nyata. Dia sangat pro-rakyat yang susah, yang miskin. Dia berusaha dengan cukup gigih untuk memajukan keadaan ekonomi dan sosial bumiputera dan bertekad untuk menyelesaikan kemiskinan tanpa mengira kaum, maka beliau mencetuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai tujuan itu.

34. Perkara yang lebih penting ialah, suatu proses transformasi moral yang nyata harus berlaku di peringkat kepimpinan. Keselamatan negara, kemakmuran rakyat, semuanya bergantung pada kepimpinan ‘penaung rakyat’, pemimpin yang menjadi paying kepada rakyat, bukan pemimpin yang hanya cuba memikat hati rakyat untuk tujuan memenangi pilihan raya, atau pemimpin yang menggunakan segala institusi negara atau institusi kerajaan untuk mengekalkan kuasanya. Maka saya mencadangkan, selain slogan ‘Rakyat Diutamakan’, kita semarakkan suatu ikrar negara melalui visi: ‘Kepimpinan Yang Makruf Diutamakan, Pemimpin Yang Mungkar dinyahkan’. KUASA TIDAK KEKAL

35. Saudara sekalian, ketahuilah kuasa manusia di dunia tidak kekal. Nabi Muhammad SAW mempunyai segala peluang dan syarat yang ‘legitimate’ untuk mengisytiharkan dirinya sebagai ‘maharaja’ atau ‘emperor’
Arab-Islam, dan berkuasa sepenuhnya. Tetapi Baginda tidak melakukan tindakan itu. Mengapa? Kerana dua sebab: Pertama, Baginda diperintah oleh Allah untuk mengembangkan agama tauhid, iaitu Islam, setelah para pengikut Nabi-Nabi yang terdahlu mengingkarinya. Baginda tidak terfikir dan tidak berniat untuk menjadi ‘maharaja’ di dunia. Kedua, Baginda sedar bahawa kuasa duniawi tidak kekal. Yang Maha Berkuasa dan Kekal Kuasanya adalah Allah. Kehidupan yang kekal ialah kehidupan di akhirat.

36. Cuba kita lihat betapa benarnya intuisi Nabi (SAW). Kita melihat bagaimana manusia yang berkuasa secara mutlak sebagai Maharaja, Presiden atau Perdana Menteri akhirnya meninggalkan nama yang buruk, dihina, tidak diindahkan lagi oleh manusia setelah mereka tidak berkuasa lagi, padahal semasa mereka berkuasa, mereka dipuja, diampu, disanjung, dianggap sebagai ‘bapak’ itu dan ‘bapak’ ini. Itu sanjungan kepura puraan, sanjungan palsu. Tetapi mereka tidak faham, malah mereka suka dipuja dan sering menyuruh orang mereka-reka imejnya dalam media supaya rakyat terpesona dan percaya kepada ‘kehebatan kepimpinannya’. Imejnya yang lemah disorok di sebalik retorik slogan; keburukannya ditutup oleh alat-alat kuasa negara yang dikawalnya. Ada di antara mereka yang tidak dapat diselamatkan oleh alat-alat kuasa negara itu, lalu mereka digulingkan oleh rakyat, seperti yang tersebut tadi. Paling buruk lagi, ialah mereka meninggalkan dasardasar yang buruk, yang terpaksa dibetulkan oleh penggantinya, sehingga melibatkan ribuan juta wang negara hanya untuk membetulkan kesalahan-kesalahan yang ditinggalkan oleh pemimpin yang mungkar. Itulah nasib pemimpin yang gila kuasa, tamak harta, tidak beriman, tidak takut kepada Tuhan, tidak peduli kepada dosa pahala, tidak pedulikan hari akhirat.

37. Saya perhatikan, pemimpin yang baik dan berjaya selalunya hidupnya sederhana, dan tidak meninggalkan harta, rumah mahligai dan wang beribu juta dolar atau ringgit. Dato Onn Jaafar terpaksa menjual atau menggadai barang-barang kemas isterinya untuk membiayai kos perjuangannya menentang Malayan Union. Tunku Abdul Rahman tidak meninggalkan harta dan Tun Abdul Razak tidak mempunyai rumah semasa beliau meninggal. Saya teringat bagaimana saya disuruh berusaha mencari rumah untuk kediaman keluarga Tun Razak. Mereka itulah yang berjaya sebagai pemimpin bangsanya.

38. Kita kena kembali kepada akar kita dalam mencari model kepimpinan yang terbaik bagi bangsa dan negara kita – model yang berdasarkan ‘prinsip makruf dan mungkar’, model yang menjadikan pemimpin sebagai payung dan penaung rakyat dan menganggap rakyat sebagai tonggak negara, sebagai ‘akar pohon’ negara dan kerajaan. Model inilah yang dapat membawa manusia dan negara ke arah kejayaan yang sebenarnya – tidak kejayaan yang ilusif, yang palsu. Maka janganlah kita membiarkan ‘model’ itu hilang terus dari tradisi kita yang sudah tahan ratusan tahun lamanya, kerana nasib negara dan rakyat kitasangat bergantung kepada kepimpinan yang‘cekap, bersih dan amanah’ – amanah kepadadiri sendiri, dan amanah kepada Tuhan.

No comments

Powered by Blogger.