Pertemuan dengan pemimpin bincang hak Melayu

SHAH ALAM, 14 Jan. - Wakil dari Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) dan Gabungan Persatuan Usahawan Melayu Selangor (GAPUMS) akan menemui para pemimpin Melayu dari semua parti termasuk pembangkang berhubung isu yang berkait dengan bangsa Melayu.

Yang Dipertua DPMMS Tan Sri Rozali Ismail berkata pertemuan itu penting bagi membincangkan beberapa isu termasuk kedudukan dan hak keistimewaan peniaga serta usahawan Melayu yang banyak terjejas oleh dasar kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri.

Beliau berkata selain itu isu perpecahan yang semakin berlaku di kalangan orang Melayu juga akan dibincangkan terutama membabitkan kemelut dalam politik serta kedudukan ekonomi orang Melayu yang semakin lemah.

“DPMSS melalui Dewan Pemuda dan Wanita serta anggota GAPUMS mahu mendapatkan penjelasan dan menyampaikan mesej kepada semua pemimpin Melayu tidak kiralah dari Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi kepentingan bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik.

“Kita mahu tahu sebagai pemimpin yang diberikan kepercayaan apakah yang mereka boleh lakukan dan akan lakukan dalam mempertahankan hak orang Melayu memandangkan beberapa dasar yang dibuat kadangkala tidak jelas,” katanya di sini hari ini.

Rozali yang juga Penasihat GAPUMS berkata pertemuan itu akan dibuat selepas Dewan Pemuda dan Wanita DPMMS mengadakan Simposium 1Malaysia pada Mac depan bagi mengumpul resolusi dan mesej serta maklumat yang bakal disampaikan kepada para pemimpin Melayu di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa khas yang diadakan hari ini juga berpendapat bahawa kesungguhan Institusi Raja di Selangor dalam mempertahan dan memperjuangkan dasar kerajaan di Selangor, keharmonian kaum, hak serta keistimewaan Melayu amat disanjung tinggi.

Justeru, katanya semua anggota DPMMS dan GAPUMS perlu mempertahankan institusi dan kesultanan Melayu.

Rozali berkata Pengerusi Dewan Muda DPMMS, Agil Faisal Ahmad Fadzil akan mengetuai perjumpaan itu termasuk menganjurkan dialog pada simposium yang akan dianjurkan sebelum mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin Melayu seperti yang dirancangkan.
Agil Faisal berkata antara isu utama yang akan dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan dari pemimpin Melayu itu nanti termasuklah interpretasi sebenar mengenai 1Malaysia serta dasar yang dibuat membabitkan hal ehwal ekonomi.

“Sejajar dengan konsep 1Malaysia yang dibuat, satu model ekonomi baru bakal dilancarkan dan untuk itu antara fokus utama dalam pertemuan dengan pemimpin Melayu itu nanti akan memberikan beberapa cadangan yang boleh disesuaikan dengan model baru berkenaan,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.