Duit rakyat, duit Umno juga?

Oleh Rosli Hashim

wang copy Umno dengan tema kempennya Umno Juara Rakyat, sekali lagi menjadi juara dalam menggunakan duit rakyat untuk menghalalkan kepentingan politiknya.

Pelancaran majlis itu di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor baru-baru ini disusuli pula dengan pengumuman Najib Razak peruntukan sebanyak RM15.6 juta untuk membaiki bumbung flat di Bandar Bukit Sentosa yang rosak teruk akibat dipukul ribut lapan tahun lalu.

Bayangkan lapan tahun sudah berlaku, ramai yang sudah berpindah kerana tidak tahan dengan masalah bumbung bocor dan infrastruktur lain, barulah kini PM 1Malaysia ini mahu agihkan peruntukan.

Tidak kisahlah kalau Umno nak bantu kerana Umno sudah kata dia mahu jadi juara rakyat.

Adalah hak bagi mana-mana parti politik untuk menjadi juara kepada rakyat supaya mereka dipilih bila datang pilihanraya umum nanti.

Tetapi apa yang menyakitkan mata rakyat ialah bila duit peruntukan itu yang sebenarnya duit milik rakyat, diumumkan pula di dalam majlis Umno seolah-olah peruntukan itu datangnya daripada Umno.

Kalaulah Najib dan Umno ada moral dan etika, mereka boleh buat majlis bersama rakyat atas nama kementerian atau kerajaan pusat. Kemudian umumkanlah peruntukan berkenaan.

Tetapi bila ia dibuat di dalam majlis Umno yang tujuannya sudah tentu kerana kepentingan politik, ini menunjukkan Umno sudah tidak lagi membezakan antara yang mana duit rakyat dan yang mana duit Umno.

Kalaulah duit rakyat pun sudah sanggup diperalatkan ke majlis Umno, maka tidakkah kelak ada kemungkinan duit rakyat jugalah yang akan diguna untuk menampung kos roadshow kempen Umno Juara Rakyat ke seluruh negara selepas ini?

Menganjurkan suatu program sebegitu bukanlah sedikit kosnya, apatah lagi jika mahu dibuat secara berterusan. Ini mengundang persoalan duit siapakah yang Umno guna untuk menanggung kempen mengarut mereka ini?

Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, pula mempersoalkan mengapa peruntukan membaiki flat di sekitar Bandar Bukit Sentosa disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Di sini jelas satu salahguna kuasa telah berlaku apabila kakitangan kerajaan pusat yang gajinya dibayar oleh rakyat, diperalatkan untuk kepentingan politik Umno. Lainlah kalau gaji mereka Umno yang bayar atau peruntukan itu duit Umno yang punya.

Dalam isu ini tidak ditolak pembangunan mahu pun kewajipan membantu rakyat. Itu sememangnya tanggungjawab pemimpin. Namun yang dipertikai adalah cara bantuan dihulur yang mana ia adalah wang milik rakyat yang dipolitikkan sedangkan ketika penduduk sangat memerlukannya sejak lima tahun lepas tidak pula pemimpin Umno peduli.

Malah ada banyak lagi pangsapuri atau flat kos rendah yang terus daif keadaannya namun tidak pun mendapat perhatian kerajaan dan Umno. Masalah lif di flat Taman Sentul Utama terus berlarutan, kedaifan di Flat Desa Tasik, Kuala Lumpur, atau kerosakan sana sini di kebanyakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah antara sekian banyak masalah yang
wajar diberi perhatian yang sama seperti dinikmati warga flat Bukit Sentosa.

Masih ada rakyat yang hidup gelandangan tetapi itu tidak menginsafkan kerajaan untuk memastikan peruntukan projek PPRT sampai betul-betul kepada rakyat dan bukan suku sakat ketua Umno cawangan saja.

Malangnya Najib lebih berminat dengan masalah di Hulu Selangor kerana terpengaruh dengan khabar-khabar angin yang tersebar. Najib ternyata mengamalkan budaya menghulur sogokan untuk dapat undi. Dan malangnya Najib cuma “kena main” oleh gerombolan Umno Selangor yang masih bersemangat asap selepas mendapat tempias angin Bagan Pinang.

Selepas ini jelajah Umno akan bergerak ke seluruh negara, dan kita akan lihat lebih banyak duit rakyat akan mengalir keluar untuk menanggung majlis biawak hidup ini.

Kita juga akan terus mendengar pengumuman demi pengumuman tentang peruntukan itu dan ini yang sudah pasti ianya adalah duit rakyat yang dibelanjakan sesuka hati seolah-olah ianya duit Umno, berselindung di sebalik nama pembangunan dan keprihatinan.

Jika Umno sudah rasa duit rakyat adalah duit Umno juga, alamatnya sia-sialah jerih payah rakyat bekerja dan membayar cukai selama ini, kerana ada kemungkinan duit kita itu sudah ‘selamat’ menjadi lauk Umno.

No comments

Powered by Blogger.