Kerajaan Negeri Telus, Tiada Rahsia Disebalik Bazar Tok Guru

SHAH ALAM, 19 Januari - Isu pembelian kompleks perniagaan Bazar Tok Guru oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bukan rahsia, bahkan dibuat secara terbuka antara penjaja, pemaju dan PMBK.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nastion berkata pihak berwajib perlu menyiasat apakah benar kebocoran maklumat rahsia telah berlaku walhal pembelian membabitkan kos RM23 juta itu melibatkan pelbagai pihak, justeru telah menjadi dokumen awam.

“Tidak. Beberapa fakta mengenainya bukan lagi rahsia pun. Sebab perkara ini bermula apabila rundingan antara kerajaan negeri dengan penjaja dibuat, waktu hendak dipindahkan premis perniagaan mereka dan hendak dibangunkan bazaar itu. Waktu itu lagi, telah pun diketahui beberapa maklumat berkenaan projek ini.

“Dan apabila ianya diadakan siri-siri mesyuarat di antara perjanjian dan pelaksaan projek sudah tentulah maklumat-maklumat yang berupa kos, maklumat-maklumat yang berupa terma, perjanjian dibincang secara terbuka,”katanya.

Maklumat pembelian yang diputuskan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri 13 Januaru lalu didedahkan oleh blogger sensasi, Syed Azidi Syed Abdul Aziz, pada 16 Januari lepas.

Pembocoran tersebut dipandang serius oleh exco kerajaan tempatan Datuk Takiyuddin Hassan yang menurutnyua keputusan mesyuarat exco tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Juga pada 16 Januari lalu, Nik Abdul Aziz dilaporkan mengesahkan pembelian kompleks yang sedang dibina itu dari pemaju SensaTimur, bagi menjaga kepentingan para peniaga.

Menurut Saifuddin, walauapapun langkah penyelesaian yang dilakukan, Kerajaan Kelantan pastinya akan memberikan keutamaan kepada kebajikan dan hak penjaja kecil.

“Apa pun formula penyelesaian, ia harus mengambil kira pertimbangan yang utama iaitu keutamaan menjaga kebajikan penjaja, pertimbangan yang kedua ialah pertimbangan dari segi formula menjadikan negeri terpaksa menanggung beban kewangan.

“Formula yang terbaik itu apabila kerajaan negeri boleh juga memastikan kepentingan PMBK itu tidak dikompromi, tidak terlerai, tidak terjejas,”katanya.

Saifuddin berkata, syarikat terbabit juga perlu mengambil kira aspek kebajikan penjaja dan kepentingan Kerajaan Kelantan sebagai rakan niaganya dalam perniagaan itu.

No comments

Powered by Blogger.