Berita Sedih Daru Hulu Selangor: Dendam Matahir Kepada Samy Vellu Masih Membara?

Mahathir tidak berkempen di Hulu Selangor

KUALA LUMPUR, 16 April — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor agar memilih wakil rakyat bukan berdasarkan kepada personaliti semata-mata tetapi melihat kepada parti yang diwakili oleh calon itu.

“Yang penting ialah parti, parti yang bertanding, jadi sokongan diberi kepada calon kerana parti, bukan kerana calon itu sendiri. Secara sendirian dia (calon) tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dia seorang yang paling bijaksana atau sebagainya.

“Secara sendirian, dia sendiri tiada apa-apa, parti yang berikan dia kuasa,” katanya dipetik Bernama.

“Pilihlah parti, jika anda (pengundi) merasakan Pakatan Rakyat boleh berikan kerajaan lebih baik, anda boleh pilih Pakatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pidato Perdana di Ruang Legar Medan Mara di sini hari ini.

Ditanya mengenai peluang Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor, Dr Mahathir berkata: “Ia sama baik bagi semua pihak. Sekiranya orang ramai tidak dipengarusi oleh emosi dan membuat penilaian terhadap sumbangan yang dibuat Barisan Nasional (BN), saya rasa mereka akan sokong BN”.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas kerana barah otak.

Allahyarham menewaskan calon BN Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi pada pilihan raya umum 2008. Allahyarham memperoleh 23,177 undi manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.

Dr Mahathir seterusnya berkata beliau tidak akan turut serta dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor walaupun namanya sering ditimbulkan dalam ceramah oleh kedua-dua pihak yang bertanding.

“Saya tidak akan pergi berkempen, tapi jika ada pihak yang hendak gunakan nama saya untuk menang atau kalah pada pilihan raya kecil nanti, itu terserah kepada mereka, saya tak kisah,” katanya.

Sementara itu semasa menjawab satu soalan Dr Mahathir berkata pilihan raya kecil ini tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai prestasi dan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tidak boleh ukur macam itu, kena tunggu dululah, kena tunggu pilihan raya yang akan datang. Yang ini cuma ‘‘sideshow’’ sajalah,” katanya.

Ingin membantu menggerakkan blog ini? sila klik di sini setiap kali anda membaca. Setiap klik amat membantu saya.Terima kasih!

No comments

Powered by Blogger.