SAFAR JUMAAT: Masalah guru di Terengganu, Kedah dan Kelantan

Safar Jumaat

MEMBACA keluhan dari penulis yang tentunya seorang guru yang mahu dikenali sebagai Isteri dan Guru Terseksa dalam laman ini semalam, terpanggil untuk menulis mengenai masalah di Kementerian Pelajaran – khususnya isu yang mengaitkan pertukaran dan penempatan guru.

Penulis itu, memberitahu dia seorang tenaga pengajar dan berasal dari Terengganu. Kebetulan terdapat tiga buah negeri, iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah menghadapi masalah ‘lebihan guru’ yang menyebabkan guru-guru anak negeri tersebut gagal untuk kembali berbakti di negeri masing-masing.

Cerita ini sebenarnya cerita lama. Isu guru berasal dari Terengganu, Kelantan dan Kedah memang tersekat sebenarnya angkara mereka disyaki penyokong pembangkang yang menjadi sebab mengapa mereka tidak dapat berpindah ke negeri asal mereka.

Dari catatan penulis tersebut yang bertajuk Pertukaran Guru, Rayuan Kepada Menteri Pelajaran’ mustahil dalam tempoh 20 tahun dia mengajar di luar Terengganu, tidak ada mana-mana pihak yang mahu memberi sedikit perhatian kepada permohonannya untuk kembali ke Terengganu.

Agaknya, Menteri Pelajaran terlalu sibuk untuk membaca rintihan ini tetapi pegawai-pegawai Menteri Pelajaran yang berebut-rebut mengejar jawatan dalam Persatuan Belia, dalam Pergerakan Pemuda Umno dan jawatan-jawatan lain, tidak bolehkah meluangkan sejenak masa untuk melihat rayuan ini?

Adakah permohonan pertukaran guru-guru ini, termasuk dalam kategori penduduk tetap mahu meminta jadi warganegara – yang akhirnya kad pengenalan pemohon ini terpaksa diserahkan di tanah perkuburan, iaitu hingga mati baru dapat?

Menurut catatan penulis ini, kelayakan dia membuat permohonan sudah melebihi dari lengkap tetapi alasan guru-guru sudah melebihi keperluan di Terengganu menafikan kelayakan permohonan tersebut.

Persoalannya, siapakah yang berkuasa membuat keputusan dalam soal penempatan guru-guru baru ke Terengganu, Kelantan dan Kedah? Kenapa tidak ada keutamaan kepada guru-guru senior ini dipindahkan ke Terengganu, Kelantan dan Kedah manakala guru-guru baru, di tempatkan di luar dari negeri asalnya.

Apakah tiada guru-guru di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang bersara setiap tahun? Siapa yang mengisi tempat mereka yang bersara ini? Bagaimana agaknya guru-guru baru yang berasal dari Terengganu boleh ditempatkan di Terengganu, yang berasal dari Kelantan ditempatkan di Kelantan dan yang berasal dari Kedah ditempatkan di Kedah?

Adakah mereka yang berkuasa membuat pilihan penempatan guru-guru ini tidak mempunyai perasaan dan pertimbangan kemanusiaan, iaitu memberi keutamaan kepada guru senior yang ada membuat permohonan pertukaran manakala guru-guru baru, ditempatkan di luar dari tempat kelahiran mereka!

Cuma, jika ada berlaku kekurangan dan kebetulan tiada permohonan dari guru-guru senior untuk berpindah ke Terengganu, Kelantan dan Kedah, barulah keputusan wajar dibuat dengan memberi peluang guru-guru baru untuk mengajar di negeri kelahiran masing-masing.

Kita semua tahu bahawa Menteri Pelajaran dan pegawai-pegawainya adalah manusia yang mempunyai adik beradik, sanak saudara dan kawan-kawan yang bekerja sebagai guru. Mustahil telinga mereka tidak mendengar sungutan dan permintaan guru-guru ini, kecualilah mereka memang tidak suka mendengar.

Isu guru tidak menyokong kerajaan pernah hangat diperkatakan suatu ketika dahulu. Ini bukan kerana guru-guru tidak rasional tetapi disebabkan guru-guru nampak bahawa mereka yang kuat akan mendapat banyak keistimewaan di Kementerian Pelajaran manakala mereka yang lemah, akan terus terseksa dengan kelemahan ini.

Cuba kita bertanya kepada Menteri Pelajaran dan pegawai-pegawainya, sejak mereka dilantik ke jawatan itu, berapa kali mereka melihat permohonan pertukaran guru-guru ini? Sekali, dua kali atau tiga kali? Atau, belum pernah sekali pun mereka melihatnya kerana ia tidak merupakan projek pembangunan dan tender membina bangunan sekolah?

Tidak bolehah, buat kesekian kalinya Kementerian Pelajaran membuat tawaran terbuka, meminta semua guru-guru menyatakan minat mereka, mahu mengajar di mana dan di situlah pegawai-pegawai kementerian melihatnya secara telus dan terbuka.

Beri keutamaan kepada permohonan yang lebih dari 20 tahun, kemudian yang melebihi 15 tahun dan begitulah seterusnya.

Sukar melaksanakannya? Atau tidak ada kepentingan untuk melakukannya? Bila agaknya kementerian merasakan guru-guru ini perlu diberikan perhatian? Adakah ketika mahu menghadapi pilihan raya dan pemilihan parti?

Atau, kementerian membuat satu peraturan tetap bahawa mana-mana guru tidak boleh ditukarkan seumur hidup kecuali sebab-sebab tertentu yang memungkinkan sekolah terpaksa ditutup jika tidak ada guru yang mahu ditukarkan!

Jika menteri pun boleh bertukar kementerian, mengapa pula guru tidak boleh bertukar sekolah? Jika menteri pun boleh menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri, iaitu pulang ke negeri asal masing-masing dari berkhidmat di Kuala Lumpur, mengapa guru tidak boleh dipindahkan ke negeri asal masing-masing jika pihak yang bertanggungjawab, mahu menyelesaikannya.

Persoalannya apakah ada kemahuan di pihak Menteri dan Kementerian Pelajaran untuk melihat permohonan guru-guru yang ingin berpindah ke negeri asal, selepas 20 tahun menabur bakti di negeri orang.

Jika tidak ada kemahuan, memang selama-lamanyalah tidak akan terjumpa jalan penyelesainnya!

No comments

Powered by Blogger.