Qazaf: Jamil Khir, 2 responden lantik peguam jawab Anwar

KUALA LUMPUR, Jan 12 — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom hari ini melantik barisan peguam yang akan mewakilinya dalam permohonan qazaf yang difailkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lalu.

Turut melantik barisan peguam yang sama ialah Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain selaku responden pertama dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali yang merupakan responden kedua.

Jamil Khir merupakan responden ketiga dalam permohonan tersebut.

Barisan peguam yang dilantik ialah peguam-peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar, Roslizam Rahim dan Mohd. Firdaus Mohamed Arifin.

Pelantikan tersebut dibuat di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi Syariah di sini kira-kira pukul 2.30 petang semalam hadapan Timbalan Pendaftar, Nur Ifzan Ibrahim.

Ketiga-tiga responden tersebut hadir di mahkamah, lapor Utusan Malaysian.

Ditanya mengenai tindakan Anwar menamakannya sebagai salah seorang responden, Jamil Khir menyatakan, setiap individu berhak mencari penyelesaian menurut undang-undang.

Oleh itu katanya, beliau sendiri telah menyerahkan perkara tersebut kepada pihak peguam.

Pada 7 Jan lalu Anwar memohon Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan perintah supaya pihak pendakwa meneruskan pertuduhan qazaf (tuduhan palsu) terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan berhubung dakwaan liwat.

Pada Jun 2008 Saiful mendakwa bekas majikannya itu telah meliwatnya di sebuah kondominium di ibu negara dua tahun lalu.

Anwar juga mendakwa laporan qazaf berhubung pernyataan palsu mengenai beliau meliwat Saiful telah dibuat kepada Bahagian Penguatkuasa dan Pendakwaan Jawi pada 9 Julai 2008.

Beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan tetapi masih tiada maklum balas daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalam notis permohonan itu, Anwar memohon perintah mahkamah supaya mengarahkan Shamsuddin menggunakan kuasa yang sedia ada padanya untuk menjalankan prosiding pertuduhan qazaf terhadap Saiful dan menghalang Che Mat serta Jamil daripada menghalang Shamsuddin menjalankan pertuduhan itu.

Notis itu juga turut menyebut pada 27 Okt 2009, Jamil menyatakan Anwar perlu menunggu perbicaraan liwat terlebih dahulu sebelum meneruskan perbicaraan

pertuduhan Qazaf terhadapnya.

Bagaimanapun dalam notis permohonan itu, Anwar menegaskan perbicaraan yang dihadapinya adalah berlainan.

Mahkamah menetapkan Rabu ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu jawapan balas dalam tempoh 14 hari daripada pihak pendakwaan.

Pada 31 Julai 2008, Anwar telah memberi keterangan kepada Jawi berhubung aduannya mengenai tuduhan liwat terhadapnya yang dibuat oleh Saiful yang merupakan bekas pembantunya.

Anwar membuat aduan terhadap Saiful pada 9 Julai 2008 supaya siasatan dilakukan terhadap bekas pembantunya itu mengikut kesalahan qazaf (tuduhan palsu).

Pada 7 Ogos tahun itu, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat Saiful di sebuah kondominium di sini pada 26 Jun 2008.mi

No comments

Powered by Blogger.