Exco: Kelantan nafi rugi RM50 juta beli balik Bazar Tok Guru

KOTA BARU, Jan 16 — Kerajaan Kelantan menafikan bahawa pentadbiran negeri itu akan mengalami kerugian RM50 juta dalam isu membeli balik tingkat bawah kompleks perniagaan Bazar Tok Guru di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan hari ini berkata kerajaan Kelantan sebaliknya akan memperoleh keuntungan menerusi jualan lot perniagaan di aras bawah kompleks tersebut.

“Kita tidak rugi apa-apa, kerajaan hanya sediakan tapak untuk dibangunkan bersama di antara Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan sebuah syarikat, Sensa Timur Sdn. Bhd untuk membina sebuah bazar.

“Sebagai timbal balas, syarikat itu memberikan aras satu dan dua yang bernilai RM40 juta kepada kita.

“Bagaimanapun pada mesyuarat Exco baru-baru ini kita memutuskan untuk membeli aras bawah yang bernilai RM23 juta dan kesemua lot perniagaan terbabit akan dijual semula bagi mendapatkan kembali wang yang dikeluarkan itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas dakwaan penulis blog Syed Azidi Syed Syed Abdul Aziz menerusi blognya Kickdefella, bahawa kerajaan negeri kerugian RM50 juta dalam isu kompleks Bazar Tok Guru itu ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Semalam, Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks itu pada harga RM23 juta kerana masalah teknikal. — Bernama

No comments

Powered by Blogger.