Jangan Menyibuk Urusan BN!

PERKASA: Noh tidak perlu mohon maaf

Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) tidak bersetuju dengan tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar memohon maaf berhubung ucapannya di konvensyen BN Selangor kelmarin.

Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah berkata ucapan Noh – yang memetik mendiang Tun Tan Siew Sin dan Tun Sambanthan – bersandarkan “satu fakta sejarah”.

Sebaliknya beliau mendakwa ucapan Noh yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor telah “disalahtafsirkan” oleh media berbahasa Cina.

“Petikan ucapan itu merupakan fakta sejarah kerana ia termaktub dalam sejarah Malaysia. Adakah cakap fakta sejarah adalah salah?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam. (Malaysiakini)

Dunia ini betul-betul tak adil. Gerakan dan MCA label PERKASA rasis, PERKASA minta kedua-dua parti komponen BN minta maaf dalam tempoh masa 48 jam. Kedengarannya seperti amaran. Tempoh tersebut berlalu sudah bersama angin lalu dan debu-debu beracun. Minta maaf tidak kedengaran. Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA bertindak balas menuduh Gerakan tin kosong.

Datuk Noh Omar mengungkitkan isu pengorbanan Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu menyebabkan MCA melenting dan bukan Melayu melantun. Noh Omar terpaksa mohon maaf demi menjaga keharmonian BN.

PERKASA tidak puas hati kerana sekali lagi Melayu “layu” kepada tuntutan bukan Melayu. PERKASA berasa sakit dan malu kerana Gerakan dan MCA tidak mahu minta maaf, sedangkan Noh Omar terpaksa minta maaf.

Malahan kerana “kelayuan” UMNO berdepan dengan bukan Melayu – mengalah kepada tuntutan mereka, merupakan punca kebangkitan PERKASA yang disokong oleh Tun Mahathir. PERKASA bersedia “mengambil alih” peranan UMNO. Jadi, tidak hairanlah jikalau PERKASA berpendapat Noh Omar tidak perlu mohon maaf.

PERKASA bukan badan politik. Mereka boleh bercakap sesuka hati tanpa mempedulikan sensitiviti kaum lain. Pemimpin mereka bukan sahaja boleh mencium keris, bahkan menikam-nikam keris ke udara pun boleh kerana itu hak mereka. Mereka tidak perlu mohon maaf seperti Pemuda UMNO dahulu.

Noh Omar pemimpin UMNO-BN. Keterlanjuran dalam percakapan memberi impak besar kepada parti. Sokongan Melayu semata-mata tidak menjamin kemenangan BN. Lagipun, majoriti undi Melayu kini (berdasarkan PRU 2008) berpihak kepada PR. Jadi, undi bukan Melayu mesti dijaga. Perkara yang boleh menyebabkan hilang undi bukan Melayu harus dielakkan. Apa gunanya berpegang kepada prinsip “berani kerana benar” kalau kalah pilihan raya. Bercakap mengikut fakta sejarah tidak salah. Semua orang tahu hal ini. Kalau salah, masakan ilmu sejarah diajarkan di sekolah.

Persoalannya, disiplin penulisan sejarah Malaysia itu sendiri dipertikaikan. Para Sarjana Melayu menganggap penulisan sejarah oleh orang British berdasarkan sudut pandangan mereka tidak tepat. Banyak fakta diselewengkan demi menjaga kepentingan penjajah sehingga menyebabkan sejarah negara terlalu “keInggerisan” jadinya. Lantas mereka berpendapat, sejarah wajib ditulis semula bagi “meMelayukannya” agar sesuai dengan latarnya di alam Melayu. Maka penulisan semula pun dilakukan. Hasilnya, terdapat sarjana sejarah bukan Melayu tidak berpuas hati kerana bagi mereka, banyak peranan orang-orang bukan Melayu telah “dikeluarkan” daripada sejarah negara. Ini belum diambil kira pandangan pejuang kiri yang langsung tidak dihargai oleh penulis sejarah. Mereka tidak memainkan sebarang peranan dalam kemerdekaan negara, selain menjadi pengacau atau penjahat. Peranan hero semuanya dimainkan oleh golongan kanan. Maklumlah namanya pun golongan kanan. Orang kanan membakar ladang, orang kiti yang dicemuh dan diburu. Beginikah sejarah yang kita mahu dan bakal diwariskan kepada generasi kita?

Berbalik kepada politik semasa, bercakap berdegar-degar, kerusi hilang satu persatu apa faedahnya. BN tidak boleh ikut cara PERKASA. Mengguris hati bukan Melayu sehingga berdarah dan bernanah pun PERKASA tidak akan kehilangan apa-apa kerana mereka tiada apa-apa yang akan hilang. BN tidak sama. Sedangkan BN mempunyai banyak perkara yang mesti dipertahankan. Keharmonian di kalangan BN, perpaduan rakyat, pertumbuhan ekonomi negara dan keadilan sosial antara perkara yang menjadi tanggungjawab BN untuk dipertahankan. Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak merupakan salah satu usaha ke arah tersebut.

Untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, kuasa amat penting. Kuasa tidak datang daripada katak-katak, para pelacur politik, atau para pengampu. Katak-katak, para pelacur politik dan para pengampu hanya mempunyai kuasa pemusnah. Kuasa membina sama sekali tidak ada. Walaupun pada luarannya golongan ini kelihatan memberi kuasa, tetapi hanya kuasa pemusnah. BN harus sedar akan hal ini. Baik muncul secara individu mahupun secara berkelompok, atau berkumpulan besar, ia hanya membawa kuasa pemusanah.

Kuasa membina hanya datang daripada rakyat melalui undi. Oleh itu, bagi mendapatkan kuasa ini, menang pilihan raya satu-satunya cara yang ada bagi sebuah negara demokrasi. Maka tidak silap apabila pemimpin BN mohon maaf kepada rakyat apabila terlanjur kata-kata kerana rakyat adalah pemberi kuasa yang sebenar. Menang sorak, kampung tergadai buat apa. Biarlah PERKASA dengan keperkasaannya.

BN tidak perlu ikut rentak PERKASA. Retorik “keMelayuannya” sedap di telinga, tetapi hakikatnya kewujudan PERKASA belum teruji lagi. BN sudah melalui 1001 jenis cabaran dan dugaan; pahit getir dilalui bersama; bercakaran sekali-sekala adalah asam garam kehidupan; dan hubungan ini akan berkekalan selama-lamanya. Sekurang-kurangnya begitulah harapan anggota BN. Oleh demikian BN tidak perlu mendengar biarpun sepatah nasihat PERKASA, apatah lagi menoleh atau mengangguk mengikut telunjuknya.


http://satumalaysia.wordpress.com/

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.