Syed Husin undur timbalan presiden, pemilihan PKR sengit?

Oleh G. Manimaran

Dr Syed Husin Ali yang baru-baru ini dilantik sebagai senator selepas lima dekad menceburi politik, sudah memutuskan untuk melepaskan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).The Malaysian Insider difahamkan keputusan itu jika diterima pucuk kepimpinan parti itu dijangka membuka laluan kepada persaingan “sengit” apabila PKR mengadakan pemilihannya pertengahan tahun ini


Ia juga dijangka akan membawa kepada perubahan besar dalam barisan kepimpinan parti itu menjelang pilihan raya umum ke-13.

PKR, pertengahan tahun ini telah meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan secara langsung melibatkan akar umbi.

Pada Mei 2007, Syed Husin mempertahankan jawatannya tanpa cabaran selepas Azmin Ali yang disebut-sebut akan mencabarnya menarik diri.

Tiga tahun sebelum itu beliau memenangi jawatan timbalan presiden dengan majoriti 533 undi.

Syed Husin, 73, merupakan bekas presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan kemudian menjadi orang nombor dua PKR susulan penggabungan PRM dan Parti Keadilan Nasional.

Beliau yang menyertai PRM pada 1958 pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun sejak Dis 1974.

“Saya sememangnya sudah lama memutuskan untuk melepaskan jawatan timbalan presiden, meninggalkan politik yang aktif secara perlahan-lahan,” kata Syed Husin dalam temu bual khas dengan The Malaysian Insider sempena pelantikannya sebagai anggota Dewan Senat.

Syed Husin ditemui lebih awal sebelum Datuk Salehuddin Hashim mengumumkan keputusannya melepaskan jawatan setiausaha agung PKR berkuat kuasa 31 Jan ini.

Kata Syed Husin, beliau sebenarnya sudah lama untuk memutuskan untuk berundur dari arena politik tetapi belum mendapat lampu hijau.

“Kadangkala kepentingan dan kehendak politik mengatasi kehendak peribadi,” kata beliau yang pernah bertanding dalam tiga pilihan raya umum sebelum ini tetapi tewas dalam semua percubaan.

Bagaimanapun beliau tidak bertanding pada 8 Mac 2008.

Dengan pelantikan sebagai senator beliau akhirnya melangkah ke Parlimen.

Bekas pensyarah Universiti Malaya itu berpendapat PKR kini mempunyai lapisan golongan muda untuk mengambil alih kepimpinan parti itu yang ditubuhkan 11 tahun yang lalu.

“Kami sudah ada pemimpin-pemimpin muda untuk mengambil alih parti,” katanya.

Beliau memperoleh ijazah doktor falsafah daripada London School of Economics.

Pemimpin yang dilihat sentiasa mengamalkan kesederhanaan dalam hidupnya dilantik sebagai anggota Dewan Senat oleh kerajaan negeri Selangor.

Syed Husin yang masih menggunakan kereta Volvo 850 berusia 20 tahun, yang dibelinya 16 tahun lalu menggunakan wang royalti hasil buku “Two Faces: Detention Without Trial” berkata, beliau sebenarnya tidak berminat untuk memegang jawatan sebagai senator.

“Saya menerima tawaran keputusan kerajaan negeri Selangor ketika saya berada di Mekah untuk menunaikan haji baru-baru ini.

“Kalau boleh saya tidak mahu menerima tetapi apabila Sultan Selangor sudah memberi perkenan dan apabila saya diberikan masa yang singkat untuk membuat keputusan, saya tiada pilihan... saya menerima untuk memberi khidmat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kedudukannya sebagai seorang ahli Parlimen, yang membolehkannya dikenali sebagai “Yang Berhormat”, Syed Husin dengan senyuman kecil berkata: “Sekarang saya ahli politik sepenuh masa tetapi sekarang saya sudah tua, sudah 73 tahun.”

Walaupun sudah berkecimpung lebih 50 tahun dalam politik, Syed Husin berkongsi pengalaman banyak kali ditahan dan dikasari polis tetapi belum berpuas hati sepenuhnya dalam perjuangannya mahu membantu rakyat miskini.

“Tanya saya berpuas hati, saya kata tidak,” kata Syed Husin yang mempunyai tiga orang anak.

“Saya mahu melihat perubahan dalam dasar dan sistem kerajaan, mahu kerajaan bertindak tegas untuk membantu rakyat... adakan dasar-dasar yang prorakyat, bagi membantu rakyat miskin,” kata anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini.

Berkenaan dengan PR, Syed Husin yakin mempunyai ikatan DAP-PKR-PAS ini masa depan yang baik untuk menerajui kerajaan persekutuan.

“Dalam politik apa pun boleh berlaku. Saya sebenarnya telah yakin bahawa kami boleh mencapai yang terbaik pada 8 Mac 2008... kita lakukan lebih baik daripada disangkakan,” katanya.

“Sepanjang lima dekad ini saya sudah melihat banyak usaha untuk menyatukan parti-parti politik pembangkang, Pakatan merupakan gandingan terbaik setakat ini.

“Jika berpeluang (untuk memerintah), saya mahu Pakatan tidak mengulangi kelemahan dan kesilapan yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional selama ini,” katanya.

Syed Husin juga mengakui kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PR, yang diterajui selepas pilihan raya umum ke-12, telah memperlihatkan prestasi baik walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki.

No comments

Powered by Blogger.