Lebih 30 borang pencalonan Parlimen Hulu Selangor dijual

SHAH ALAM 16 April - Sebanyak 37 borang penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dijual setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Katanya, borang-borang itu dibeli oleh ejen-ejen parti politik daripada Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Bebas.

Selain itu, deposit untuk pencalonan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung esok juga diterima daripada seorang calon Bebas dan juga BN, katanya kepada pemberita selepas mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu, Sarawak di sini hari ini.

Semalam, BN mengumumkan Ketua Penerangan MIC P. Kalamanathan sebagai calonnya pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor manakala PKR mencalonkan Datuk Zaid Ibrahim.

Abdul Aziz juga ditanya kemungkinan pilihan raya kecil di Hulu Selangor menyaksikan keadaan seperti pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau tahun lepas apabila 13 calon Bebas, seorang calon BN dan seorang PKR.

Beliau berharap jumlah calon yang bertanding tidak seramai seperti di Bukit Selambau.

Beliau berkata ajen-ejen parti lazimnya membeli lebih daripada satu borang sebagai persediaan jika borang rosak atau tersilap isi.

"Tidak semestinya jumlah borang sama dengan jumlah calon,” katanya.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas kerana barah otak.

Allahyarham menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi pada pilihan raya umum 2008. Allahyarham memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi. - Bernama

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.