Bila Bakar Gereja Tiada Dalam Skrip PM Najib

Keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan & Kuasa-kuasa Khas) pada 31 Disember 2009 lepas berhubung penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Katolik, Herald nyata mendatangkan pelbagai polemik. Maka bertebaranlah sentimen pro-Islam di kalangan mereka yang selama ini tidak memperlihatkan diri mereka sebagai Islamis sejati. Dahulunya mereka begitu hebat menentang penggunaan nama Islam pada mana-mana pertubuhan NGO ataupun parti politik, tapi kini merekalah juara dalam mempertahankan nama Allah.

Isu kenaikan harga gula dan tepung juga senyap, walaupun itu lebih membebankan rakyat tanpa mengira agama dan kaum. Cadangan menaikkan harga minyak sebermula Mei 2010 juga tidak diendahkan rakyat walaupun ia ternyata akan memberikan kesan yang sangat parah pada rakyat seluruh Negara. Rakyat lupa sejenak isu enjin jet hilang, pendedahan Balasubramaniam mengenai penglibatan PM Najib dengan Altantuya Shariibuu yang dibunuh dengan kejam, jutaan wang ringgit yang hilang di sebalik skandal PKFZ, simpanan luar negara (foreign reserve) Malaysia yang semakin bankrap dan saat di mana Malaysia kian kehilangan maruah di sebalik semua skandal ini.

Seperti biasa, perihal menyorokkan masalah di bawah permaidani adalah kerja biasa Umno-BN, bukan sesuatu yang mengejutkan! Hipokrasi Umno-BN jelas terlihat melalui isu ini, apabila demonstrasi (yang hanya berjaya menarik sekadar 150 orang!) dianjurkan tanpa kehadiran FRU, dan mendapat ‘restu’ daripada Perdana Menteri.

Cuma nyatanya Malaysia terkejut dengan siri-siri ancaman ekstrem ke atas beberapa buah gereja di seluruh Malaysia, bermula di Gereja Metro Tabernacle Desa Melawati pada 8 Januari lepas. Tidak kurang daripada sepuluh serangan yang dapat dicatitkan telah berlaku dalam tempoh dua minggu pertama tahun 2010 ini: sesuatu yang sangat biadab dan mendukacitakan.

Pimpinan Pakatan Rakyat jelas mengambil langkah pro-aktif di dalam menangani masalah ini. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat misalnya telah turun ke dua gereja yang berasingan untuk mengadakan dialog antara Muslim-Kristian demi mencatit noktah kepada kemelut ketidakfahaman mengenai isu penggunaan kalimah Allah yang suci ini. Tambah mengharukan apabila di Petaling Jaya, beberapa pegawai syarak Masjid turut menghulurkan bantuan serta bertukar nombor telefon bertujuan untuk mengawal kawasan gereja daripada sebarang ancaman dengan kekuatan anggota kariah masjid. Nah, inilah bukti muafakat dalam Islam sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam melalui Al-Quran dan Sunnah Rasullullah SAW.

Bukankah terdapat penyataan tegas Allah SWT di dalam surah Al-Ankabut ayat yang ke 46 di mana mafhumnya seperti berikut :

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepadaNyalah kami patuh dengan berserah diri.”

Pastinya pimpinan Umno terkejut dengan siri-siri serangan ini, berikutan demonstrasi yang telah dianjurkan daripada beberapa pihak di kalangan mereka. Serangan ini bukan sekadar mendatangkan amarah masyarakat bukan Islam, sebaliknya turut mendatang kemarahan Umat Islam yang lebih sayangkan kesucian agama mereka berbanding mempertahankan nama Tuhan tetapi tidak mempedulikan perintah dan laranganNya!

Maka mulalah bertempik pimpinan Umno untuk menganjurkan dialog antara agama: sesuatu yang sangat ditentang mereka sebelum ini. Ironinya Pakatan Rakyat telah memulakan langkah yang sangat proaktif dalam menganjurkan dialog antara agama.

Jika dilihat isu ini sedari awal, kita wajar menyalahkan kerajaan atas maraknya isu ini dipolemikkan. Kenapa? Sewajarnya Peguam Negara memainkan peranan di dalam mempertahankan kes ini di Mahkamah Tinggi, dengan meletakkan barisan peguam syarie yang benar-benar berkredibiliti untuk mewakili Barisan Pendakwaraya agar kes ini tidak tercetus. Tetapi ini tidak berlaku. Sedangkan dalam kes Anwar Ibrahim pun barisan pendakwaraya dan hakim boleh ‘diuruskan‘ mereka, kenapa dalam kes ini mereka seolah-olah gagal mencatur strategi kemenangan?

Ditambah pula dengan kenyataan Najib sendiri yang membenarkan demonstrasi dianjur, seolah-olah ia sengaja disusun dalam satu skrip yang mempunyai perancangan halus untuk meraih sokongan Melayu kembali.

Tetapi insiden bakar gereja ini nyata sesuatu yang mengejutkan. Najib terbukti kelihatan gelabah dek siri serangan ini. Pastinya serangan ini menghempas gagasan 1Malaysia yang sedang dibinanya. Sentimen masyarakat Sabah dan Sarawak juga nyata begitu negatif ke atas kong-kali-kong Najib dan Umno ketika ini. Tidak ada seorang pun pimpinan Umno, hatta Hishamuddin Tun Hussien sendiri selaku Menteri Dalam Negeri yang menyanggah kenyataan Ketua Polis Negara kononnya polis kekurangan anggota untuk mengawal keselamatan gereja. Semuanya seolah-olah membiarkan isu ini membakar sentimen dan emosi rakyat. Yang menyedihkan ialah Menteri Keris ini seolah-olah memperlihatkan kemengkalan fikirannya apabila acapkali mengugut untuk mengenakan akta zalim ISA ke atas mana-mana pihak yang memainkan isu ini.

Najib selaku Perdana Menteri kelihatan tidak keruan menangani isu ini. Timbalannya, Muhyiddin pula kelihatan senyap tanpa sebarang respon. Slogan ‘Umno Juara Rakyat‘ seolah tidak bersahut meski media memainkannya saban hari. Yang menambahkan kekeliruan lagi ialah apabila Menteri Nazri Aziz pula mendedahkan bahawa penggunaan kalimah Allah ini sudah menjadi satu kebiasaan di Sabah dan Sarawak. Justeru, yang mendatangkan masalah hanyalah di Semenanjung Malaysia. Apakah negara memerlukan kepada dua jenis undang-undang ?

Persoalan berbentuk sindiran yang timbul ialah apakah siri insiden ini tidak ada dalam skrip Najib? Ataupun ia wujud dalam skrip ‘kelompok‘ lain yang mempunyai agenda lain ke atas Najib?

Tunggu dan lihat

Tulisan ini juga telah dipaparkan di ruangan saya di akhbar Konsep Era Pakatan

1 comment

Tok Pambu said...

Apa nak heboh sangat, yang pasti BN/UMNO tumbang pada PRU13 nanti.

Dulu BN/UMNO sudah tumbang di Semenanjung, cuma Sabah dan Sarawak selamatkan BN/UMNO.

Isi agama ini akan menyebabkan BN/UMNO tumbang tersungkur di Sabah dan Sarawak pada PRU13 nanti.

Sokongan kami terhadap PR akan tetap teguh dan akan ber tambah2 teguh menjelang PRU13.

Yang pasti BN/UMNO sudah tiada harapan lagi untuk bangun.

HIDUP PR!

MATI BN/UMNO!

Powered by Blogger.