Terima Kasih Khir! Anda Memang Toyol

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa terdapat usaha di kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu untuk menggulingkan kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut beliau, PKR di negeri itu kini menghadapi krisis dalaman yang cukup ketara terutamanya bagi merebut jawatan di peringkat negeri dan pimpinan tertinggi.

"Sesama mereka sendiri ada masalah dalaman, perkara ini tak dapat nak selindung lagi kerana ia jadi semakin besar.

"Perkembangan terkini menunjukkan memang ada usaha untuk jatuhkan Tan Sri Khalid, ada kumpulan tertentu dalam partinya sendiri mahu rampas kedudukan beliau," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai peletakan jawatan 13 ahli jawatankuasanya (AJK) PKR Bahagian Kuala Selangor yang diketuai Abdul Khalid.

Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin kerana hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Situasi ini bermakna Abdul Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini.

Selain itu, Dr Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor turut mendakwa bahawa Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali merupakan dalang di sebalik kemelut yang melanda parti itu di Selangor.

Malah menurutnya, penglibatan Azmin dalam perkara ini adalah sebagai langkah persediaan untuk merebut jawatan tertinggi dalam parti jika sebarang kemungkinan berlaku terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menghadapi tuduhan liwat di mahkamah.

"Permainan ini mereka yang rancang, Azmin yang menjadi dalang. Beliau dan sebahagian penyokong PKR yang lain sudah was-was dengaan Anwar kerana kes liwatnya.

"Kalau Tan Sri Khalid tidak dihalang atau disekat, tidak mustahil beliau akan naik menggantikan tempat Anwar menerajui PKR nanti.

"Jadi Azmin mula bertindak dari sekarang dengan cuba menghancurkan karier politik Tan Sri Khalid," katanya.

Tambah Dr Khir lagi, Abdul Khalid kini menghadapi krisis hilang kepercayaan yang cukup ketara.

"Kumpulan yang menyokong Azmin kini dilihat mula bertindak, malah saya juga ada dimaklumkan bahawa selepas ini mungkin ada lagi bahagian atau cawangan PKR di Selangor yang akan dibubarkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Khir menegaskan kemelut yang melanda PKR Selangor tiada kaitan dengan Umno.

"Ini semua hal mereka sendiri, saya harap mereka tak akan menunding jari kepada Umno setelah apa yang berlaku.
"Umno tak perlu lakukan perkara-perkara sebegini untuk meraih sokongan rakyat," katanya.

No comments

Powered by Blogger.