Dalam persaingan politik… tidak ada naib juara….

Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL

“Mengapa dia? Bukankah dia masih muda dan mentah? Masih ramai lagi yang lebih senior! Alah, dia baik dengan PM!”

Itu adalah antara reaksi yang bertiup kencang di kalangan wartawan, blogger, pemerhati politik mahupun pemimpin UMNO sendiri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan perlantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan UMNO Malaysia pada April tahun lalu.

Dalam pertemuan dengan Agendadaily di pejabatnya di Menara Dato Onn ,PWTC minggu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu yang juga Ahli Parlimen Pontian, tersenyum apabila diminta mengulas mengenai cakap-cakap berhubung perlantikannya yang masih kedengaran itu.

“Saya tahu memang ada yang terkejut. Mungkin Perdana Menteri mengambil faktor “meremajakan UMNO. Yelah, jika dilihat dalam barisan depan UMNO, tidak ramai yang berusia awal 40an atau di bawah 40 tahun, kecuali Ketua Pemuda, Naib Ketua dan Ketua Puteri.

Ketua Penerangan UMNO sebelumnya semuanya kalangan yang senior seperti Tan Sri Muhammad Muhd Taib,Allahyarham Tan Sri Megat Junid, Datuk Mustapha Mohamad,Tan Sri Yusof Nor dan Tan Sri Hussein Ahmad.

“Apabila saya bertanya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau ada mengatakan bahawa memandangkan usia saya yang masih dalam awal 40an, saya boleh “masuk” ke dalam golongan berusia 40an dan juga 30an. Saya lebih mudah mendekati mereka kerana tidak ada jurang generasi yang besar.

“Sekarang ini UMNO sedang menguruskan pengundi baru di kalangan golongan muda dan pada masa yang sama menarik balik sokongan generasi baru. Daripada 11.7 juta pengundi, hampir separuh adalah golongan muda di bawah 40 tahun. Saya rasa perlantikan saya dibuat dari sudut itu, “ jawab Ahmad yang dilahirkan di Benut, Pontian, 44 tahun lalu.

Apabila diberitahu ada yang memandang langkahnya,contohnya menoreh getah dengan orang kampong semasa kempen pilihanraya kecil Manek Urai serta menangkap ikan dengan nelayan di Port Dickson semasa pilihanraya kecil Bagan Pinang seperti mahu mendapatkan publisiti murahan, Ahmad hanya tersenyum.

“Saya buat banyak perkara, sama ada di dewan besar, mahupun di kawasan desa. Jika Perdana Menteri melakukan “walk-about” dengan mengambil pendekatan melawat atau minum di warong, maka apa salahnya saya menoreh getah atau menyertai nelayan menangkap ikan? Saya hanya menterjemahkan apa yang dibuat oleh Perdana Menteri mengikut cara saya sendiri.

“Saya adalah anak penoreh getah yang dilahirkan di sebuah kampung yang serba kekurangan, iaitu Parit Haji Yusof, Lubuk Siput, Benut. Ketika dilahirkan sehingga saya bersekolah, kawasan itu tidak ada bekalan api, air dan telefon. Jika mahu ke sekolah di Benut, saya terpaksa naik bot dan mengambil masa lebih dua jam.

“Saya tidak segan mengakui saya anak kampung. Apakah dengan cara turun ke kampung, masuk ke kebun menoreh getah, saya ini dianggap gila publisiti? Tidak! This is my style.”

Ahmad memulakan zaman persekolahan di SK Seri Bahagia Lubok Sipat Benut, Pontian dan pernah mendapat anugerah Tokoh Murid sebelum melanjutkan pelajaran di SM Sains Johor, Kluang. Beliau mengulangi kecemerlangannya di sekolah berasrama penuh itu apabila menerima anugerah Pelajar Terbaik SRP dan Pembahas Piala Perdana Menteri.

Ahmad kemudian melanjutkan pelajaran di Rosehill College, Auckland, New Zealand dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda (Ekonomi & Sains Politik) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Victoria New Zealand (1986 - 1988). Ketika mengambil Sarjana Pentadbiran Perniagaan, (MBA), UKM Bangi (2001-2003) beliau menerima Anugerah Emas Siswa Terbaik.

Dalam karier politiknya,beliau antara lain pernah jadi Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,Setiausaha Politik kepada Datuk Mustapha Mohamad.Beliau kini adalah Timbalan ketua UMNO Bahagian Pontian.

Dikalangan orang politik Ahmad selalu dikenali sebagai ‘ Ahmad Maslan’ walaupun Maslan ialah nama bapanya.

Malah orang tidak kenal jika disebut namanya sebagai Ahmad sahaja.

Bagaimana pula dengan program Juara Rakyat idea Biro Penerangan UMNO yang dilancarkan oleh Perdana Menteri di Bukit Beruntung,Selangor pada 9 Janurai baru ini.Ini kerana terdengar juga sesetengah pijak yang beranggapan Juara Rakyat tidak ubah seperti karnival lain, contohnya Jom Heboh?

