Klinik 1Malaysia hanya propaganda – Chua

Oleh Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR.8.JUN 2003. DATUK CHUA JUI MENG GAMBAR HAYAT SUEEY. PEMBERITA/SHABULAH(AM) NOTA: IMBASAN Penubuhan klinik 1Malaysia yang dianggap memberi faedah kepada rakyat berpendapatan rendah dengan bayaran hanya RM1.00 tidak lebih dari propaganda kerajaan semata-mata.

Menurut Naib Presiden Keadilan dan bekas menteri kesihatan, Datuk Chua Jui Meng, (gambar) bayaran perkhidmatan perubatan sebanyak RM1.00 yang dikenakan klinik 1Malaysia tidak berbeza dengan kos rawatan di hospital dan klinik kerajaan sebelum ini yang mengenakan caj pada kadar yang sama.

“Ini adalah satu propaganda sahaja untuk menawan hati rakyat. Saya perkuatkan sistem itu bila saya menjadi menteri kesihatan selama sembilan tahun,” ujarnya ketika dihubungi Free Malaysia Today hari ini.

Beliau juga mempertikai klinik tersebut kerana tidak diselia oleh doktor atau pakar perubatan bertauliah, sebaliknya pemeriksaan kesihatan hanya dijalankan oleh pembantu perubatan dan jururawat biasa.

Malah katanya, adalah amat memalukan apabila klinik 1Malaysia yang tidak mempunyai perkhidmatan doktor itu diwujudkan di tengah-tengah bandaraya.

“Sepatutnya mana ada klinik di Lembah Kelang tanpa perkhidmatan doktor, tanpa perkhidmatan pakar perubatan. Mana ada klinik di bandar besar yang pemeriksaan kesihatannya dilakukan oleh pembantu perubatan dan jururawat. Ini hanya menjadi bahan ketawa saja,” ujarnya.

Katanya lagi, klinik tanpa doktor kebiasaannya hanya wujud di kawasan luar bandar dan kawasan pendalaman kerana ia tidak boleh dielak akibat kekurangan doktor terlatih di kawasan terbabit.

Mengulas lebih lanjut, Chua berkata, sepatutnya kerajaan memperbaiki mutu perkhidmatan di hospital dan klinik kerajaan sedia ada, dan bukan dengan membazirkan RM10 juta wang rakyat untuk mewujudkan klinik seumpama itu.

“Ini adalah satu tindakan yang tidak tepat, sepatutnya lebih baik kerajaan perbaiki mutu perkhidmatan perubatan di hospital dan klinik kerajaan yang mempunyai doktor dengan dibantu jururawat dan pembantu perubatan. Saya tak nampak logik kewujudan klinik 1Malaysia ini” ujarnya.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini mengkritik keputusan kerajaan melaksanakan klinik tersebut yang dikatakan sebagai membazir dan menjatuhkan standard dalam amalan perubatan.

Menurut Presidennya, Dr David K L Quek, ia bertentangan dengan Akta Perubatan 1971 yang menggariskan tugas antara pembantu perubatan dan seorang doktor terlatih.

“MMA percaya klinik-klinik sedemikian dalam kawasan bandar bakal menjadi terlalu banyak dan membazirkan wang rakyat.

Tambahan pula, pegawai perubatan yang tidak berdaftar sebagai doktor yang menyeliakan klinik ini juga menjadi satu kesalahan, melemah dan merendahkan standard perkhidmatan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments

Powered by Blogger.