Berbahasa dengan Tuhan

Zukri Aksah



Asalnya saya tidak bercadang mahu menulis dan mengulas tentang ini. Andaian saya ia soal berat dan sensitif, maka tidak perlulah saya menyibuk untuk turut cuba melanggan saham popular dengan membicarakannya. Lagipun saya bukanlah dari kalangan alim agama, silap percaturan saya mungkin akan dikata macam-macam. Tempohari bila saya menulis tentang Chin Peng, sudah ada yang menghantar email kepada editor Harakahdaily mengatakan saya layak untuk berdiri di tengah padang dan ditembak mati!

Kali ini isunya bukan lagi Chin Peng atau Ketuanan Melayu, melangkaui soal sosok seorang manusia atau kumpulan kaum. Ini soal Allah, soal bagaimana kita berbahasa dengan Tuhan? Ya, bagaimana anda berbahasa dengan Tuhan ya? Tuhan punya nama, dan namaNya Allah, Allah pula adalah satu dari 99 namaNya, ini kepercayaan orang Islam.

Di sebalik ini, selama ini apakah orang Melayu yang majoriti, orang Islam yang majoriti di negara ini pernah mengambil tahu bagaimana sahabat-sahabat mereka yang bukan Islam berbahasa dengan Tuhan? Bagaimana orang Buddha berbahasa dengan Tuhan, bagaimana orang Hindu berbahasa dengan Tuhan dan bagaimana orang Kristian berbahasa dengan Tuhan? Lalu kerana kedangkalan ilmu, bila tiba-tiba pihak gereja Kristian Katolik mahu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka dan membawa keinginan mereka ini ke mahkamah, tindakbalas kita ibarat tercucuk seribu jarum di telapak kaki, melompat dan meroyan bagai orang tidak sedar diri.

Soalnya, bolehkah orang selain Islam menggunakan kalimah Allah untuk tujuan literasi agama mereka? Apalagi untuk agama-agama yang dilihat dekat dengan Islam dan berkongsi banyak perkara dengannya, iaitu Kristian dan Yahudi? Belum pun kita berusaha mencari jawapannya, kita sudah berdemonstrasi, belum pun kita cuba untuk memahaminya, sudah ada kalangan kita menjadi ekstrim membakar dan cuba membakar gereja. Amat menyedihkan, masyarakat kita berfikir dengan otak atau dengan lutut?

Tidak perlulah saya bernas dan berdalil di sini. Cukuplah dengan apa yang telah diterangkan oleh alim ulama sebelum ini sama ada dari sektor politik atau bukan. Majoriti dari mereka hampir sependapat mengatakan bahawa orang bukan Islam boleh merujuk Tuhan sebagai Allah, Cuma pesan mereka jangan disalahgunakan.

Kalau orang biasa macam saya diminta untuk memberi penerangan tentang ini kepada masyarakat yang juga orang biasa yang tidak punya ilmu agama yang tinggi, saya akan membawa contoh yang mudah, senang diingat dan biasa didengar, satu asas agama yang rasanya kita semua belajar. Andaikan anda ke sebuah negara yang tiada atau kurang orang Islam, bagaimana anda mencari bahan makanan? Kalau anda mahu mencari ayam atau daging, dalam ketiadaan orang Islam, sudah tentu anda akan mencari orang Yahudi kerana sembelihan pengikut ahli Kitab halal dimakan. Sebab apa halal? Tiada lain yang terlintas di kepala saya melainkan ahli Kitab juga menyembelih binatang dengan didahulukan nama Allah.

Isu ada paderi yang mahu membahasakan diri Tuhan dengan nama Allah bukanlah isu baru, Tan Sri Murphy Pakiam bukanlah orang pertama. Masalahnya adakah ia senario biasa dan sesuatu yang normal dalam praktis Kristian Roman Katolik seantero dunia?

Seorang bishop Roman Katolik di Belanda yang hampir bersara pada tahun 2007, Tiny Muskens pernah mencadangkan agar Tuhan dirujuk sebagai Allah, walau bagaimanapun cadangannya tidak diterima baik oleh kalangan masyarakat Roman Katolik sendiri. Seperti dilaporkan oleh FoxNews pada tahun tersebut, Muskens mewajarkan cadangannya kerana Allah adalah nama yang cantik dan sesuai untuk Tuhan, dakwanya lagi Tuhan tidak kisah pun bagaimana Dia dipanggil.

Mengulas cadangan Muskens ini, Paderi Roman Katolik dari Rom, Father Jonathan Morris merasakan faham teologi Muskens perlu diperbetulkan, walaupun niatnya mungkin baik. Bagi Morris, idea Muskens tidak praktikal. Seorang lagi tokoh Katolik ketika itu, Bill Donohue, Presiden Liga Katolik untuk Agama dan Hak Sivil menyerahkan kepada Muskens untuk bersembahyang semahunya kepada Allah, tetapi beliau yakin hanya yang bingung dan keliru sahaja yang akan mengikut Muskens. Tambah Donohue, bukan satu petanda baik bila ada kalangan pimpinan Katolik yang terikut saling mengampu dengan penganut Islam dan juga agama lain, Liga Katolik sebagai pertubuhan hak sivil Katolik terbesar di Amerika Syarikat tegas Donohue tidak akan menyokong idea Muskens tersebut.

Anehnya, berdasarkan pembacaan saya tentang Allah dalam Kristian, kalangan Katolik yang beria-beria mahu membahasakan diri Tuhan sebagai Allah kebanyakannya pernah berada di Indonesia, termasuk Muskens. Apakah Pakiam juga pernah berada di Indonesia? Yang nyata, idea Muskens di Belanda, mahupun Pakiam di Malaysia adalah terpencil dan minoriti dalam aliran faham Kristian Roman Katolik.

Soalnya kita berbahasa dengan Tuhan untuk apa? Dalam bahasa Islamnya untuk beribadat, mencari pahala, dalam bahasa umum bagi mengharapkan rahmatNya. Dapatkan pahala dan datangkah rahmat jika niat kita tidak jujur, jika niat itu kita sendiri tahu akan mencetuskan permusuhan, apalagi jika niat itu tidak sehaluan dengan pandangan para agamawan dalam agama kita?

Jika saya dibenarkan untuk memberi nasihat kepada penganut Roman Katolik di Malaysia, maka nasihat saya usul Pakiam tidaklah perlu disokong kerana ia juga tidak disokong oleh Roman Katolik sendiri secara keseluruhannya. Bahkah Arab Kristian yang Bible mereka menggunakan kalimah Allah dan dipegang Pakiam ketika di mahkamah bukanlah dari faham Roman Katolik, majoriti dari mereka adalah dari aliran Ortodoks Greek, Maron, Katolik Greek, Ortodoks Syriac dan sedikit Anglikan serta Protestan.

Kepada saudara seIslam pula, hadapilah sesuatu isu dengan kefahaman agama yang tinggi, jangan cepat melatah. Orang yang membakar dan cuba membakar gereja itu bukan hanya musuh kepada sahabat Kristian kita, tetapi mereka juga musuh kita, musuh Islam, Allah sudah menegaskannya dalam Quran. Tunjukkanlah kepada semua, bila kita kata Allah itu Tuhan yang Satu, dan kita berbahasa denganNya secara begitu, kita berbahasa dengan jujur dan ikhlas.

Jujur dan ikhlas tidak hadir dengan anarki, ia hadir bersama salam kedamaian dan ketinggian budi-pekerti.

No comments

Powered by Blogger.