“Juara Rakyat bukan pesta. Apa yang kita bawakan ialah pameran yang membawa manfaat kepada rakyat. Kita juga mengetengahkan kejayaan-kejayaan yang dicapai rakyat. Selain itu kita juga mengisinya dengan kegiatan yang elok dan positif seperti pertandingan syarahan dan nasyid bertema 1Malaysia serta futsal untuk menarik golongan muda.

“Menerusi Juara Rakyat juga kita menunjukkan UMNO sebagai juara rakyat dari dulu sehingga sekarang. Kita berjuang menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan. Kita juga berjuang mengatasi kegawatan ekonomi dan mengukuhkan perpaduan.

“Dalam persaingan politik, tidak ada naib juara. Jika kita dapat 20,000 undi dan pembangkang dapat 20,001, kita tidak akan jadi timbalan ADUN atau Timbalan Ahli Parlimen. Nak tak nak, kita kena jadi juara.

“Nak jadi juara pula, kita kena buat warm-up dulu. Selepas itu kita kena rajin berlatih. Juara rakyat is a wake-up call. Jika berlaku banjir, contohnya, pemimpin UMNO mesti first on the scene. Kita yang patut telefon bomba atau pihak berkuasa dan menjuarai rakyat, bukannya yang terakhir untuk menjenguk.”

Ahmad berkata, Juara Rakyat adalah program terpenting UMNO tahun ini dan beliau menyenaraikan lima visi penting program berkenaan, iaitu: sentiasa menjuarai kehidupan rakyat; sentiasa menjuarai pembelaan rakyat; sentiasa menjuarai pembangunan rakyat; sentiasa berada di barisan hadapan untuk rakyat; sentiasa menjadi juara dalam hati dan minda rakyat; sentiasa menjadi juara dalam membangun rakyat dan memastikan rakyat sentiasa menjadi juara dalam perjuangan UMNO.

Katanya, konsep Juara Rakyat memberi motivasi kepada pemimpin untuk bekerja keras untuk menjadi nombor 1 dan menang dalam peperangan politik.

“Kita menggunakan perkataan juara bukan untuk berlagak sombong atau angkuh. Tetapi selama ini memang UMNO dan BN yang merancang dan melaksanakan kehendak rakyat. Tiada sesiapa boleh memadam hakikat bahawa UMNO telah lama menjuarai pembangunan untuk rakyat dalam semua bidang pendidikan, kebajikan, wanita, keluarga, belia, pertanian, pekerjaan, kesihatan, kerohanian dan lain-lain.

“Kita yang membina hampir semua pembangunan negara tetapi sebahagian rakya kurang sedar bahawa UMNO telah menjuara kehidupan mereka selama ini. “



Untuk menguatkan hujahnya bagaimana orang kerap melihat pada keburukan berbanding kebaikan yang banyak dilakukan Ahmad Maslan menunjukkan contoh anologi lukisan di atas kertas putih.

“Contohnya, kita mengambil sekeping kertas putih dan melukis beberapa bulatan hitam kecil di atasnya. Apabila kita bertanya kepada orang apa yang mereka lihat, ramai daripada mereka memberi jawapan bahawa mereka melihat beberapa bulatan hitam di atas kertas putih.

“Warna putih melambangkan kebaikan-kebaikan yang telah dibuat oleh UMNO dan bulatan kecil hitam pula melambangkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan. Sudah menjadi kebiasaan apabila kita melakukan kebaikan yang besar, orang tidak nampak, tetapi apabila kita melakukan kesalahan-kesalahan kecil dan ianya disensasikan oleh pembangkang, semua orang nampak dengan jelas.

“Maka menerusi program Juara Rakyat, pemimpin UMNO mesti berazam menjadi juara, bersifat sebagai juara dan berani umpama juara untuk mendapat kembali keyakinan rakyat.”

Ahmad berkata, program juara rakyat akan dilaksanakan mengikut tema bulanan di setiap 191 bahagian UMNO seluruh negara setiap bulan. Katanya, setiap ahli Majlis Tertinggi (MT) diberikan lima bahagian angkat setiap seorang untuk memastikan program ini dilaksanakan.

Diminta mengulas pembangkang antara lain mempertikaikan mengapa wakil-wakil rakyat mereka tidak diberikan peruntukan, Ahmad berkata, kerajaan memberikan peruntukan kepada rakyat, walaupun di kawasan pembangkang, contohnya Kuala Lumpur

“Soal peruntukan adalah hak parti pemerintah. Lagipun Ahli-Ahli Parlimen mereka diberi gaji oleh kerajaan,” jelasnya.

Ditanya mengenai usaha yang dilakukan oleh UMNO untuk menambah keahlian, Ahmad berkata, antara langkah yang telah dibuat ialah mengadakan pendaftaran secara on-line, mewujudkan insentif “ahli dapat ahli” dan mengadakan kaunter pendaftaran di setiap bahagian setiap bulan.

Katanya daripada 11.7 pengundi di Malaysia, terdapat 4.38 juta yang sudah mencecah usia 21 tahun masih belum mendaftar sebagai pengundi dan daripada jumlah itu 2.85 juta atau 60% adalah Bumiputera.

No comments

Powered by Blogger.