Pas buka pusat khidmat baru

GOPENG - Pas Cawangan Taman Kinta membuka satu lagi Pusat Khidmat Masyarakat sebagai usaha memperkenalkan dan mendekatkan Pas kepada rakyat khususnya di Parlimen Gopeng.

Ketua Pas Cawangan Taman Kinta, Ibrahim Malbar berkata, pembukaan pusat khidmat itu bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk Gopeng sekiranya mereka memerlukan bantuan.

Menurutnya, pelbagai kemudahan disediakan di pusat khidmat itu, antaranya termasuk memanjangkan permohonan bantuan kepada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Alhamdulillah terdapat perubahan positif melalui persepsi rakyat terhadap perjuangan Pas yang mahu membela masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Oleh itu, Pas mengambil peluang atas sokongan rakyat ini untuk memberikan khidmat yang lebih tersusun dan terancang.

“Dengan itu, Pas menubuhkan dengan rasminya Pusat Khidmat Masyarakat Cawangan Taman Kinta pada 10 Januari lalu yang telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Teja, Chang Lih Kang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibrahim berkata, pusat khidmat berkenaan mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang ingin membuat sebarang aduan atau mendapatkan khidmat disediakan.

“Di samping matlamat utama membantu rakyat, pusat ini juga akan menjadi pusat rawatan alternatif bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat perubatan secara tradisional.

“Pihak kami juga akan menganjurkan kelas pengajian al-Quran secara percuma pada setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu bermula jam 7.30 malam,” katanya.

Beliau berharap, dengan adanya pusat khidmat itu, ia dapat menjadi tempat masyarakat setempat, ahli dan penyokong Pas dari Bahagian Gopeng terutama Taman Kinta menyuarakan sebarang masalah mereka untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan supaya tindakan susulan dapat dilakukan sebaik mungkin.sh

No comments

Powered by Blogger.