Isu Allah: Tindakan Zulkifli Nordin 'bantu' Umno

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin nampaknya tidak bercadang untuk menyelesaikan masalah berhubung perdebatan isu penggunaan kalimah 'Allah', tetapi sebaliknya bertindak seolah-olah "membantu Umno", kata timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.

"Beliau (dilihat) tidak bercadang hendak selesaikan masalah, sebaliknya menggunakan isu ini untuk kepentingan diri. Dan secara sengaja atau tidak sengaja, telah membantu Umno," kata Dr Syed Husin.

"Tindakan melalui blog atau media yang dilakukan Zulkifli bukanlah kali pertama. Ini perkara yang serius," tambahnya.

Beliau diminta mengulas tindakan Zulkifli yang membuat laporan polis terhadap wakil rakyat PAS, Khalid Samad kerana berkata, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 sudah ketinggalan zaman dan perlu dibuka kepada perbincangan semula.

Dalam aduannya di balai polis Jalan Masjid India Kuala Lumpur kelmarin, Zulkifli percaya kenyataan Khalid berunsur hasutan serta menghina sultan, DUN Selangor dan umat Islam.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Husin mempersoalkan tindakan Zulkifli itu kerana menurutnya, perkara itu tidak pernah disuarakan melalui saluran dalaman apabila berpeluang.

"Bila ada perbincangan dalaman (berhubung isu Allah), Khalid (pun) datang, lebih kurang 100 peserta hadir, (tetapi) beliau (Zulkifli) tidak cakap sepatah pun," katanya.

Sehubungan itu, Syed Husin menambah, tindakan terhadap ahli parlimen kontroversi itu akan diputuskan dalam mesyuarat biro politik PKR yang akan bersidang esok.

Ditanya pendirian pembangkang berhubung enakmen yang mencetuskan perbalahan di kalangan pemimpin pembangkang, Dr Syed menjawab ringkas: "Itu dia (Zulkifli) punya alasan saja."

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung laporan polis terbaru terhadapnya itu.

"Saya tidak hendak layan dah isu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Selain Syed Husin, tindakan Zulkifli turut dibidas pelbagai pihak dalam PKR, termasuk ketua umumnya sendiri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sebuah ceramah di Hulu Klang semalam.

No comments

Powered by Blogger.