Usaha banteras rasuah sukar dicapai

Oleh Zainal Abidin Nor

Jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) benar-benar ingin membenteras rasuah maka menakut-nakutkan orang awam tidak harus menjadi pendekatan mereka.

Ahli Parlimen Keadilan – Ketereh, Abdul Aziz Abdul Kadir berkata,” apabila Abu Kassim Mohamed mengatakan beliau akan memenuhi asprasi rakyat, ia sukar dipercayai.”“Bagaimana beliau hendak membasmi rasuah sekiranya SPRM menggunakan pendekatan menakut-nakutkan rakyat apabila membuat laporan polis?” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai komitmen Abu Kassim, ketua suruhanjaya yang baru dilantik dan tindakan dua pegawai SPRM membuat laporan polis terhadap laporan akhbar mingguan Suara Keadilan mengenai punca kematian Teoh Beng Hock.

Abdul Aziz menerangkan dengan membuat laporan polis, SPRM seolah-olah membuat ugutan dan menyekat kebebasan bersuara.

“Dalam kes kematian Beng Hock, SPRM dilihat seolah-olah melengah-lengahkan inkues sehingga (pakar patologi Thailand) Dr Pornthip Rojanasunand membuat pendedahkan yang mengejutkan,” ujar beliau.

Selepas majlis angkat sebagai ketua suruhanjaya itu di hadapan Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur pada 4 Januari lalu, Abu Kassim berkata,

“SPRM perlu bekerja keras bagi memenuhi aspirasi rakyat dan sasaran kerajaan bagi membebaskan negara ini dari rasuah.”

Pelantikan Abu Kassim, 49, berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi menggantikan Ahmad Said Hamdan yang memutuskan untuk bersara pada 31 Disember lalu iaitu lima bulan lebih awal dari tempuh kontraknya berakhir.

Ditanya mengenai kritikan terhadap SPRM ekoran laporan polis yang dibuat oleh suruhanjaya itu ke atas Dr Pornthip, beliau berkata, “pada masa ini, langkah terbaik adalah untuk saya tidak membuat sebarang ulasan kerana ia membabitkan kes mahkamah.”

Pada 1 Januari lalu, dua pegawai SPRM, Hisham Mohd Yusoff dan Raub Ghani membuat laporan polis berhubung laporan Suara Keadilan yang bertajuk “Pornthip sahkan Beng Hock dibunuh”.

Hari ini, Editor Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib yang menulis artikel ini dijadual akan memberi keterangan di ibu pejabat polis, Shah Alam ekoran laporan yang dibuat oleh dua pegawai SPRM itu.

No comments

Powered by Blogger.