Jangan Biarkan Tok Guru Berseorangan

Kalau perasaan gembira boleh dilahirkan dengan melompat, saya akan melompat setinggi-tingginya untuk melahirkan perasaan itu.

Kegembiraan itu bertambah-tambah lagi apabila tindakan ini dibuat oleh seorang yang berjubah dan berserban dan pernah dilabel dengan pelbagai label negatif oleh saingan politiknya.

Sosok ini pernah berulang-ulang kali berkata, manusia berasal dari sumber yang satu biar pun berlainan agama. Bangsa dan bahasa pula dipengaruhi oleh faktor geografi dan sosial. Bahasa dan bangsa apa pun, semuanya tetap bersumberkan Tuhan semesta alam.

Makan tengahari ini bukan makan tengahari biasa, tetapi ‘makan tengahari dakwah’. Makan sambil berbual mengenai kepentinan manusiawi yang melangkaui segenap sempadan. Beruntung mereka yang dapat makan tengahari dengan sosok berjiwa besar itu.

Saya yakin Umno amat tidak senang dengan langkah ini. Dari segi politiknya, langkah ini mengukuhkan keyakinan non-Muslim terhadap keupayaan PAS untuk mengganti Umno dan PR mengganti BN.

Inilah senjata Umno semenjak sekian lama, menajamkan rasa ngilu antara PAS dan non-Muslim. Sampai ke suatu tahap PAS tidak bersedia tidak meletakkan calonnya di kawasan majoriti non-Muslim dengan keyakinan ‘pasti kalah’.

Namun itu semua kini sudah menjadi kenangan.

Pemimpin Umno memang berdosa kerana membina tembok pemisah antara non-Muslim dengan Islam. Tembok itu diukir dengan slogan-slogan yang menakutkan mereka.

Jangan undi PAS, itu parti Islam. Kalau parti itu menang dia akan buat hudud. Hudud maknanya potong semua, atas dan bawah. Lupakah Umno dengan kerja-kerja hodoh mereka ini?

Provokasi mereka, suatu ketika bukan sekadar menakutkan non-Muslim bahkan Muslim sendiri terhadap Islam dan PAS.

Ya, selama lebih 50 tahun, orang bukan Islam tidak melihat Islam sebagai rahmat untuk mereka. Mereka ‘sinis’ dengan masjid, ‘elergi’ dengan al-Quran dan ‘silau’ dengan Islam. Adakah pemimpin Umno lupa dengan ungkapan, “Kalau nak makan sup tangan, pergilah Kelantan?”

Betullah kata Tok Guru Nik Aziz semasa berucap menutup taklimat isu semasa di MBSA baru-baru ini. “Umno buat kerja mudah, kerja yang dirintis jalannya oleh Inggeris. PAS buat kerja sukar, kerja menyanggah jalan itu.”

Apa yang dapat difahami, kerja menampilkan Islam sebagai rahmat untuk semua bukannya mudah. Islam ‘diekslusifkan’ sehingga bukan sahaja non-Muslim tidak faham Islam, bahkan sebahagian orang Islam juga.

Kononnya mereka buat itu semua kerana sayangkan Islam, hakikatnya memburukkan Islam.

Terima kasih Tok Guru Nik Aziz. Cuma satu harapan saya, jangan biarkan Tok Guru berseorangan dalam usaha ini.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

No comments

Powered by Blogger.