OSA: Dedah Pengurusan Dana Yayasan Basmi Kemiskinan

SHAH ALAM, 13 Jan - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mendedahkan dokumen Akta Rahsia Rasmi yang membutirkan kepincangan pengurusan danaharta Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor.

Kerajaan negeri berpendapat kepincangan urustadbir kewangan YBK yang dibiarkan sejak 5 tahun lalu perlu didedahkan kepada umum, kerana ia melibatkan kebajikan masyarakat miskin Selangor.

Bercakap kepada media di sidang akhbar hari ini, Tan Sri Khalid menjelaskan pihak YBK merahsiakan laporan danaharta yayasan dari pengetahuan kerajaan negeri lebih-lebih lagi semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kerahsiaan ini mencurigakan, seraya kerajaan negeri bercadang kepada pihak yayasan supaya melantik Tan Sri Khalid sebagai pengerusi YBK untuk mengenalpasti kepincangan yang berlaku.

“Atas dasar untuk menolong masyarakat yang perlu ditolong, masyarakat-masyarakat miskin dan saya tak tahu berapa orang yang telah ditolong selama ini dan berapa belanjanya sebabnya kerajaan negeri campur dalam yayasan ini sebab kerajaan negeri memperuntukkan tanah dan juga beberapa dana untuk program ini, jadi daripada situ kerajaan negeri mempunyai kepentingan”, kata Tan Sri Khalid.

Selain Menteri Besar, kerajaan negeri turut mencadangkan Exco Kebajikan serta 2 wakil kerajaan negeri dilantik sebagai anggota Lembaga Pengarah bagi menjamin kebertanggungjawaban pengurusan badan ini.

Katanya lagi, laporan pengurusan YBK ini bakal dikeluarkan setelah pihaknya meneliti dokumen-dokumen yang perlu bermula dari tarikh Yayasan ditubuhkan.

“Kenyataan saya ini untuk membolehkan sekarang rakyat tahu saya akan memberikan setelah kita membuat kajian tentang semua sejak penubuhannya sehingga sekarang apakah tanah-tanah dan dana-dana yang telah diberikan oleh kerajaan negeri untuk pengetahuan masyarakat negeri Selangor”, jelasnya. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments

Powered by Blogger.