Kelantan tidak halang guna kalimah ‘Allah’

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tiada halangan bagi masyarakat bukan Islam negeri itu menggunakan kalimah ‘Allah’, baik dalam pertuturan maupun dalam buku-buku agama mereka.

Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) berkata, kerajaan negeri tidak bercadang mengikut jejak negeri-negeri lain melarang kalimah ‘Allah’ digunakan orang bukan Islam.

“Keputusan ini diambil memandangkan keadaan di negeri ini memperlihatkan keharmonian antara kaum yang terjalin erat,” katanya, dipetik dari keluaran terbaru, Harakah.

Nik Aziz berkata, “pada asasnya saya sudah jawab, memang boleh guna kalimah ‘Allah’. Bagaimanapun kerana ada mainan di belakang, jadi untuk menyekat perkara yang tidak betul maka menurut usul fiqh ia harus disekat.

“Benda harus kalau bahaya perlu disekat, tetapi kalau benda harus ada manfaat wajib dilakukan, macam air kalau minum air sejuk sebab baik maka wajib dilakukan. Tetapi kalau doktor kata minum air sejuk tak baik kepada kesihatan maka wajib kita minum air
panas,” terang beliau.

Baru-baru ini beberapa negeri melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkataan lain di kalangan orang bukan Islam.

Misalnya Selangor tidak membenarkan kalimah ‘Allah’ digunakan orang bukan Islam. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, bagi mengelakkan niat tidak baik terhadap kalimah ‘Allah’ sekatan boleh dibuat.

Tetapi perkara ini tidak berlaku di Kelantan.

Beliau yakin rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini memahami keadaan sebenar di sebalik isu tersebut. Peringkat pertama katanya, mahu keharmonian ada dalam kehidupan masyarakat pelbagai kaum dan agama, manakala kedua melihat perkembangan semasa yang berlaku.

“Kita mahu beri kefahaman kepada rakyat Kelantan memang nama Allah baik, cuma orang hendak guna nama Allah lebih baik ambil Islam dan jangan ambil nama sahaja,” ujar beliau.

No comments

Powered by Blogger.